Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKwasa Damansara – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.15 peratus bagi akaun simpanan konvensional dengan jumlah agihan RM67.1 bilion, dan 6.15 peratus bagi akaun simpanan syariah melibatkan agihan RM12.5 bilion, menjadikan keseluruhan pembayaran dividen bagi tahun kewangan 2025 berjumlah RM79.6 bilion.
Pengkreditan dividen bagi kedua-dua simpanan konvensional dan simpanan syariah akan dilaksanakan sepenuhnya pada Ahad, 1 Mac 2026. Ahli boleh menyemak akaun masing-masing menerusi i-Akaun atau mendapatkan penyata di Terminal Layan Diri (SST) KWSP di seluruh negara.
Dalam sebuah kenyataan, KWSP merekodkan jumlah pendapatan boleh agih sebanyak RM82.7 bilion bagi tahun berakhir 31 Disember 2025, meningkat 9.5 peratus berbanding dengan RM75.5 bilion pada tahun 2024. Jumlah aset pelaburan turut berkembang kepada RM1.409 trilion, naik 12.8 peratus daripada RM1.25 trilion sebelumnya, didorong oleh pendapatan portfolio serta caruman bersih RM66.5 bilion.
Pengerusi KWSP, YBhg. Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, prestasi memberangsangkan itu dicapai walaupun berdepan ketidaktentuan pasaran global sepanjang tahun 2025 susulan dasar perdagangan yang tidak menentu serta ketegangan geopolitik.
“Pasaran ekuiti yang berdaya tahan menjadi pemacu utama pendapatan KWSP, disokong pula oleh pulangan stabil daripada instrumen pendapatan tetap serta kepelbagaian portfolio. Pendekatan pelaburan jangka panjang dan pengurusan risiko berdisiplin terus menjadi tunjang dalam melindungi simpanan ahli serta memastikan pulangan mampan,” katanya.
Ekonomi global kekal berdaya tahan pada tahun 2025 dengan inflasi yang semakin sederhana membolehkan bank pusat utama melonggarkan dasar monetari secara berperingkat. Pada peringkat domestik, ekonomi Malaysia berkembang 5.2 peratus, disokong permintaan dalam negeri yang kukuh dan eksport yang mampan, selain pelarasan kadar dasar semalaman oleh Bank Negara Malaysia kepada 2.75 peratus yang menyokong momentum pertumbuhan.
Menurut kenyataan KWSP, keahlian KWSP meningkat kepada 18.1 juta orang dengan 10.6 juta ahli aktif, sekali gus menambah baik nisbah ahli aktif kepada tidak aktif kepada 59:41. Sepanjang tahun lalu, 2.8 juta ahli baharu dan 89,649 majikan baharu berdaftar, menjadikan jumlah majikan aktif 640,391.
Jumlah caruman sukarela turut meningkat kepada RM19.2 bilion. Program i-Saraan mencatat pertambahan penerima insentif sebanyak 35.9 peratus kepada 720,056 orang dengan jumlah caruman meningkat 50.8 peratus kepada RM4.0 bilion. Secara keseluruhan, jumlah caruman yang diterima meningkat 12.3 peratus kepada RM121.5 bilion.
Mengulas prospek 2026, YBhg. Tan Sri Mohd Zuki berkata KWSP akan terus berwaspada terhadap ketidaktentuan global yang berterusan, meskipun asas ekonomi global dan domestik dijangka kekal berdaya tahan.
“Sebagai dana persaraan jangka panjang, KWSP mengekalkan pendekatan pelaburan berasaskan disiplin, kepelbagaian dan tadbir urus kukuh. Walaupun pulangan mungkin berubah dari tahun ke tahun, fokus kami kekal kepada pulangan mampan dalam jangka panjang demi memastikan simpanan ahli terus berkembang melalui kesan penggandaan,” katanya.