Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCyberjaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) mengambil langkah proaktif mendekati pempengaruh media sosial bagi memperkasakan kefahaman terhadap tanggungjawab percukaian dalam era ekonomi digital yang berkembang pesat.
Inisiatif tersebut dilaksanakan menerusi sesi libat urus (SLU) bersama-sama pempengaruh daripada pelbagai bidang dan latar belakang yang diadakan di Menara HASiL.
Program berkenaan menjadi platform interaktif untuk menjelaskan layanan cukai terhadap pendapatan yang dijana oleh pempengaruh media sosial. Antara sumber pendapatan yang diberikan perhatian termasuklah bayaran daripada platform digital, penajaan produk, jualan jenama sendiri, serta royalti penggunaan kandungan yang semuanya tertakluk di bawah Perenggan 4(a), Akta Cukai Pendapatan 1967.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar) HASiL, YBhg. Datuk Hisham Rusli berkata, pendekatan dialog secara langsung itu mencerminkan komitmen HASiL bagi memastikan pemain industri digital memahami dan mematuhi kewajipan cukai masing-masing.
Menurut beliau, pempengaruh media sosial kini merupakan sebahagian penting daripada ekosistem ekonomi negara dan setiap pendapatan yang dijana adalah tertakluk pada peraturan percukaian yang ditetapkan.
Beliau turut menjelaskan bahawa sesi libat urus tersebut bukan sahaja bertujuan menerangkan kewajipan cukai secara lebih jelas dan tersusun, malah membuka ruang kepada HASiL untuk mendengar pandangan, cabaran dan realiti semasa yang dihadapi oleh penggiat kandungan dalam landskap digital yang sentiasa berkembang.
Sebagai langkah sokongan berterusan, HASiL menerbitkan Garis Panduan Layanan Cukai ke atas Pendapatan Pempengaruh Media Sosial pada 14 Januari 2026 yang boleh diakses melalui portal rasmi agensi. Penerbitan garis panduan itu bertujuan membantu pempengaruh memahami aspek pelaporan dan pematuhan cukai dengan lebih komprehensif.
HASiL menegaskan komitmen untuk terus mempergiat pendekatan kolaboratif dan pendidikan percukaian bagi memastikan sistem percukaian negara kekal relevan, telus dan seiring dengan perkembangan ekonomi digital.
Sebarang pertanyaan dan maklum balas boleh dikemukakan melalui Hasil Contact Centre (HCC) menerusi talian 03-89111000 atau 603-89111000 (luar negara); perkhidmatan “HASiL Live Chat” dan Borang Maklum Balas dalam portal rasmi HASiL.