Diterbitkan pada 24 Februari 2026, 14:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dalam meniti arus pemodenan ekonomi yang semakin kompleks, Malaysia kini berdepan dengan realiti baharu yang menuntut perubahan dalam pendekatan pengurusan kebajikan rakyat. Tekanan kos sara hidup, perubahan struktur demografi dan jurang kesenjangan yang masih wujud meletakkan beban yang besar di bahu kerajaan.

Pada masa yang sama, kerajaan turut berdepan dengan kekangan ruang fiskal yang menuntut perbelanjaan awam diurus secara lebih cekap dan berhemah, khususnya bagi mencapai sasaran defisit fiskal di bawah tiga peratus menjelang tahun 2030. Keadaan ini membawa kepada satu kesimpulan yang jelas bahawa kerajaan tidak lagi mampu bertindak sendirian sebagai penyedia tunggal jaringan keselamatan sosial.

Model yang bergantung sepenuhnya pada bantuan tunai dan subsidi kerajaan semata-mata tidak lagi mampan untuk jangka masa panjang. Oleh itu, Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) yang bertemakan “Melakar Semula Pembangunan” memperkenalkan satu anjakan paradigma yang signifikan.

Sering kali reformasi perkhidmatan awam ditafsirkan secara terhad, sekadar merujuk penambahbaikan mutu kaunter perkhidmatan atau mempercepat urusan birokrasi. Namun begitu, di bawah kerangka Ekonomi MADANI dan RMK-13, Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) menggalas mandat yang jauh lebih besar. Agenda ini bukan sekadar memfokuskan kecekapan dalaman institusi kerajaan, malah berperanan sebagai strategi serampang dua mata untuk mengarusperdanakan sektor ketiga yang merangkumi badan bukan kerajaan (NGO), koperasi dan perusahaan sosial sebagai rakan strategik dalam pembangunan negara .

Melalui Tonggak C dalam RMK-13, iaitu “Mempercepat Pelaksanaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam”, kerajaan beriltizam untuk beralih peranan daripada pelaksana utama kepada pemudah cara. Reformasi tersebut menjadi kunci penting dalam menyusun semula ekonomi sosial daripada model yang berteraskan kebajikan dan kebergantungan kepada model yang lebih “mandiri dan mampan”.

Penyusunan Semula Ekonomi Sosial

Walaupun sektor ketiga telah lama berfungsi sebagai pelengkap kepada peranan kerajaan, ekosistemnya masih bersifat sementara dan belum mencapai tahap kematangan yang optimum. Antara cabaran utama termasuklah ketiadaan dasar khusus yang menyeluruh, sekali gus menyebabkan ketidakselarasan hala tuju. Tanpa dasar induk yang jelas, inisiatif ekonomi sosial sering bergerak secara berasingan, mengakibatkan pertindihan usaha dan pembaziran sumber yang sepatutnya dapat disinergikan untuk menghasilkan impak yang lebih besar.

Selain itu, isu tadbir urus yang terpisah turut menjadi hambatan. Ketika ini, kawal selia sektor ketiga terletak di bawah pelbagai agensi berbeza dengan bidang kuasa yang bertindih. Keadaan tersebut menyukarkan pemain industri dan menjejaskan keupayaan operasi secara cekap. Ketiadaan pusat rujukan tunggal atau mekanisme penyelarasan yang berkesan menyebabkan potensi sektor ini untuk berkembang sebagai entiti ekonomi yang sah sering terhalang oleh kerenah birokrasi.

Cabaran seterusnya ialah kebergantungan pada dana kerajaan. Sebahagian besar pemain sektor ketiga masih bergantung pada geran awam bagi menampung kelangsungan operasi. Model pembiayaan sedemikian bukan sahaja memberikan tekanan kepada fiskal negara, malah mengehadkan daya tahan organisasi. Keterbatasan sumber kewangan yang tidak menentu menyukarkan perancangan program jangka masa panjang, sekali gus menjadikan bantuan kepada golongan sasar bersifat bermusim dan tidak mampan.

Tanpa intervensi struktur yang menyeluruh melalui penyelarasan agensi dan penggubalan dasar yang mantap, potensi sektor ketiga untuk menyumbang secara signifikan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan kesejahteraan rakyat akan terus terbantut. Ekonomi sosial perlu beralih daripada sekadar berfungsi sebagai badan kebajikan kepada sektor ekonomi yang mandiri, diiktiraf dan berupaya menjanakan pendapatan sendiri, sekali gus mengurangkan kebergantungan pada belanjawan kerajaan.

Reformasi Perundangan: Membina Ekosistem Ekonomi Sosial yang Kondusif

Bagi menterjemahkan aspirasi penyusunan semula ini kepada realiti, peranan kerajaan perlu beralih daripada penyalur dana kepada arkitek yang membangunkan ekosistem kondusif. Di bawah Keutamaan C5 dalam ARPA, langkah asas yang digariskan adalah dengan mewujudkan kerangka tadbir urus yang jelas, tersusun dan berstruktur.

Ketiadaan panduan menyeluruh sebelum ini dikenal pasti sebagai kekangan utama kepada perkembangan ekonomi sosial. Sehubungan dengan itu, komitmen untuk membangunkan Dasar Ekonomi Sosial dilihat sebagai langkah strategik yang amat kritikal. Dasar berkenaan bakal berfungsi sebagai kompas untuk mengarusperdanakan sektor ketiga ke dalam arus perdana ekonomi negara. Melaluinya, peranan NGO, koperasi, dan perusahaan sosial tidak lagi dianggap sebagai entiti pinggiran, sebaliknya diiktiraf sebagai rakan strategik yang memegang mandat jelas dalam membantu menangani isu sosioekonomi rakyat.

Walau bagaimanapun, dasar semata-mata tidak mencukupi tanpa sokongan perundangan yang mantap. Oleh itu, langkah reformasi seterusnya yang melibatkan penggubalan perundangan dan pengukuhan kawal selia ekonomi sosial amat signifikan. Usaha tersebut penting bagi membina keyakinan awam terhadap integriti sektor ketiga, memastikan dana sumbangan diuruskan mengikut tatakelola terbaik, serta mengelakkan sebarang penyalahgunaan yang boleh menjejaskan pertumbuhan sektor berkenaan.

Selaras dengan prinsip reformasi institusi di bawah ARPA, usaha rasionalisasi agensi berkaitan dengannya turut dirancang. Ketidakseragaman tadbir urus yang sebelum ini menyukarkan pemain industri dijangka dapat ditangani melalui pemusatan fungsi kawal selia dan pembangunan di bawah satu entiti atau mekanisme penyelarasan yang lebih cekap. Pendekatan tersebut selari dengan strategi ARPA untuk mengurangkan pertindihan fungsi antara agensi kerajaan, sekali gus memastikan penyampaian perkhidmatan kepada entiti ekonomi sosial menjadi lebih tangkas dan menyeluruh .

Secara keseluruhannya, gabungan dasar yang jelas, perundangan yang kukuh, dan struktur tadbir urus yang tersusun melalui ARPA menyediakan asas yang stabil untuk membolehkan ekonomi sosial berkembang daripada sekadar aktiviti kebajikan kepada sebuah sektor ekonomi yang profesional dan berdaya saing.

Pemerkasaan Kerajaan Teknologi (GovTech): Memacu Kecekapan melalui Integrasi Data

Selain kerangka perundangan, teknologi berperanan sebagai pemboleh daya utama dalam merealisasikan potensi ekonomi sosial. Di bawah ARPA, pemerkasaan GovTech bukan sekadar melibatkan proses pendigitalan, sebaliknya merangkumi rombakan menyeluruh terhadap pendekatan kerajaan dalam berinteraksi dengan sektor ketiga bagi memastikan bantuan benar-benar sampai kepada kumpulan sasaran.

Antara cabaran utama dalam penyampaian bantuan sosial sebelum ini termasuklah ketirisan dan pertindihan data. Melalui inisiatif GovTech, penggunaan Pangkalan Data Utama (PADU) dan integrasi data merentas agensi membolehkan NGO dan perusahaan sosial menyalurkan bantuan kepada golongan rentan berdasarkan maklumat yang tepat dan terkini. Pendekatan berpaksikan data ini memastikan sumber yang terhad dimanfaatkan secara optimum selari dengan prinsip “Tuntas” yang ditekankan dalam ARPA.

Reformasi berkenaan turut memperkenalkan konsep gerbang tunggal bagi sektor awam. Bagi entiti ekonomi sosial, pendekatan tersebut membolehkan urusan pendaftaran, pelaporan dan permohonan kerjasama dengan kerajaan dilaksanakan melalui satu platform digital bersepadu. Kaedah ini secara langsung mengurangkan kos operasi dan masa yang terbuang akibat kerenah birokrasi, sekali gus membolehkan organisasi sektor ketiga menumpukan sumber kepada pelaksanaan program dan pencapaian impak sosial yang lebih berkesan.

Peralihan kepada pendigitalan membuktikan bahawa ARPA bukan sekadar reformasi dalaman institusi kerajaan, sebaliknya satu usaha strategik untuk mempermudah urusan rakyat dan organisasi sosial agar dapat bergerak seiring dengan kepantasan ekonomi digital.

Perniagaan Inklusif: Beralih daripada Kebajikan kepada Kemampanan

Anjakan paling signifikan dalam penyusunan semula ekonomi sosial di bawah RMK-13 ialah peralihan daripada model berasaskan kebajikan kepada model ekonomi yang mandiri dan mampan. Melalui strategi pemerkasaan sektor ketiga, naratif pembangunan negara tidak lagi menempatkan NGO dan perusahaan sosial sebagai entiti yang bergantung sepenuhnya pada dana awam, sebaliknya sebagai penggerak ekonomi yang produktif dan berdaya saing.

Dalam konteks ini, konsep perniagaan inklusif diangkat sebagai strategi teras. Pendekatan tersebut menuntut syarikat korporat, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat multinasional (MNC) supaya mengintegrasikan sektor ketiga ke dalam rantaian nilai perniagaan masing-masing. Peranan korporat bukan lagi terbatas kepada penyaluran dana melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang terpisah daripada operasi teras syarikat. Sebaliknya, melalui reformasi ini, kerajaan bertindak sebagai pemangkin dengan membangunkan rangka tindakan khusus bagi menggalakkan syarikat besar membuka peluang bekalan dan perkhidmatan kepada perusahaan sosial dan koperasi.

Langkah berkenaan diperkukuh melalui penyediaan insentif bersasar di bawah ARPA kepada syarikat yang berjaya membuktikan impak sosial yang ketara melalui model perniagaan masing-masing. Sasaran yang ditetapkan dalam RMK-13 turut mencerminkan aspirasi tersebut, termasuk unjuran untuk menarafkan 1,000 perusahaan sosial dan mengiktiraf 100 syarikat yang terlibat dalam perniagaan inklusif menjelang tahun 2030. Selain itu, sektor koperasi disasarkan menyumbang nilai perolehan kumulatif sebanyak RM100 bilion, sekali gus membuktikan potensi ekonomi sektor ketiga yang besar sekiranya diurus tadbir secara cekap dan berkesan.

Sinergi Kerajaan dan Masyarakat

Secara keseluruhannya, ARPA bukan sekadar pelan penyusunan semula struktur pentadbiran, tetapi manifestasi hasrat untuk membina masyarakat yang berdaya tahan dengan meletakkan sektor ketiga sebagai rakan strategik yang setara dalam pembangunan negara.

Apabila perkhidmatan awam menjadi lebih cekap melalui pemerkasaan GovTech, lebih telus melalui reformasi perundangan dan lebih inklusif melalui dasar ekonomi sosial, terbentuklah satu modal sosial yang amat bernilai, iaitu kepercayaan. Kepercayaan tersebut menjadi asas kekuatan kepada sektor ketiga untuk berkembang dengan lebih pesat dan mengambil alih sebahagian tanggungjawab sosial yang sebelum ini digalas sepenuhnya oleh kerajaan.

Kejayaan penyusunan semula ini tidak diukur semata-mata berdasarkan jumlah agensi yang dirasionalisasikan atau bilangan akta yang digubal. Sebaliknya, kejayaan sebenar terserlah apabila wujud sinergi kukuh antara kerajaan dan sektor swasta dengan masyarakat sivil dalam mengagihkan kemakmuran negara secara adil dan saksama selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI untuk melakar semula pembangunan Malaysia yang lebih manusiawi.

Mohamad Fadhlullah Omar, Pegawai Ekonomi di Bahagian Fiskal dan Ekonomi, Kementerian Kewangan Malaysia; dan Profesor Dr. Amirul Afif Muhamat, Pensyarah Kewangan dan Perbankan Islam di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi