Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSaya membesar di premis perniagaan keluarga dengan dua buah kedai yang bersebelahan, sebuah kedai kopi dan sebuah kedai runcit. Di situlah saya menyaksikan sendiri evolusi perniagaan kecil. Pada suatu ketika, jurujual datang dengan van atau lori yang sarat dengan barangan, lalu menurunkannya mengikut keperluan pekedai.
Beberapa tahun kemudian, jurujual hanya hadir menaiki kereta kecil untuk mengambil pesanan, sementara penghantaran dibuat oleh syarikat logistik. Perubahan ini berlaku secara berperingkat selari dengan kemampuan dan keperluan peniaga.
Namun demikian, ketika dunia rancak membicarakan Revolusi Perindustrian Keempat, kecerdasan buatan dan automasi pintar, masih terdapat peniaga di pekan kecil Malaysia yang mencatat jualan dalam buku tiga lima. Keadaan ini bukan berpunca daripada penolakan terhadap kemajuan, tetapi mencerminkan realiti bahawa proses digitalisasi tidak semudah slogan yang tertera dalam pelan tindakan nasional.
Di atas kertas, digitalisasi digambarkan sebagai pemacu ekonomi, tetapi bagi sebahagian besar perusahaan kecil dan sederhana (PKS), digitalisasi hadir sebagai tuntutan yang menekan.
Retorik Transformasi Digital
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, hampir setiap kementerian dan agensi kerajaan mengangkat agenda “transformasi digital” sebagai keutamaan. Pelbagai aplikasi e-dagang, platform pembayaran dan sistem dalam talian diperkenalkan dengan niat yang baik.
Namun demkian, di sebalik retorik yang optimistik, banyak pengusaha PKS masih bergelut untuk bertahan, bukan kerana enggan berubah, tetapi kerana kos perubahan yang tinggi. Langganan perisian, pemasaran digital dan latihan pekerja memerlukan modal yang besar sedangkan margin keuntungan peniaga kecil sering kali terhad.
Cabaran ini lebih ketara di luar bandar apabila capaian Internet tidak menentu dan tahap literasi digital masih rendah. Bagi golongan ini, digitalisasi bukan peluang, sebaliknya menjadi faktor pengasingan.
Di bandar pula, pengusaha kecil berdepan dengan dominasi platform digital berskala global yang mengenakan komisen tinggi, mengawal algoritma capaian dan secara tidak langsung mempengaruhi harga pasaran. Akibatnya, peniaga kecil tidak lagi menguasai perniagaan mereka sepenuhnya, sebaliknya sekadar menjadi peserta dalam ekosistem digital yang dikuasai pihak lain.
Jurang Digital yang Semakin Melebar
Ironinya, sebahagian dasar yang bertujuan membantu PKS ke arah digitalisasi akhirnya memperluas jurang sedia ada. Syarikat besar yang sudah celik digital lebih mudah memanfaatkan geran dan insentif, manakala perniagaan mikro terus tercicir.
Faktor jaringan, akses maklumat dan keupayaan modal memberikan kelebihan kepada segelintir pihak, sementara majoriti peniaga kecil masih tercari-cari arah dalam dunia digital yang pantas berubah.
Tambahan pula, banyak inisiatif digital bersifat jangka masa pendek. Bengkel dianjurkan, sijil diberikan dan program berakhir tanpa bimbingan lanjutan. Usahawan kecil kembali ke premis masing-masing tanpa sokongan praktikal yang berterusan.
Ketiadaan sistem sokongan jangka masa panjang menyebabkan banyak pengusaha kembali kepada kaedah lama kerana pendekatan digital dirasakan rumit dan membebankan. Akhirnya, transformasi digital sekadar menjadi angka dalam laporan tahunan, bukan perubahan sebenar di lapangan.
Digitalisasi yang Bersifat Realistik
Walau bagaimanapun, isu ini tidak wajar dilihat sebagai kegagalan mutlak. Terdapat PKS yang berjaya menyesuaikan diri dengan pendekatan digital yang berskala kecil dan bersifat organik.
Di beberapa negeri misalnya, pengusaha makanan tradisional memanfaatkan media sosial untuk memasarkan produk kepada komuniti setempat tanpa bergantung pada platform besar. Pendekatan ini membuktikan bahawa digitalisasi tidak perlu bersifat seragam, sebaliknya boleh berkembang mengikut konteks budaya dan kemampuan setempat.
Dalam hal ini, literasi digital perlu difahami secara lebih luas. Hal ini bukan sekadar keupayaan menggunakan aplikasi, tetapi kefahaman terhadap strategi perniagaan, data dan algoritma. Tanpa asas ini, banyak peniaga kecil mudah terperangkap dengan tawaran “pakej digital” yang menjanjikan pulangan segera sedangkan pelaburan tersebut akhirnya menjadi beban kewangan.
Identiti dan Kemanusiaan Ekonomi
Satu lagi dimensi yang jarang dibincangkan ialah soal identiti. Apabila semua perniagaan berlumba-lumba meniru gaya digital global, keunikan tempatan semakin terhakis. Nilai budaya, bahasa dan hubungan sosial yang selama ini menjadi kekuatan ekonomi setempat tenggelam dalam algoritma yang mengutamakan populariti berbanding dengan makna. Jika digitalisasi tidak diseimbangkan dengan nilai kemanusiaan dan budaya, kita bukan sahaja kehilangan perniagaan kecil, tetapi juga jiwa ekonomi bangsa.
Ekonomi digital yang mampan tidak boleh dibina semata-mata atas kelajuan dan angka. Hal ini perlu berpaksikan kepercayaan, hubungan dan nilai kemanusiaan. Peniaga kecil yang dahulu mengenali pelanggan secara peribadi kini berdepan dengan tekanan untuk bergantung sepenuhnya pada data dan statistik. Hubungan sosial bertukar menjadi transaksi semata-mata dan inilah risiko digitalisasi tanpa roh.
Digitalisasi seharusnya difahami sebagai satu perjalanan, bukan perlumbaan. Tidak semua PKS mampu bergerak pada kadar yang sama. Pendekatan dasar yang lebih bersifat mendengar dan membimbing bukannya mengarah amat diperlukan. Kejayaan digital tidak wajar diukur melalui bilangan aplikasi atau platform, tetapi sejauh mana kehidupan pengusaha kecil benar-benar menjadi lebih baik.
Pada akhirnya, digitalisasi bukan sekadar soal teknologi, tetapi soal manusia. Jika keseimbangan antara kemajuan dengan kemanusiaan gagal dipelihara, kita hanya akan membina ekonomi yang kelihatan moden, tetapi rapuh di dalam. Antara kemandirian dengan slogan, di situlah sepatutnya dasar ekonomi negara berpijak.
Penulis ialah seorang karyawan dan editor perunding yang telah terlibat dalam lebih daripada 150 penerbitan sejak tahun 2008.