Diterbitkan pada 11 Februari 2026, 19:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Perak – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) terus menyokong Agenda MADANI dengan memperkasakan ekonomi rakyat menerusi perasmian Dataran Niaga Kampung Manjoi, Perak.

Inisiatif ini di bawah Program Kampung Angkat MADANI yang menyediakan ruang perniagaan lebih tersusun, kondusif dan berdaya saing kepada peniaga tempatan.

Dataran Niaga yang dibangunkan di tapak Pasar Baharu Manjoi, Jalan Seri Tanjung itu merupakan lokasi yang sekian lama menjadi nadi aktiviti ekonomi dan sosial penduduk setempat.

Menerusi peruntukan berjumlah RM500,000 yang disalurkan oleh Kementerian Kewangan (MoF), kawasan berkenaan dinaik taraf bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih selesa dan selamat untuk peniaga dan pengunjung.

Kerja pembangunan projek tersebut bermula pada 25 November 2025 dan siap sepenuhnya pada 31 Januari 2026. Projek ini dijangka memberikan nafas baharu kepada kawasan Pasar Baharu Manjoi, selain berperanan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat dengan membuka peluang keusahawanan baharu dan meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti.

Dalam ucapan perasmian, Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq menegaskan bahawa HASiL sentiasa komited menyokong inisiatif yang memberikan manfaat langsung kepada rakyat.

YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin berucap semasa merasmikan Dataran Niaga Kampung Manjoi, Perak.

Menurut beliau, pembangunan Dataran Niaga Kampung Manjoi membuktikan kerjasama erat antara kerajaan dengan komuniti setempat mampu merancakkan ekonomi tempatan, serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat selaras dengan aspirasi Agenda MADANI.

Beliau turut memaklumkan bahawa HASiL akan terus memainkan peranan aktif bagi memperkukuh pembangunan komuniti yang inklusif dan berimpak jangka masa panjang sejajar dengan pendekatan keseluruhan kerajaan (whole-of-government) yang menjadi teras kepada pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI.

YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin diiringi oleh Pegawai Daerah Kinta, Tuan Zulhisham Ahmad Shukori  menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada seorang daripada penduduk Kampung Manjoi.

Sempena majlis tersebut, HASiL turut menyantuni penduduk setempat dengan penyerahan bakul makanan kepada 30 orang asnaf terpilih, serta membuka kaunter Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi memudahkan pengunjung mendapatkan maklumat dan bantuan berkaitan dengan bantuan kerajaan.

HASiL membuka kaunter Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi memudahkan pengunjung mendapatkan maklumat dan bantuan yang diperlukan.

Secara keseluruhannya, pembangunan Dataran Niaga Kampung Manjoi diharap dapat memperkukuh hubungan antara HASiL dengan masyarakat setempat, di samping menyumbang kepada pembangunan komuniti dan pertumbuhan ekonomi yang mampan selaras dengan matlamat pembangunan negara.

Majlis perasmian turut dihadiri Pengarah Pembangunan Negeri Perak, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri, YBhg. Dato’ Hj. Mohd Zakuan Hj. Zakaria; Pegawai Daerah Kinta, YBrs. Tuan Zulhisham Ahmad Shukori; barisan pengurusan HASiL, serta pemimpin dan wakil komuniti setempat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi