Diterbitkan pada 4 Februari 2026, 17:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – Majlis Amanah Rakyat (MARA) menganjurkan Program Konvoi Gemilang 60 Tahun MARA dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersempena dengan ulang tahun ke-60 penubuhan agensi tersebut.

Penganjuran program ini merupakan usaha berterusan MARA untuk menyantuni golongan asnaf di samping meraikan kejayaan usahawan bimbingannya di seluruh negeri Perlis.

Program berkenaan diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang berkenan mengetuai konvoi, diiringi anakanda puteri kedua baginda berdua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Yang turut hadir ialah barisan pengurusan tertinggi MARA, termasuk Ketua Pengarah MARA, YBhg. Datuk Zulfikri Osman; Timbalan Ketua Pengarah MARA, YBrs. Encik Zahari Aziz; serta Pengarah MARA Negeri Perlis, YBrs. Encik Mohd. Azam Jamaluddin.

Sempena penganjuran program tersebut, MARA menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada golongan asnaf, antaranya termasuklah bantuan persekolahan kepada 30 orang pelajar asnaf, sumbangan tunai kepada pelajar asnaf yang melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi, serta sumbangan kewangan kepada lima orang anak angkat Rural Capital Berhad (RCB).

Selain itu, bantuan kewangan, sumbangan kotak makanan dan bantuan pembaikan rumah turut disampaikan kepada keluarga asnaf terpilih dengan jumlah keseluruhan sumbangan melebihi RM20,000.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs berupa wang tunai berjumlah RM700, Kit MAIPs Peduli, serta beras fidyah kepada tiga orang penerima asnaf terpilih, iaitu Mohd. Shahrizul Amri Ali, 30, dari Kampung Titi Serong; Hiezez Zakaria, 35, dari Kampung Padang Besar Selatan; dan Sahibollah Bahari, 43, dari Kampung Bahagia Seberang Tok Pi.

Program konvoi tersebut turut singgah di dua hentian usahawan MARA yang mencatat pencapaian memberangsangkan hasil bimbingan dan sokongan berterusan MARA, iaitu inap desa The Mamawan Stay di Jalan Padang Besar, Kuala Perlis dan Pusat Servis, serta Pembaikan Kenderaan Haquetta Sdn. Bhd. di Lot 27, Kawasan Perindustrian Kuala Perlis.

Selain itu, konvoi ini turut melibatkan penyertaan subsidiari MARA, iaitu Rural Capital Berhad dan Yayasan Pelajaran MARA, sekali gus mencerminkan sinergi strategik pelbagai entiti dalam memperkasakan agenda pembangunan keusahawanan, serta memperkukuh kesejahteraan sosioekonomi masyarakat di Perlis.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi