Diterbitkan pada 23 Januari 2026, 16:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pada 3 Januari 2026, tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan operasi ketenteraan besar-besaran terhadap Venezuela yang berakhir dengan penahanan Presiden Nicolas Maduro dan isterinya, Cilia Flores di Caracas, ibu kota negara itu. Menurut pengumuman rasmi oleh Presiden AS, Donald Trump, operasi tersebut melibatkan serangan pasukan khas dan seterusnya membawa pasangan tersebut ke New York untuk dihadapkan ke Mahkamah Persekutuan atas tuduhan berkaitan dengan perdagangan dadah dan pelibatan dalam rangkaian penyeludupan global.

Trump memberikan alasan bahawa tindakan itu dilakukan sebagai sebahagian daripada usaha memerangi keganasan dadah dan mengukuhkan keselamatan negara. Beliau mendakwa bahawa Maduro dan isterinya mengetuai organisasi penyeludupan dadah yang memberikan impak negatif besar kepada rakyat AS. Namun demikian, dakwaan ini dipertikaikan oleh banyak pengkritik, termasuk pakar undang-undang antarabangsa yang menyifatkan operasi tersebut sebagai pelanggaran serius terhadap kedaulatan negara lain dan prinsip undang-undang antarabangsa.

Dari segi undang-undang antarabangsa, ketua negara memegang imuniti diplomatik dan imuniti ketua negara semasa menjawat jawatan seperti yang dirangka dalam Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961 (Vienna Convention of Diplomatic Relations 1961) dan amalan undang-undang antarabangsa. Imuniti ketua negara secara tradisinya melindungi pemegang jawatan tersebut daripada pendakwaan di mahkamah negara asing semasa tempoh perkhidmatan. Namun begitu, perlindungan ini tidak menghalang pendakwaan di mahkamah jenayah antarabangsa bagi kesalahan berat seperti genosid, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan. Tidak terdapat bukti jelas bahawa Maduro dituduh di bawah kesalahan yang termasuk dalam kategori tersebut. Oleh itu, penahanan beliau oleh kuasa asing menimbulkan persoalan serius tentang kewajaran tindakan tersebut yang lebih menyerupai penculikan ketenteraan, bukannya suatu proses perundangan yang sah.

Isu ini juga mencetuskan perbandingan sejarah, termasuk operasi ketenteraan AS pada tahun 1989 terhadap Manuel Noriega, bekas Presiden Panama yang ditangkap dan dibawa ke AS untuk diadili atas tuduhan berkaitan dengan dadah. Kedua-dua peristiwa tersebut menunjukkan bahawa kuasa besar menggunakan kuasa ketenteraan dan undang-undang domestik mereka sendiri sebagai alat dasar luar untuk mengatasi pemimpin asing. Tindakan itu merupakan suatu langkah yang terus dibahaskan dari segi moral, undang-undang dan implikasi geopolitik.

Impak Tindakan AS terhadap Venezuela

Tindakan AS terhadap Venezuela memperlihatkan sekurang-kurangnya dua implikasi besar yang memberikan kesan langsung kepada landskap geopolitik serantau dan global. Pendekatan yang digerakkan AS bukan sahaja mencerminkan perubahan dasar luar negara tersebut, malah menimbulkan persoalan serius terhadap prinsip kedaulatan negara dan kestabilan sistem antarabangsa.

Impak pertama dapat dilihat melalui kebangkitan dasar imperialisme baharu AS terhadap negara membangun, khususnya ketika negara itu berdepan dengan tekanan ekonomi dalaman dan persaingan global yang semakin sengit, terutamanya dalam perang teknologi dan perdagangan dengan China. Selepas memenangi Pilihan Raya Presiden AS pada tahun 2024, Trump mengumumkan beberapa pendekatan dasar yang lebih agresif seperti penguatkuasaan tarif perdagangan berskala besar dan pendirian terbuka untuk memperkukuh dominasi geopolitik dan ekonomi AS pada peringkat antarabangsa.

Antara kenyataan yang mencetuskan kebimbangan antarabangsa termasuklah cadangan Trump pada tahun 2019 untuk membeli Greenland, sebuah wilayah autonomi di bawah Denmark. Walaupun cadangan tersebut tidak direalisasikan, pendekatan sedemikian mencerminkan kecenderungan dasar luar AS yang menekankan pengukuhan dominasi geopolitik dan kepentingan strategik dalam sistem antarabangsa yang semakin multipolar.

Dalam konteks Amerika Latin, Venezuela menjadi antara sasaran utama. Selepas tekanan politik dan ketenteraan dikenakan, AS secara terbuka menyatakan hasrat untuk mengambil alih pentadbiran Venezuela, khususnya melalui penguasaan sektor minyak dan tenaga negara tersebut. AS turut mengeluarkan ancaman terhadap Colombia, Cuba dan Mexico yang sering mengkritik dasar ekonomi dan dasar luar AS di rantau Amerika Latin.

Tindakan unilateral tersebut turut mencetuskan bantahan keras daripada negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Kesatuan Eropah, khususnya selepas AS menyuarakan secara terbuka niat untuk menguasai Greenland. Pendekatan sehala sedemikian mewujudkan ketidaktentuan geopolitik yang semakin ketara, sekali gus mendorong penentangan terbuka daripada negara Amerika Latin dan Eropah terhadap usaha AS menguasai wilayah dan sumber ekonomi negara lain. Dari sudut geopolitik global, kebangkitan imperialisme baharu AS berpotensi mencetuskan konflik serantau yang lebih meluas, selain memperhebat ketegangan ekonomi dan perdagangan yang sedang berlarutan dengan kuasa besar seperti Rusia dan China.

Impak kedua pula berkait rapat dengan pencabulan prinsip kedaulatan negara apabila kuasa asing berusaha menguasai kekayaan semula jadi negara lain demi kepentingan sendiri. Situasi ini jelas tergambar apabila pada 9 Januari 2026, Trump mengadakan pertemuan tertutup bersama-sama eksekutif syarikat minyak utama AS seperti ExxonMobil, dan ConocoPhillips, selain beberapa syarikat tenaga dari Itali dan Sepanyol.

Dalam pertemuan tersebut, Trump dilaporkan meminta penyediaan dana sekitar USD100 bilion bagi membangunkan infrastruktur pemprosesan minyak Venezuela. Walau bagaimanapun, cadangan tersebut disambut dengan keraguan oleh pihak industri kerana sektor tenaga Venezuela berdepan dengan pelbagai kekangan, termasuk infrastruktur yang uzur dan kualiti minyak mentah berat yang memerlukan kos pemprosesan yang tinggi.

Persoalan utama yang timbul ialah sejauh mana nilai sebenar industri minyak Venezuela berdasarkan data pasaran dan maklumat industri terkini. Venezuela sebenarnya memiliki simpanan minyak mentah terbukti terbesar di dunia yang dianggarkan sekitar 303 bilion tong yang mewakili kira-kira 17 peratus hingga 18 peratus daripada keseluruhan simpanan minyak global.

Namun begitu, sebahagian besar simpanan tersebut masih tersimpan di dalam bumi dan memerlukan pelaburan modal yang sangat tinggi untuk dikeluarkan. Menurut laporan pasaran minyak dan gas antarabangsa, nilai pasaran industri minyak dan gas Venezuela dianggarkan sekitar USD1.87 bilion pada tahun 2025 dengan jangkaan peningkatan kepada kira-kira USD2.19 bilion menjelang tahun 2031 bergantung pada tahap pemulihan ekonomi dan kestabilan politik negara tersebut.

Sekiranya penilaian merangkumi keseluruhan rantaian industri, termasuk aktiviti hiliran seperti pengeluaran, pengangkutan, penapisan dan petrokimia, potensi nilai ekonomi tahunan mampu mencecah sekitar USD60 bilion apabila semua sektor strategik beroperasi sepenuhnya. Walau bagaimanapun, nilai pasaran semasa yang dianggarkan sekitar USD1.9 bilion menggambarkan tahap aktiviti industri yang rendah akibat kejatuhan pengeluaran dan kesan sekatan antarabangsa.

Dari sudut perdagangan, eksport minyak mentah Venezuela dilaporkan bernilai sekitar USD4.05 bilion pada tahun 2023, sekali gus mencerminkan jurang ketara berbanding dengan negara pengeluar utama seperti Arab Saudi yang mencatatkan puluhan bilion dolar setiap tahun. Situasi tersebut mencerminkan kemerosotan output nasional dan pengaruh kuat sekatan ekonomi antarabangsa.

Pada ketika ini, pengeluaran minyak Venezuela berada pada tahap kurang daripada satu peratus bekalan global menyebabkan gangguan bekalan dunia tidak memberikan kesan besar seperti yang lazim berlaku terhadap negara Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) utama. Keadaan ini memperlihatkan jurang ketara antara potensi sebenar Venezuela sebagai pemilik simpanan minyak terbesar dunia dengan realiti ekonomi semasa yang dihadapi.

Minyak Venezuela dalam Percaturan Kuasa Besar Dunia

Timbul persoalan penting mengenai motif sebenar di sebalik tindakan AS terhadap Venezuela, khususnya berkaitan dengan penguasaan minyak yang merupakan sumber ekonomi paling strategik di negara Amerika Selatan tersebut. Menurut pemerhati dan penganalisis ekonomi, terdapat faktor utama yang mendorong pemerintahan Trump untuk memberikan tumpuan pada sektor tenaga Venezuela selepas operasi ketenteraan pada awal Januari 2026.

Faktor pertama berkaitan dengan sasaran pentadbiran Trump untuk menstabilkan atau menurunkan harga minyak mentah dalam pasaran global. Trump dilaporkan mahu harga minyak turun ke paras sekitar USD50 setong berbanding dengan sekitar USD60 setong ketika ini bagi memberikan ruang kepada industri berasaskan minyak di AS untuk meningkatkan output, termasuk sektor automotif tradisional yang kini bersaing sengit dengan pengeluar kenderaan elektrik dari China. Pada peringkat pengumuman awal selepas operasi, Trump menyatakan hasrat AS untuk “memperbaik infrastruktur minyak Venezuela” dan memastikan pengeluaran minyak dioptimumkan.

Kedua, AS turut berusaha menyekat penguasaan minyak Venezuela oleh China sebagai sebahagian daripada strategi geopolitik tenaga global. Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Malaysia pada 6 Januari 2026 menyatakan bahawa penahanan Maduro telah memberikan cabaran besar terhadap kepentingan ekonomi, tenaga dan geopolitik China di rantau Amerika Latin. Campur tangan AS di Venezuela dilaporkan menjejaskan pembayaran hutang berjumlah USD10 bilion oleh negara tersebut kepada syarikat China.

Walaupun tahap kebergantungan China terhadap minyak mentah Venezuela dianggap kecil sekitar dua peratus hingga 4.5 peratus, gangguan bekalan tersebut tetap memberikan kesan kepada sektor penapisan minyak dan meningkatkan kos operasi keseluruhan industri tenaga China. Situasi ini mendorong China untuk mengambil langkah mitigasi bagi memastikan keselamatan tenaga negara terus terjamin.

Sebagai tindak balas, China telah menggandakan kapasiti Simpanan Petroleum Strategik [Strategic Petroleum Reserve (SPR)] dengan mengeluarkan kira-kira 1.3 bilion tong simpanan minyak bagi menstabilkan keperluan domestik. Susulan terhentinya bekalan minyak dari Venezuela, China kini menumpukan perhatian pada sumber alternatif, khususnya dari negara Timur Tengah, Rusia dan Afrika Barat. Secara keseluruhannya, China tidak menunjukkan kebimbangan serius terhadap risiko kekurangan bekalan tenaga memandangkan terdapat pelbagai pembekal lain yang berupaya memenuhi keperluan industri negara tersebut secara berterusan.

Dari sudut geopolitik, tindakan AS terhadap Venezuela boleh ditafsirkan sebagai pelanggaran kedaulatan sesebuah negara yang bercanggah dengan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan prinsip undang-undang antarabangsa. Yang lebih membimbangkan, pendekatan tersebut mencerminkan kebangkitan agenda imperialisme baharu yang berpotensi mencetuskan ketegangan geopolitik yang lebih besar bukan sahaja di Amerika Latin, malah turut memberikan kesan rantaian ke Eropah.

Keadaan ini berlaku dalam suasana konflik perdagangan dan teknologi yang masih berlarutan antara AS dengan China, sekali gus menambah tekanan terhadap kestabilan ekonomi global. Ketidaktentuan berpanjangan berisiko memberikan impak langsung kepada negara membangun, termasuk Malaysia. Sehubungan dengan itu, Malaysia perlu mengambil pendekatan yang lebih strategik dan berhemah dalam mengurus cabaran luaran ini agar kestabilan ekonomi dan kemakmuran negara terus terpelihara.

Profesor Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi