Diterbitkan pada 20 Januari 2026, 14:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke menzahirkan minat terhadap perancangan pelaburan di Perlis, khususnya dalam sektor perindustrian, serta pembangunan Pelabuhan Darat Perlis [Perlis Inland Port (PIP)] yang berpotensi dijadikan rujukan kepada syarikat Australia yang berminat meneroka peluang pelaburan di negeri ini.

“Kami akan cuba berkongsi lebih banyak maklumat dengan syarikat yang berminat dan berharap dapat menarik syarikat Australia untuk datang meninjau peluang pelaburan di Perlis,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum sesi mengadap hormat Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Balai Menghadap Biru, Istana Arau, malam tadi.

Danielle Heinecke yang diiringi Setiausaha Pertama Suruhanjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur, Angela Rendal berkata, lawatan tersebut merupakan kunjungan pertamanya ke Perlis dan memberikan peluang untuk memahami dengan lebih dekat potensi pelaburan negeri ini, khususnya dalam pembangunan sektor perindustrian, serta usaha menarik lebih banyak pelaburan asing.

Yang turut berangkat pada sesi mengadap hormat itu ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Selepas selesai sesi tersebut, Danielle Heinecke diraikan dalam majlis santapan malam yang dihoskan oleh Raja Perlis bersama-sama Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis.

Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia itu berada di Perlis selama dua hari bermula 19 Januari hingga 20 Januari 2026 sempena lawatan kerja rasmi yang merangkumi sesi Taklimat Pembangunan Negeri oleh Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Perlis (BPEN) dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Perlis, serta penyertaan dalam program Kayuhan MAIPs Peduli bersama-sama Raja Muda Perlis.

Selain itu, beliau turut mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Derma, menyampaikan ucaptama dalam Ambassador Talk Series bertajuk “Strengthening Australian and Malaysian Ties Through Education” di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), menyantuni alumni pelajar Australia di Perlis, serta mengadakan perbincangan kerjasama dengan Naib Canselor, Rektor dan kepimpinan tertinggi institusi pendidikan tinggi yang beroperasi di negeri ini sebelum berlepas pulang ke Australia.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi