Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJitra — Usaha ternakan kelulut di Madrasah Tahfiz Taufiqillah bukan sahaja membantu menampung sebahagian perbelanjaan institusi itu, malah menjadi platform pembelajaran keusahawanan dan kemahiran praktikal kepada para pelajarnya.
Pengetua madrasah, iaitu Datuk Seri Auzaid Ismail berkata bahawa perusahaan madu kelulut yang diusahakan sejak tahun 2015 itu memanfaatkan ladang milik pusat tahfiz berkenaan di Kampung Lembah Arang, Wang Tepus.
Beliau berkata bahawa kebanyakan pelajar di madrasah tersebut terdiri daripada golongan asnaf, menyebabkan institusi itu tidak dapat bergantung sepenuhnya kepada yuran pengajian. Jelasnya lagi,
Kami tidak pernah memaksa pelajar yang tidak mampu untuk membayar yuran. Daripada hal itu, timbul ilham untuk menjana pendapatan sendiri, selain menerima sumbangan infaq daripada pelbagai pihak. Modal awal ternakan kelulut ini diperoleh daripada badan zakat.
Setakat ini, terdapat lebih 200 sarang kelulut yang mampu menghasilkan antara 200 hingga 300 kilogram madu asli setahun, dengan harga jualan RM180 sekilogram atau RM30 bagi pek 120 gram.
Menurutnya, pelibatan pelajar dalam perusahaan itu memberikan pendedahan awal berkaitan dengan pengurusan ternakan kelulut, antaranya termasuklah penjagaan koloni, proses penyedutan madu serta penghasilan produk hiliran berasaskan sumber semula jadi.
“Pendekatan ini berjaya melahirkan graduan tahfiz yang bukan sahaja menguasai ilmu agama, malah mempunyai kemahiran keusahawanan sebagai nilai tambah untuk masa hadapan mereka,” katanya.
Beliau berkata bahawa madu kelulut yang dihasilkan dipercayai mempunyai pelbagai khasiat kesihatan dan kini dipasarkan secara dalam talian melalui platform e-dagang selain jualan terus di madrasah berkenaan.
Istimewanya, Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan meninjau ladang kelulut di pusat tahfiz itu serta merasai madu kelulut terus daripada sarangnya.
Selain perusahaan madu, pusat tahfiz yang menempatkan lebih 60 pelajar dengan lima tenaga pengajar itu turut meneroka bidang baharu, iaitu penghasilan baja tanaman bagi menambahkan sumber pendapatan.