Diterbitkan pada 19 Disember 2025, 14:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pada 9 Julai 2025, Bank Negara Malaysia (BNM) melalui Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) mengumumkan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus. Pengumuman tersebut menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat dan pemain industri, apakah tujuan sebenar dasar ini dilaksanakan dan bagaimanakah perubahan kadar dasar monetari mampu memberikan kesan kepada landskap kewangan rakyat, serta para peniaga?

Dasar Monetari dan Hubungan dengan Ekonomi

Dasar Monetari merupakan satu daripada instrumen penstabilan ekonomi yang digunakan oleh kerajaan bagi menangani pelbagai masalah ekonomi, khususnya inflasi dan resesi. Inflasi merujuk keadaan kenaikan paras harga umum dalam ekonomi,  manakala resesi pula menggambarkan situasi penyusutan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan yang seterusnya membawa kepada penguncupan pengeluaran negara atau Keluaran Kasar Dalam Negara Kasar (KDNK).

Kedua-dua situasi ini membawa kebimbangan tersendiri. Inflasi menghakis nilai wang dan melemahkan kuasa beli masyarakat berbanding dengan tempoh sebelum kenaikan harga berlaku. Resesi pula mencetuskan kegusaran apabila kejatuhan perbelanjaan pengguna mendorong syarikat mengurangkan pengeluaran. Keadaan ini akhirnya meningkatkan kadar pengangguran dan melemahkan momentum ekonomi negara.

Hubungan Inflasi dan Resesi dengan Pengeluaran dan Perbelanjaan

Bagi memahami pelaksanaan dasar monetari dalam membantu menangani inflasi dan resesi, hubungan antara tahap perbelanjaan dengan tahap pengeluaran barangan dan perkhidmatan perlu dilihat secara menyeluruh.

Menurut pandangan ekonomi Keynesian, setiap negara mempunyai sumber pengeluaran terhad sekali gus menentukan tahap pengeluaran maksimum. Oleh sebab itu, permintaan atau perbelanjaan rakyat perlu berada pada tahap yang selari dengan kemampuan pengeluaran ekonomi.

Masalah mula timbul apabila tahap perbelanjaan tidak seimbang dengan pengeluaran sebenar. Apabila perbelanjaan melebihi pengeluaran dan keadaan ini berterusan, tekanan harga meningkat sehingga menyebabkan inflasi.

Sebaliknya, apabila perbelanjaan lebih rendah daripada kapasiti pengeluaran, ekonomi berisiko memasuki fasa resesi. Kekurangan permintaan menghalang peniaga daripada beroperasi pada tahap maksimum dan sekiranya keadaan berlarutan, negara berdepan dengan kemelesetan ekonomi yang lebih serius.

Masalah Ekonomi dan Intervensi Kerajaan

Kewujudan keadaan inflasi dan resesi memberikan petanda bahawa ekonomi negara berada dalam situasi yang tidak stabil. Bagi mengatasi cabaran ini, kerajaan melalui BNM menggunakan dasar monetari sebagai instrumen utama untuk memulihkan keadaan ekonomi.

Bagi menangani inflasi yang berpunca daripada tingkat perbelanjaan atau permintaan yang terlalu tinggi, kerajaan menyasarkan pengurangan dalam perbelanjaan rakyat supaya tekanan terhadap kenaikan harga dapat dikurangkan. Oleh itu, BNM akan meningkatkan kadar faedah bagi mencapai matlamat tersebut. Peningkatan kadar faedah menjadikan kos pinjaman lebih tinggi, manakala pulangan daripada simpanan menjadi lebih menarik. Akibatnya, pengguna cenderung mengurangkan aktiviti pinjaman bagi mengelakkan caj yang lebih tinggi dan sebaliknya memilih untuk menyimpan bagi mendapatkan pulangan yang lebih baik.

Bagi menangani masalah penguncupan ekonomi atau penurunan KDNK pula yang berpunca daripada perbelanjaan yang rendah, kerajaan lazimnya akan menurunkan kadar faedah. Langkah ini menjadikan caj pinjaman lebih rendah dan pulangan simpanan juga berkurangan. Keadaan tersebut mendorong rakyat dan perniagaan untuk membuat pinjaman, serta meningkatkan perbelanjaan. Peningkatan permintaan ini seterusnya merangsang pengeluaran pada tahap yang lebih tinggi sehingga mencapai paras optimum yang disasarkan.

Kadar Faedah dan OPR

BNM mengawal selia kadar faedah dalam negara melalui OPR. Penentuan kesesuaian OPR bagi mengekalkan kestabilan harga dan merangsang pertumbuhan ekonomi dibuat oleh MPC. Sebagai kadar rujukan utama, OPR digunakan untuk mengurus kecairan harian dalam sistem kewangan negara. Kadar ini menjadi penanda aras kepada kadar faedah lain dalam ekonomi, termasuk kadar pinjaman dan deposit oleh pengguna, serta perniagaan.

Keputusan isi rumah dan syarikat sama ada untuk menyimpan atau membelanjakan wang turut dipengaruhi oleh perubahan kadar yang ditentukan oleh BNM. Sebarang pelarasan pada OPR akan mempengaruhi keseluruhan struktur kadar faedah melalui saluran transmisi monetari ekonomi dan akhirnya memberikan kesan kepada pertumbuhan ekonomi, serta kadar inflasi.

Pelbagai kajian menunjukkan bahawa perubahan kadar faedah mampu mempengaruhi kadar pemberian pinjaman, pembiayaan dan kehendak penyimpan untuk mendepositkan wang. Antaranya termasuklah penyelidikan oleh Ng et al. (2025), Gargiolo et al. (2024), serta Karim dan Karim (2014). Kadar faedah menentukan kos pinjaman, serta pulangan simpanan sama ada dalam produk kewangan konvensional mahupun kewangan Islam.

Secara keseluruhannya, penetapan kadar OPR oleh bank pusat bertujuan mempengaruhi tahap perbelanjaan dan simpanan masyarakat yang seterusnya mengawal pengeluaran negara dan inflasi. Sejak diperkenalkan pada tahun 2004, BNM telah melakukan pelbagai pelarasan terhadap OPR sama ada peningkatan atau penurunan mengikut keperluan ekonomi dan keadaan ekonomi semasa.

 

    Rajah 1 Perubahan kadar OPR dari tahun 2004 hingga tahun 2025.

    Sumber: Penulis

Berdasarkan Rajah 1, paras OPR tertinggi direkodkan pada April 2006 pada kadar 3.50 peratus. Pada ketika itu, ekonomi negara berada dalam fasa pertumbuhan stabil, manakala inflasi pada paras 4.6 peratus. Bagi mengurus risiko kenaikan harga, kadar OPR yang lebih tinggi diperlukan sebagai langkah kawal selia.

Sebaliknya, paras OPR terendah, iaitu 1.75 peratus berlaku dari Julai 2020 hingga Mei 2022 ketika negara berdepan dengan kesan pandemik COVID-19. Dalam tempoh mencabar tersebut, kadar faedah yang rendah membantu menyokong ekonomi melalui pengurangan kos pinjaman dan penurunan pulangan simpanan. Keadaan ini merangsang perbelanjaan, menggalakkan pelaburan, serta melindungi pekerjaan dan pendapatan rakyat semasa krisis.

Isu Semasa Penurunan OPR:  Tujuan dan Tindakan

Penurunan OPR pada 9 Julai 2025 merupakan langkah strategik yang bersifat serampang dua mata. Selain bertujuan menstabilkan ekonomi dalam jangka masa sederhana, langkah tersebut turut memberikan manfaat besar kepada peminjam, pengguna dan usahawan. Dalam persekitaran ekonomi yang tidak menentu, setiap individu disarankan supaya bijak mengurus kewangan agar kesan positif ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Keputusan penurunan OPR membawa mesej jelas bahawa kadar faedah untuk pinjaman atau pembiayaan baharu menjadi lebih rendah. Ansuran bulanan bagi pinjaman perumahan, kereta dan kad kredit sedia ada turut menjadi lebih rendah. Situasi yang sama berlaku kepada pendeposit kerana pulangan simpanan dijangka lebih rendah berikutan pelarasan kadar faedah.

Keadaan ini lazimnya merangsang unit ekonomi, iaitu pengguna dan peniaga untuk meningkatkan aktiviti pinjaman bagi tujuan perbelanjaan atau pelaburan, serta mengurangkan simpanan. Persepsi bahawa menyimpan di bank atau secara tunai tidak memberikan perbezaan pulangan yang ketara membuatkan masyarakat lebih cenderung berbelanja.

Aktiviti perbelanjaan yang meningkat seterusnya menghasilkan kesan rantaian positif terhadap ekonomi melalui peningkatan pengeluaran dan pemulihan KDNK. Keseluruhan proses ini memperlihatkan hasrat kerajaan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi melalui penurunan OPR dapat dicapai secara berperingkat.

Langkah Strategik BNM

Secara keseluruhannya, keputusan BNM menurunkan OPR kepada 2.75 peratus merupakan tindakan strategik yang dirancang untuk merangsang pertumbuhan ekonomi. Pelarasan kadar ini dijangka bukan sahaja meringankan beban pinjaman isi rumah dan peniaga, tetapi juga menghidupkan semula aktiviti perbelanjaan dan pelaburan ketika ekonomi global masih diliputi ketidaktentuan. Namun begitu, para penyimpan perlu lebih berhati-hati kerana pulangan simpanan dijangka menyusut dalam tempoh ini.

Pelarasan OPR mencerminkan usaha kerajaan untuk mencapai keseimbangan antara kestabilan harga dengan pertumbuhan KDNK. Bagi rakyat dan peniaga, langkah ini membuka ruang untuk menilai semula strategi kewangan masing-masing sama ada dalam hal perbelanjaan, pelaburan atau simpanan supaya manfaat dasar tersebut dapat dimaksimumkan.

Penurunan OPR kepada 2.75 peratus memberikan isyarat jelas bahawa BNM bertekad merangsang ekonomi domestik, serta memberikan kelegaan kepada rakyat dan dunia perniagaan, meskipun ekonomi global terus berdepan dengan ketidaktentuan.

Profesor Madya Dr. Norasibah Abdul Jalil merupakan Pensyarah di Jabatan Ekonomi, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi