Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPetaling Jaya – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan Majlis Perhimpunan Alumni Industri Chapter Tengah dan Selatan 2025 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang berlangsung di Hotel The Royale Chulan Damansara, Petaling Jaya, Selangor, semalam.
Perhimpunan ini menjadi platform penting yang menyatukan semula alumni dengan dunia industri, serta kepimpinan universiti dengan penyertaan sebanyak 250 alumni daripada pelbagai sektor.
Keberangkatan baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, selaku Tuanku Pro-canselor, serta Pro-canselor 2, Yang Amat Mulia (YAM), Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.
Yang turut menyambut kebarangkatan baginda ialah Naib Canselor UniMAP, YBhg. Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli.
Dalam majlis perhimpunan tersebut, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa golongan alumni memainkan peranan signifikan dalam mengukuhkan budaya, menyumbang kembali kepada universiti, memberikan bimbingan, tajaan, perkongsian pengalaman dan penyediaan peluang kerjaya yang menyokong kemajuan institusi, sekali gus melahirkan graduan yang berkualiti, kompetitif dan bersedia menghadapi cabaran pada masa hadapan.
“Usaha ini juga memperkukuh ekosistem pendidikan yang dinamik, inklusif dan seiring dengan keperluan industri semasa,” titah baginda.
Baginda turut menegaskan bahawa alumni perlu terus aktif membangunkan jaringan kerjaya, membuka peluang latihan industri dan menyokong program akademik berterusan yang mampu memberikan kompetitif kepada pelajar, selain memberikan sokongan terhadap agenda digitalisasi dan inovasi, keterlibatan alumni sebagai suara profesional Perlis pada peringkat nasional, serta serantau bagi memperkukuh ekosistem pendidikan negara.
“Anda sebagai alumni merupakan aset penting kepada UniMAP, negeri Perlis dan negara. Kehadiran anda dalam pelbagai sektor membuktikan bahawa anda semua merupakan rantaian penghubung antara institusi pendidikan dengan pembangunan nasional.
“Anda semua juga dianggap sebagai pemacu pertumbuhan ilmu, kepakaran dan inovasi demi manfaat masyarakat secara keseluruhannya,” titah baginda lagi.
Sementara itu, Naib Canselor UniMAP, YBhg. Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli memaklumkan bahawa inisiatif 500 Kasih Alumni ini menjadi simbol budaya giving back yang semakin berkembang dalam kalangan bekas pelajar.
Jelasnya, sokongan awal alumni amat dihargai kerana bukan sahaja membantu menambah baik kemudahan universiti dan kebajikan pelajar, malah turut memperkukuh daya tahan kewangan UniMAP.
Beliau turut berkongsi Tabung Wakaf Alumni UniMAP yang menunjukkan perkembangan memberangsangkan dengan kutipan hampir RM200,000.00 setakat ini.
Pada masa yang sama, majlis tersebut turut meraikan sebanyak 35 orang penerima Outstanding Alumni Awards daripada tujuh fakulti sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan mereka dalam bidang profesionalisme, inovasi, kepimpinan dan keusahawanan.
Antara fakulti yang menerima pengiktirafan termasuklah Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam, Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektrik, Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektronik, Fakulti Komputer Cerdas, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi serta Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia.
Pengiktirafan anugerah ini membuktikan bahawa graduan UniMAP mampu berdiri seiring dengan pemain industri pada peringkat nasional dan global.
