Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAngkatan Tentera Malaysia (ATM) sering menjadi tumpuan dari sudut kekuatan aset, strategi pertahanan dan disiplin anggota. Namun begitu, di sebalik wira berseragam tersebut berdiri sebuah institusi penting yang jarang dibicarakan, iaitu keluarga mereka. Keluarga ATM bukan sekadar penerima manfaat kebajikan, tetapi juga penyumbang signifikan kepada daya tahan ekonomi negara. Tanpa sokongan kukuh terhadap keluarga ini, tahap kesiapsiagaan anggota tentera sukar dipertahankan pada tahap optimum.
Kesiapsiagaan ketenteraan tidak hanya bergantung pada kecanggihan kapal selam atau jet pejuang, tetapi turut ditentukan oleh ketahanan ekonomi isi rumah anggota. Dari sudut ekonomi, keluarga ATM berdepan dengan cabaran yang sama seperti rakyat lain, iaitu peningkatan kos sara hidup, kenaikan harga makanan dan pasaran kerja yang semakin kompetitif. Namun begitu, mereka turut memikul beban tambahan seperti mobiliti tinggi, risiko kehilangan nyawa anggota dan persaraan lebih awal berbanding dengan sektor awam lain.
Dalam hal ini, peranan perlindungan sosial penting sebagai “payung ekonomi” kepada keluarga ATM. Skim pencen, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta program PERHEBAT berfungsi bukan sahaja untuk mengurangkan tekanan kewangan, tetapi turut menyuntik keyakinan bahawa kebajikan keluarga ATM sentiasa dijaga dengan baik.
RMK-13: Agenda Ekonomi untuk Kesejahteraan ATM
Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) memberikan penekanan terhadap ketahanan rakyat sebagai teras pembangunan negara. Antara langkah utama yang dapat memperkukuh kesiapsiagaan ekonomi keluarga ATM termasuklah penyediaan perumahan berkualiti dan mampu milik bagi mengurangkan beban kos sara hidup dan seterusnya mewujudkan kestabilan sosial dalam komuniti tentera.
Pada masa yang sama, akses kepada pendidikan yang berkualiti dan biasiswa perlu diperkasakan supaya mobiliti sosial anak-anak tentera dapat dipertingkatkan, sekali gus membuka ruang kepada kerjaya bernilai tinggi dan memutuskan kitaran kebergantungan ekonomi keluarga. Sokongan kesihatan dan psikososial juga wajar diberi perhatian khusus agar produktiviti keluarga tidak terjejas akibat tekanan mental dan emosi yang sering dialami oleh anggota dan ahli keluarga.
Usaha ini perlu dilengkapi dengan program latihan semula (reskilling) bagi memberikan peluang kepada pasangan tentera dan veteran untuk menyesuaikan diri dengan tuntutan ekonomi digital masa ini. Pendekatan tersebut dapat meningkatkan daya saing mereka dalam pasaran kerja dan mengukuhkan kesejahteraan keluarga secara menyeluruh. Perancangan dasar sedemikian berpotensi menjadikan keluarga ATM bukan sahaja penerima perlindungan sosial, tetapi juga penyumbang aktif kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Selari dengan gagasan Ekonomi MADANI, keluarga ATM wajar dilihat sebagai pemacu ekonomi komuniti. Koperasi veteran misalnya, mempunyai potensi besar untuk memperkukuh rantaian bekalan tempatan. Pasangan tentera pula boleh diberdayakan melalui program keusahawanan digital atau perusahaan kecil seperti pertanian moden, produk halal, dan ekonomi kreatif. Langkah sebegini bukan sahaja meningkatkan pendapatan isi rumah, malah mewujudkan ekosistem ekonomi berdaya tahan yang menyokong pertumbuhan inklusif. Usaha ini seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 8): “Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi”.
Selain Malaysia, banyak negara membangun telah membuktikan bahawa perlindungan sosial yang kukuh mampu mempertingkatkan daya tahan keluarga tentera. Indonesia misalnya, menyediakan akses kesihatan menyeluruh melalui program BPJS Kesehatan, selain menawarkan rumah dinas dan koperasi tentera (Primkop TNI) yang membantu menambah pendapatan keluarga anggota. Di Filipina, Armed Forces and Police Mutual Benefit Association (AFPMBAI) menawarkan insurans hayat, pinjaman perumahan, serta skim simpanan, manakala pejabat veteran menyediakan rawatan kesihatan percuma dan bantuan pendidikan kepada anak-anak anggota.
Vietnam memberikan tumpuan kepada penyediaan perumahan bersubsidi untuk keluarga tentera dan kemudahan mikrokewangan bagi pasangan anggota yang ingin menceburi perniagaan kecil. Bangladesh pula menyokong kebajikan anggota melalui Armed Forces Officers’ Housing Scheme yang menawarkan pinjaman mudah serta perumahan bersubsidi, di samping program pendidikan vokasional oleh yayasan veteran sebagai usaha membantu ahli keluarga menyertai sektor ekonomi.
Sementara itu, India melaksanakan Ex-Servicemen Contributory Health Scheme (ECHS) yang menyediakan akses percuma kepada rawatan kesihatan di hospital kerajaan dan swasta. Pada masa sama, Army Welfare Education Society (AWES) mengurus ratusan sekolah dan kolej bagi memastikan anak-anak tentera mendapat pendidikan berkualiti.
Pengalaman negara ini menunjukkan bahawa sokongan ekonomi dan sosial terhadap keluarga tentera bukan sekadar langkah kebajikan, tetapi strategi pertahanan yang menyeluruh. Malaysia berpotensi menambah baik sistem sedia ada dengan memperkukuh skim insurans hayat dan kesihatan bersepadu, memodenkan koperasi tentera melalui teknologi digital, serta menyediakan akses pendidikan dan latihan keusahawanan yang lebih inklusif kepada pasangan dan anak-anak anggota. Adaptasi amalan terbaik ini berupaya membina ekosistem perlindungan sosial ATM yang lebih berdaya tahan, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan.
Jadual 1 Contoh bantuan dan kemudahan kepada keluarga ATM.

Peranan BAKAT (Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera) amat penting bagi memperkukuh kesejahteraan keluarga ATM melalui pelbagai inisiatif yang menyeluruh. Antaranya termasuklah aktiviti sokongan komuniti dan kebajikan yang membantu meringankan beban keluarga anggota, di samping program pembangunan wanita dan keluarga yang memberikan peluang peningkatan kemahiran serta pelibatan aktif dalam kegiatan bermanfaat.
BAKAT juga menekankan sokongan pendidikan dan motivasi kepada anak-anak anggota ATM agar mereka berdaya saing dalam bidang akademik dan kerjaya. Selain itu, aktiviti keusahawanan kecil seperti koperasi dan produk komuniti turut digalakkan bagi menjanakan pendapatan tambahan kepada keluarga. Lebih daripada itu, jaringan sosial yang diwujudkan oleh BAKAT berperanan penting dalam memperkukuh moral serta kesejahteraan keluarga ATM, sekali gus memastikan sokongan emosi dan sosial sentiasa tersedia bagi menghadapi cabaran kehidupan sebagai warga pertahanan negara.
Cabaran Ekonomi Keluarga ATM
Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan untuk menjaga kebajikan keluarga ATM, realitinya masih wujud cabaran ekonomi yang signifikan. Kebergantungan pada pencen dan elaun tanpa pendapatan sampingan yang mampan, mobiliti tinggi yang menjejaskan kerjaya pasangan dan pendidikan anak-anak, kesukaran penyesuaian pascaperkhidmatan, serta jurang ekonomi antara bandar dengan luar bandar menjadi antara isu utama yang perlu ditangani. Semua ini menuntut strategi ekonomi yang lebih inovatif dan lestari agar keluarga ATM dapat menikmati kesejahteraan yang setimpal dengan pengorbanan mereka.
Kesiapsiagaan ekonomi isi rumah ATM harus dilihat sebagai sebahagian daripada strategi pertahanan negara. Jika anggota tentera ialah benteng utama di medan hadapan, maka keluarga mereka pula merupakan benteng kedua yang memastikan ketahanan psikologi, sosial, dan ekonomi terus terjamin. Dengan dasar inklusif seperti RMK-13 dan Ekonomi MADANI, keluarga ATM berpotensi bergerak daripada hanya penerima perlindungan sosial kepada ejen ekonomi aktif yang menyumbang kepada pembangunan negara. Oleh itu, pengukuhan ekonomi keluarga ATM bukan sekadar memenuhi tuntutan kebajikan, tetapi juga merupakan pelaburan strategik bagi menjamin ketahanan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan keselamatan negara.
Dr. Nur Surayya Mohd Saudi merupakan Pensyarah di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Felow Malaysia Institute of Economic Research (MIER).