Diterbitkan pada 14 November 2025, 15:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melaksanakan pemeriksaan, serta kunjungan ke atas 359 buah premis perniagaan bagi memberikan penerangan kepada pemilik kedai tentang keperluan kelulusan dan pelabelan SKMM pada peranti komunikasi yang dijual.

Program tersebut dijalankan di bawah inisiatif Director Management yang berlangsung dari bulan Jun hingga Julai 2025 bertujuan memastikan peranti selamat digunakan, mematuhi standard penggunaan, serta serasi dengan rangkaian dan tidak mengganggu frekuensi yang ditetapkan.

SKMM turut menegaskan bahawa menjual atau menggunakan peranti tanpa kelulusan dan pelabelan SKMM adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM300,000 atau penjara selama tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Sepanjang tempoh lawatan, SKMM menerima maklum balas positif daripada para peniaga yang menunjukkan komitmen mereka untuk mematuhi keperluan kelulusan dan pelabelan peranti komunikasi seperti yang ditetapkan.

“Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan SKMM bagi memastikan keselamatan pengguna terjamin, serta memelihara integriti rangkaian komunikasi negara dengan memastikan hanya peranti yang mematuhi standard sahaja dijual dalam pasaran,” jelas SKMM dalam satu kenyataan.

Bagi memudahkan pengguna menyemak status pemerakuan peranti, SKMM menggalakkan penggunaan aplikasi Check Your Label yang boleh dimuat turun melalui Apple App Store atau Google Play Store. Pengguna hanya perlu memasukkan nombor Label ID SKMM, nombor IMEI atau nombor siri peranti untuk mendapatkan status pemerakuan dan maklumat lanjut tentang peranti tersebut untuk memastikan prosedur tersebut sah, serta mematuhi standard yang ditetapkan.

Pegawai SKMM sedang membimbing  para pengguna cara penggunaan aplikasi Check Your Label.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi