Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangGombak – Selera Serumpun: Pesta Makanan Melayu Malaysia dan Aceh yang berlangsung di Terminal Bersepadu Gombak dijadikan platform untuk merintis hubungan lebih akrab antara Malaysia dengan Indonesia, khususnya dalam industri makanan dan perdagangan dua hala.
Menurut Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, YBrs. Encik Rahim Kasdi, program ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh hubungan perdagangan antara Malaysia dengan Indonesia yang bermula sejak zaman Kerajaan Aceh dan Kerajaan Islam. Beliau turut menyatakan bahawa persamaan jenis makanan antara kedua-dua negara boleh menjadi asas untuk merangsang perkembangan ekonomi melalui kerjasama yang lebih erat.
“Program ini bukan sahaja memberikan peluang kepada masyarakat untuk meneroka makanan tradisi, tetapi juga membuka ruang bagi kerjasama perdagangan antara Malaysia dengan Indonesia. Hal ini boleh menjadi titik permulaan yang penting untuk memajukan kedua-dua negara dalam pelbagai sektor,” kata beliau selepas menyempurnakan perasmian acara tersebut.
Selain itu, beberapa memorandum persefahaman (MoU) turut dimeterai antara syarikat Malaysia dengan Indonesia dalam industri makanan dan pelancongan. Encik Rahim turut menarik perhatian bahawa hubungan antara Malaysia dengan Aceh sudah lama terjalin, namun kali ini lebih terstruktur dengan sokongan kerajaan kedua-dua negara.

“Kehadiran Timbalan Gabenor Aceh, Yth. Bapak Fadhlullah S.E. menunjukkan komitmen kuat untuk memperluas kerjasama ini. Saya yakin hal ini akan membuka peluang yang lebih besar dalam bidang perdagangan, bukan sahaja dalam sektor makanan tetapi juga sektor lain,” tambah Encik Rahim.
Menurut beliau, perdagangan antara Selangor dengan Aceh pada masa ini lebih tertumpu pada produk makanan dan barang berskala kecil yang kebanyakannya dipengaruhi oleh hubungan kekeluargaan. Namun begitu, dengan sokongan rasmi, beliau melihat potensi untuk memperluas kerjasama ini ke tahap yang lebih formal dan terancang.
Sementara itu, Encik Rahim turut mengingatkan bahawa kedai runcit Aceh yang berkembang pesat di Selangor juga merupakan satu daripada tanda hubungan dagangan yang kukuh antara kedua-dua pihak. Kerajaan Negeri Selangor sedang berusaha untuk memberikan pengiktirafan rasmi kepada kedai tersebut.
“Orang Aceh terkenal dengan perniagaan runcitnya dan kami di kerajaan negeri sedang berusaha untuk memberikan pengiktirafan kepada kedai ini agar diiktiraf oleh pihak berkuasa tempatan,” ujar beliau.
Program Selera Serumpun yang berlangsung selama tiga hari bermula 31 Oktober hingga 2 November 2025 turut menyaksikan pelbagai aktiviti menarik seperti demonstrasi masakan eksklusif, sesi rangkaian perniagaan Malaysia–Aceh, serta Pertandingan Sajian Rakyat Serumpun Melayu Malaysia dan Melayu Aceh yang diketuai oleh Chef Dato’ Zainol Saad.
Yang turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Presiden Dewan Perniagaan Serumpun Malaysia–Aceh (DPSMA), YBhg. Datuk Dr. Hassan Saad; Ketua Komuniti Aceh–Malaysia, YBhg. Datuk Mansur Usman; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, YBrs. Encik Ruzairy Arbi; dan Timbalan Presiden DPSMA, YBrs. Encik Norazmi Kamaruzaman.
Majlis perasmian penutupan disempurnakan oleh Presiden DPSMA, YBhg. Datuk Dr. Hassan Saad pada 2 November 2025 dengan harapan agar acara ini terus menggalakkan kerjasama lebih erat antara Malaysia dengan Aceh dalam aspek perdagangan dan budaya.