Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPadang Besar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamallulail bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan mengadakan lawatan ke projek pertanian bersepadu yang melibatkan ladang kelapa dan durian milik Syarikat Usahasama Impianan Utara (PS) Sdn. Bhd. dan Koperasi Generasi FELDA Baru Berhad (KGFB) di tanah milik Perlis Integrated Technology Complex (PITC), Felda Chuping.
Kehadiran baginda disambut oleh Pengerusi Impianan Utara (PS) Sdn. Bhd., YBhg. Datuk Syed Tajul Arif Syed Baharoon Aljumlud. Turut hadir mengiringi baginda ialah anakanda baginda, Yang Amat Mulia (YAM) Syed Sirajuddin Areeb Putra Al Haj Jamalullail, YAM Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan YAM Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Lawatan tersebut dimulakan dengan tinjauan sekitar ladang menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4×4) meliputi empat lokasi utama yang memaparkan kawasan tanaman kelapa pandan, ladang durian Musang King, sempadan antara varieti Musang King dengan Black Thorn, serta kawasan peralatan dan jentera pertanian.
Projek pertanian bersepadu yang meliputi kawasan seluas 227 ekar ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara Impianan Utara Plantations Sdn. Bhd. dengan Koperasi Generasi FELDA Baru Berhad (KGFB). Projek ini merangkumi dua komponen utama, iaitu tanaman kelapa pandan seluas kira-kira 147 ekar dengan lebih daripada 23,000 pokok yang mula ditanam pada tahun 2022 dan dijangka mengeluarkan hasil pada tahun 2027.
Sementara itu, hasil tanaman durian Musang King dan Black Thorn di kawasan seluas 80 ekar yang menempatkan lebih daripada 2,000 pokok yang dijangka dapat dituai antara tahun kelima hingga ketujuh.
Dalam sesi sembah taklimat yang disampaikan oleh Datuk Syed Tajul Arif Baharoon Aljumlud, beliau menyatakan bahawa projek ini berpotensi menjadi pemangkin utama dalam pertumbuhan ekonomi negeri Perlis, khususnya melalui penghasilan tanaman bernilai tinggi.
Menurut beliau, projek ini bukan sahaja mampu membuka peluang pekerjaan baharu kepada penduduk tempatan, malah turut memperkukuh jenama agro Perlis pada peringkat antarabangsa, terutama untuk pasaran eksport ke China.
Beliau turut membentangkan perancangan masa hadapan projek, termasuk cadangan pembangunan fasa baharu tanaman durian Black Thorn seluas lebih 300 ekar yang bertujuan menjadikan Perlis sebagai hab utama durian premium di utara Malaysia.

Selain itu, satu Zon Agro-Pelancongan seluas 45 ekar juga dirancang untuk dibangunkan yang akan menempatkan pusat pelancongan tani, kemudahan inap desa dan chalet, pusat pameran buah-buahan eksotik, serta pelbagai aktiviti pendidikan dan rekreasi berasaskan pertanian.
Perancangan ini seiring dengan hasrat dan visi DYTM Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail untuk menjadikan sektor agropelancongan sebagai pemacu ekonomi baharu negeri Perlis selaras dengan arah tuju pembangunan mampan dan berimpak tinggi.
