Diterbitkan pada 5 Oktober 2025, 12:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM)  mengumumkan kejayaan perbincangan strategik bersama-sama  dengan TEKUN Nasional yang membolehkan ahlinya menikmati akses kepada skim pembiayaan patuh syariah.

Pengerusi FDAM, YBhg. Dato’ Afdlin Shauki berkata, kerjasama tersebut membuka peluang kepada ahli FDAM untuk memohon kemudahan Pembiayaan Skim Kontrak-i dan Skim Tekun Niaga, sekali gus membantu menangani cabaran utama yang dihadapi penggiat industri, iaitu kekangan mendapatkan modal bagi projek penerbitan.

“Inisiatif ini mencerminkan tekad kepimpinan FDAM dalam memperjuangkan kepentingan ahli, serta memastikan kesinambungan karya penerbit tempatan.  FDAM amat memahami kesukaran ahli mendapatkan pembiayaan untuk projek penerbitan, khususnya ketika mereka sedang menyiapkan kertas kerja untuk dibentangkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada awal Oktober ini. Maka, kerjasama ini hadir tepat pada masanya sebagai sinar baharu buat penggiat industri,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, kemudahan pembiayaan patuh syariah ini memberikan jaminan kepada ahli dari segi ketelusan kewangan selain membolehkan mereka memberikan tumpuan penuh kepada penghasilan karya berkualiti dan berdaya saing.

Menurut beliau, akses kepada skim strategik ini dijangka mampu memperkukuh integriti produksi, serta melonjakkan keupayaan ahli dalam industri perfileman dan penyiaran negara.

“Kerjasama antara FDAM dengan TEKUN Nasional ini diharap menjadi pemangkin kepada kelangsungan projek jangka panjang, selain mengangkat martabat penggiat seni tanah air sebagai penggiat industri yang profesional dan berwibawa,” ujarnya.

Kredit Foto: FDAM
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi