Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMasyarakat luar bandar di Malaysia berdepan dengan pelbagai cabaran yang menghalang kemajuan mereka, terutamanya dalam aspek ekonomi, pendidikan dan kemudahan asas. Majoriti penduduk luar bandar masih bergantung pada sektor pertanian dan sektor perladangan sebagai sumber utama pendapatan, namun kelemahan dari sudut infrastruktur, kemudahan asas yang terhad dan akses yang terbatas kepada teknologi moden menjadi penghalang utama kepada pembangunan kawasan ini.
Dalam tempoh tahun 2023 hingga tahun 2025, peralihan fokus negara kepada industri perkhidmatan dan teknologi memberikan kesan langsung terhadap ekonomi luar bandar. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar kemiskinan di kawasan luar bandar pada tahun 2023 kekal tinggi pada paras 13.5 peratus berbanding dengan hanya 4.8 peratus di kawasan bandar. Perbezaan ini mencerminkan jurang ekonomi yang semakin melebar antara dua kawasan tersebut, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keseimbangan pembangunan negara.
Tambahan pula, kesan perubahan iklim yang semakin ketara sejak tahun 2024 memburukkan lagi situasi masyarakat luar bandar, khususnya mereka yang bergantung sepenuhnya pada hasil pertanian. Fenomena cuaca ekstrem seperti banjir dan kemarau memberikan impak besar terhadap pengeluaran pertanian yang seterusnya mengakibatkan hasil tanaman menurun dan sumber pendapatan penduduk luar bandar terjejas.
Di beberapa kawasan luar bandar di negeri pantai timur, musim monsun yang lebih panjang pada awal tahun 2024 menyebabkan kerosakan besar ke atas ladang padi dan tanaman utama lain. Keadaan ini memaksa para petani menghadapi ketidaktentuan dalam penghasilan pertanian, menambah tekanan terhadap kos sara hidup dan ketahanan ekonomi mereka.
Kemampanan kehidupan masyarakat luar bandar menuntut perhatian serius daripada kerajaan serta pelibatan aktif sektor swasta dalam membina ekosistem pembangunan yang lebih seimbang dan inklusif. Kerajaan perlu mempercepat usaha memperkukuh infrastruktur asas seperti pembinaan jalan raya, bekalan air bersih, kemudahan elektrik yang stabil, serta memperluas capaian pendidikan dan latihan kemahiran di kawasan luar bandar.
Sektor swasta pula boleh memainkan peranan penting dalam memperkenalkan teknologi pertanian moden yang mesra alam, serta membantu penduduk desa meningkatkan keupayaan dan daya saing mereka dalam ekonomi digital. Tanpa pelaksanaan langkah konkrit ini, jurang antara bandar dengan luar bandar akan terus melebar. Hal ini boleh mengancam kestabilan sosial dan ekonomi negara secara keseluruhan.
Peningkatan infrastruktur dan kemudahan asas merupakan satu daripada langkah teras dalam menjamin kelestarian kehidupan masyarakat luar bandar. Jalan raya yang baik, bekalan air dan elektrik yang stabil, serta capaian Internet berkelajuan tinggi ialah keperluan asas yang harus diberikan keutamaan.
Kajian oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar Malaysia pada tahun 2022 menunjukkan bahawa lebih daripada 30 peratus kawasan luar bandar masih belum menikmati akses kepada Internet berkelajuan tinggi. Kekurangan ini bukan sahaja menjejaskan peluang pendidikan dan akses maklumat, tetapi juga membatasi potensi ekonomi melalui perniagaan digital yang semakin penting pada masa kini.
Pembangunan infrastruktur yang mantap bukan sahaja akan meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar, malah turut memberikan kesan positif kepada ekonomi tempatan. Dengan jalan raya yang lebih baik, penghantaran hasil pertanian akan menjadi lebih efisien dan mobiliti penduduk dapat dipertingkatkan. Kemudahan asas yang lengkap juga menjadikan kawasan luar bandar lebih menarik untuk didiami dan berpotensi menarik pelaburan serta tenaga kerja muda.
Statistik menunjukkan bahawa 58 peratus masyarakat luar bandar bekerja dalam sektor pertanian dan sektor perladangan, iaitu sektor yang sangat terdedah kepada ketidakstabilan pasaran. Oleh itu, penambahbaikan infrastruktur merupakan asas penting dalam merangsang pertumbuhan ekonomi luar bandar secara mampan.
Selain pembangunan fizikal, aspek pendidikan dan kemahiran digital turut memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam memperkasakan masyarakat luar bandar. Akses kepada pendidikan berkualiti harus dipertingkatkan bukan hanya pada peringkat asas, tetapi juga dalam bentuk latihan teknikal dan vokasional yang relevan dengan keperluan industri masa kini.
Dalam era kemajuan teknologi yang pantas, penguasaan kemahiran digital menjadi satu keperluan penting untuk mengelakkan masyarakat luar bandar daripada terus ketinggalan. Laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menunjukkan bahawa kurang daripada 10 peratus penduduk desa mempunyai kemahiran dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (TMK).
Kekurangan ini memberikan kesan langsung terhadap kebolehan mereka menyertai ekonomi digital dan memanfaatkan peluang pekerjaan baharu. Pendidikan berterusan dalam bidang TMK, keusahawanan dan pertanian moden boleh membuka laluan kepada pekerjaan dalam sektor perkhidmatan, industri kreatif serta meningkatkan produktiviti pertanian.
Kursus berkaitan dengan pengurusan kewangan, teknologi pertanian dan keusahawanan juga dapat membantu menambah pendapatan penduduk, serta meningkatkan taraf hidup mereka. Oleh itu, kerjasama erat antara kerajaan dengan sektor swasta amat diperlukan bagi menyediakan kemudahan latihan dan pendidikan yang bersesuaian dengan keperluan semasa serta mampu menjangkau komuniti luar bandar secara menyeluruh.
Selain itu, pembangunan sumber pendapatan alternatif perlu dipergiatkan bagi mengurangkan kebergantungan masyarakat luar bandar terhadap sektor pertanian semata-mata. Kerajaan disarankan untuk memberikan penekanan terhadap pembangunan sektor ekonomi lain seperti industri kecil dan sederhana (IKS), pelancongan desa dan agroindustri.
Melalui pengoptimuman sumber semula jadi seperti tanah pertanian, masyarakat luar bandar boleh dilatih untuk menghasilkan produk makanan, kraf tangan dan produk pertanian yang boleh dipasarkan pada peringkat nasional dan antarabangsa. Program keusahawanan dan bantuan modal perlu diperluas bagi memberikan peluang kepada penduduk luar bnadar memulakan perniagaan sendiri dan menjanakan pendapatan yang lebih stabil.
Sebagai contoh, program Agropreneur Muda yang diperkenalkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bertujuan untuk melahirkan golongan belia dalam bidang pertanian moden berteknologi tinggi. Laporan oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menunjukkan bahawa pertanian pintar mampu meningkatkan pendapatan petani desa sehingga 30 peratus dalam tempoh lima tahun.
Keusahawanan juga membuka peluang kepada penduduk luar bandar untuk meneroka pasaran antarabangsa, khususnya dalam produk makanan halal dan kraf tangan tempatan yang mempunyai permintaan tinggi. Dengan sokongan dan bimbingan yang berterusan, penduduk luar bandar dapat bergerak ke arah ekonomi yang lebih lestari dan berdikari.
| Tahun | Kadar Kemiskinan Luar Bandar (%) | Pendapatan Isi Rumah Purata (RM) | Jumlah Penduduk Luar Bandar (juta) | Peratusan Penggunaan Internet |
| 2023 | 13.5% | 2,200 | 7.5 | 70% |
| 2024 | 12.8% | 2,350 | 7.6 | 75% |
| 2025 | 11.5% | 2,500 | 7.8 | 80% |
Berdasarkan statistik tentang pendapatan dan kemiskinan di kawasan luar bandar Malaysia, serta perkembangan sektor ekonomi desa dari tahun 2023 hingga 2025 dapat dilihat bahawa meskipun terdapat sedikit kemajuan, kadar kemiskinan luar bandar masih membimbangkan. Walaupun kadar kemiskinan menurun daripada 13.5 peratus pada tahun 2023 kepada 12.8 peratus pada tahun 2024, perkara ini masih jauh lebih tinggi berbanding dengan kadar kemiskinan di kawasan bandar.
Pada tahun 2025, kadar ini dijangka terus menurun kepada 11.5 peratus. Namun begitu, angka tersebut masih mencerminkan realiti bahawa sebahagian besar penduduk luar bandar terus hidup dalam keadaan serba kekurangan.
Pendapatan isi rumah purata penduduk luar bandar turut menunjukkan peningkatan yang perlahan daripada RM2,200 pada tahun 2023 kepada RM2,500 menjelang tahun 2025. Walaupun menunjukkan perkembangan positif, jumlah ini masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan purata pendapatan isi rumah di kawasan bandar, sekali gus terus melebarkan jurang ekonomi antara kedua-dua kawasan ini.
Dalam pada itu, peningkatan penggunaan Internet dalam kalangan penduduk luar bandar yang dijangka mencecah 80 peratus menjelang tahun 2025. Situasi ini membuka peluang besar dalam memperkukuh sektor pendidikan dan perniagaan digital di luar bandar, seterusnya mampu memberikan impak positif terhadap pertumbuhan ekonomi tempatan. Namun demikian, jurang dalam akses dan literasi teknologi masih wujud dan memerlukan perhatian serius agar penggunaan teknologi dapat dimanfaatkan secara menyeluruh.
Untuk memastikan kemampanan kehidupan luar bandar, usaha berterusan dalam meningkatkan infrastruktur, pendidikan dan peluang pekerjaan dalam sektor selain pertanian amatlah penting. Walaupun kadar kemiskinan menunjukkan trend penurunan, pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik, serta kemudahan kesihatan dan pendidikan yang berkualiti masih perlu diberikan keutamaan. Akses yang setara kepada perkhidmatan asas ini merupakan asas kepada peningkatan taraf hidup penduduk luar bandar secara keseluruhan.
Di samping itu, pendidikan dan peningkatan kemahiran perlu diberikan tumpuan khusus, terutamanya dalam kalangan belia luar bandar. Golongan ini perlu dilengkapi dengan kemahiran yang relevan bagi membolehkan mereka mendapatkan pekerjaan yang lebih baik dan tidak hanya bergantung pada sektor pertanian yang semakin terdedah kepada ketidakstabilan harga dan perubahan iklim.
Pelarasan dasar yang tepat dan bersasar amat diperlukan untuk menyokong usaha pembangunan luar bandar secara holistik. Langkah seperti penyediaan peluang latihan kemahiran, peningkatan akses kepada teknologi, serta insentif bagi memajukan perusahaan tempatan dan keusahawanan desa perlu diberikan penekanan. Tanpa dasar yang menyeluruh dan pelaksanaan yang berkesan, usaha mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar mungkin tidak dapat mencapai hasil yang mampan.
Dalam menghadapi pelbagai cabaran ini, masyarakat luar bandar memerlukan sokongan menyeluruh daripada semua pihak termasuk kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti itu sendiri. Pelaburan yang strategik dalam infrastruktur, pendidikan dan peluang ekonomi akan membantu mewujudkan ekosistem luar bandar yang lebih seimbang dan berdaya saing. Dengan pendekatan yang inklusif dan bersepadu, kemampanan kehidupan desa bukanlah satu impian yang jauh, tetapi sebuah realiti yang boleh dicapai dalam masa terdekat.
Profesor Madya Ts. Sr Dr. Noorsidi Aizuddin Hj. Mat Noor ialah Pensyarah Pusat Kajian Harta Tanah, Jabatan Harta Tanah, Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia, Johor.