Diterbitkan pada 17 September 2025, 14:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) dalam kenyataan media mengumumkan bahawa pendaftaran Seminar Percukaian Kebangsaan (SPK) 2025 kini dibuka kepada masyarakat umum. Seminar ini bertemakan “Cakna Cukai, Fahami Belanjawan 2026” dan akan diadakan dalam lima siri berbeza.

Siri pertama seminar ini akan diadakan secara maya pada 14 Oktober 2025 (Selasa), manakala empat siri berikutnya akan diadakan secara bersemuka di lokasi tertentu dengan kadar yuran RM350 setiap satu. 

Siri kedua akan berlangsung di Johor pada 27 Oktober 2025 (Isnin), diikuti oleh siri ketiga di Pulau Pinang pada 29 Oktober 2025 (Rabu), siri keempat di Sarawak pada 5 November 2025 (Rabu) dan siri kelima di Sabah pada 10 November 2025 (Isnin). 

Seminar ini akan menampilkan pembentang dan ahli panel yang berpengalaman dalam bidang percukaian, termasuk pegawai kanan dari Kementerian Kewangan Malaysia, wakil HASiL serta pakar dari Chartered Tax Institute of Malaysia (CTIM) dan Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (M.A.T.A).

Tiga topik utama yang akan menjadi fokus perbincangan seminar ini ialah cadangan Belanjawan 2026, persediaan strategik ke arah pematuhan mandatori e-Invois, Transformasi Digital Sistem Taksir Sendiri (CKHT) dan Duti Setem.

Melalui seminar ini, masyarakat umum, khususnya pengamal percukaian, badan perakaunan, profesional dan pembayar cukai berpeluang mendapatkan maklumat terkini mengenai pindaan semua akta yang ditadbir oleh HASiL berikutan pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri yang dijadualkan pada 10 Oktober 2025 ini.

Bagi menyokong usaha ini, pihak Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) telah membenarkan majikan yang berdaftar dengan HRD Corp untuk menuntut kos latihan peserta SPK 2025. Majikan berdaftar yang berminat hanya perlu memilih “Non-Registered Training Provider Details – Government” di bawah Skim Bantuan Latihan (SBL) semasa membuat permohonan geran latihan.

Pendaftaran seminar ini boleh dibuat melalui portal SPK menerusi pautan https://seminar.hasil.gov.my. Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh dirujuk terus melalui portal tersebut atau dengan menghubungi Urus Setia SPK 2025 melalui e-mel, [email protected].

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi