Diterbitkan pada 23 Ogos 2025, 10:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pada masa kini sedang berlaku sejenis peperangan baharu yang bukan dengan dentuman bom atau tembakan senjata, tetapi melalui helah, strategi dan manipulasi. Perang ini tidak mencederakan tubuh, tetapi menggoncang ekonomi dan meruntuhkan kekuatan sesebuah negara dari dalam. Fenomena ini disebut sebagai perang dagang, iaitu suatu bentuk konflik moden yang senyap, namun berbahaya dan mampu menggugat kestabilan dunia sama seperti peperangan bersenjata.

Berbeza daripada medan tempur tradisional, perang dagang menggunakan senjata ekonomi yang dikenali sebagai senjata perdagangan (trade weapons). Dalam bentuk paling asas, perang ini merangkumi dasar atau tindakan yang digunakan oleh sesebuah negara untuk melindungi industri domestik, mengawal imbangan perdagangan atau melemahkan pesaing tanpa perlu menghantar walau sebutir peluru ke medan perang.

Senjata paling lazim digunakan ialah tarif, iaitu cukai terhadap barangan import. Dasar proteksionisme Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran Donald Trump menjadi contoh jelas strategi ini. Namun begitu, tarif hanyalah permulaan kepada strategi yang lebih rumit dan terselindung.

Antara taktik yang lebih halus dan kadangkala jauh lebih berbahaya ialah sekatan bukan tarif (non-tariff barriers). Tindakan ini termasuk penggunaan piawaian keselamatan atau alam sekitar yang sengaja diperketat bagi menyukarkan produk luar menembusi pasaran domestik. Sebagai contoh, minyak sawit dari Asia Tenggara, termasuk Malaysia dan Indonesia sering berdepan dengan halangan melalui piawaian alam sekitar ketat di Eropah.

Selain itu, subsidi turut menjadi senjata ampuh dalam perang ekonomi ini. Dengan memberikan bantuan kewangan kepada industri tempatan, tindakan negara tersebut membolehkan produk mereka dijual pada harga jauh lebih murah dalam pasaran antarabangsa lalu menenggelamkan pesaing. Perang dagang juga melibatkan kuota import, manipulasi kadar pertukaran mata wang dan sekatan eksport teknologi tinggi seperti cip semikonduktor, terutamanya dalam konflik perdagangan antara AS dengan China.

Walaupun sering dianggap fenomena baharu, perang dagang sebenarnya berakar sejak ratusan tahun dahulu menerusi sistem ekonomi merkantilisme yang berkembang pesat pada abad ke-16. Doktrin ini berpaksikan kepercayaan bahawa kekayaan negara bergantung pada lebihan eksport serta pengumpulan emas dan perak. Tokoh seperti Jean-Baptiste Colbert, Friedrich List dan Alexander Hamilton mempopularkan idea ini dengan menekankan kawalan ketat terhadap perdagangan demi memperkukuh kekuatan negara.

Namun begitu, dalam landskap ekonomi moden, pendekatan merkantilisme kini telah berevolusi. Negara seperti Korea Selatan dan Finland mengamalkan bentuk merkantilisme secara “lunak” dengan memperkukuh ekonomi melalui inovasi serta pelaburan dalam pendidikan dan teknologi tanpa menindas negara lain. Sebaliknya, pendekatan malevolent pula merujuk manipulasi keterlaluan seperti subsidi besar-besaran atau sekatan tersembunyi, iaitu suatu bentuk “pencak silat ekonomi” yang sering mencetuskan ketegangan geopolitik.

Dalam percaturan global ini, negara kecil seperti Malaysia tidak wajar sekadar menjadi penonton. Malaysia berpotensi memainkan peranan besar dalam rantaian bekalan dunia. Kunci utama ialah kebijaksanaan bagi menyesuaikan strategi perdagangan agar tidak menjadi mangsa kepada konflik antara kuasa besar.

Malaysia perlu terus memainkan peranan sebagai negara berkecuali yang bijak menyeimbangkan hubungan dengan semua pihak dan tidak berpihak secara melulu. Pada masa yang sama, Malaysia perlu memperluas pasaran dan mengurangkan kebergantungan pada beberapa rakan dagang utama. Diversifikasi pasaran ke rantau seperti Asia Selatan, Timur Tengah, Afrika dan Amerika Latin antara langkah penting bagi meredakan risiko.

Selain diversifikasi, pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) mesti diberi keutamaan. Negara kecil yang mahu kekal relevan perlu memperkukuh kekuatan dalaman, terutamanya dalam sektor digital, inovasi hijau dan teknologi lestari. Penekanan terhadap prinsip  Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus  (ESG) juga semakin mendesak dan Malaysia perlu tangkas menyesuaikan diri dengan keperluan global tersebut.

Paul Krugman, pemenang Hadiah Nobel Ekonomi pernah mengungkapkan bahawa perang dagang ibarat pergaduhan dua gergasi dalam sebuah kedai kaca — serpihannya pasti terkena kepada yang lain meskipun tidak terlibat secara langsung. Hal ini bermakna negara kecil seperti Malaysia tetap akan menerima kesan sama ada melalui gangguan bekalan, kenaikan harga bahan mentah atau pengalihan pelaburan.

John Maynard Keynes pula menegaskan bahawa perdagangan antarabangsa yang terganggu bukan sahaja memperlahankan pertumbuhan ekonomi, tetapi juga boleh mencetuskan ketegangan politik. Dalam situasi perang dagang antara AS dengan China yang semakin memuncak, Malaysia mesti cekap mengenal pasti peluang dan ancaman secara serentak.

Kini, Malaysia berada di ambang penyusunan semula rantaian bekalan global. Malaysia mampu menjadi destinasi pelaburan jika berjaya menawarkan kestabilan politik, infrastruktur yang mantap serta dasar ekonomi yang jelas dan telus. Namun begitu, untuk kekal berdaya saing, pematuhan terhadap piawaian antarabangsa, termasuk yang ditetapkan oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mesti dijadikan panduan utama.

Akhirnya, kejayaan bukan hanya bergantung pada kepantasan bertindak, tetapi juga pada kehalusan strategi. Perdagangan global ibarat gelanggang silat yang memerlukan kepantasan membaca gerak lawan, kecerdikan memasang langkah, serta ketepatan bertindak balas.

Malaysia perlu melangkah ke hadapan dengan keyakinan dan kebijaksanaan, bukan sebagai bidak dalam permainan kuasa besar, tetapi sebagai pemain bijak dalam percaturan ekonomi dunia yang semakin kompleks.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi