Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPeluang menjanakan pendapatan sampingan kini terbuka luas kepada golongan suri rumah, terutamanya dalam bidang seperti penulisan kandungan laman sesawang, pengurusan media sosial, penterjemahan bahasa, pengurusan data, reka bentuk grafik, penghantaran bungkusan, penghasilan kraf tangan dan perkhidmatan penghantaran makanan. Semua bidang ini boleh diceburi secara sambilan tanpa menjejaskan tanggungjawab terhadap keluarga.
Beberapa tahun kebelakangan ini, penyertaan suri rumah dalam pekerjaan sambilan menunjukkan peningkatan yang ketara. Keberanian dan kesungguhan mereka meneroka bidang ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada ekonomi keluarga, malah turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan.
Pendapatan sampingan ini mampu menampung keperluan harian, menambah dana simpanan dan meningkatkan taraf hidup keluarga. Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu serta peningkatan kos sara hidup, pendapatan tambahan ini mampu meringankan beban kewangan keluarga.
Di samping itu, pekerjaan sambilan turut memberikan nilai tambah dari segi kesejahteraan emosi dan psikologi suri rumah. Perkara ini memberi mereka peluang untuk memenuhi keperluan peribadi dan meningkatkan keyakinan diri. Pekerjaan sambilan yang menawarkan fleksibiliti masa membolehkan mereka menyeimbangkan antara peranan sebagai ibu, isteri dan wanita berkerjaya.
Walaupun sesetengah suri rumah mungkin merasakan kekangan masa menghalang mereka daripada menceburi bidang ini, hakikatnya perkara ini boleh diatasi dengan pengurusan masa yang bijak. Anak-anak tidak seharusnya dijadikan alasan, sebaliknya boleh menjadi sumber inspirasi dan motivasi. Pekerjaan ini memerlukan kecekalan dan semangat juang yang tinggi, namun kejayaan banyak suri rumah lain membuktikan bahawa tiada yang mustahil.
Tambahan pula, sokongan daripada pelbagai pihak berwajib turut membantu membuka ruang kepada suri rumah. Sebagai contoh, Program Pembangunan Kapasiti dan Latihan Keusahawanan anjuran Jabatan Pembangunan Wanita telah memberikan manfaat kepada lebih daripada 17,000 suri rumah sehingga tahun lalu menjadikan mereka lebih bersedia dan yakin untuk menceburi bidang keusahawanan.
Peluang menjanakan pendapatan sampingan bukan sahaja meningkatkan sosioekonomi keluarga, malah turut memperkembangkan bakat dan potensi diri. Suri rumah wajar mengambil inisiatif dan memanfaatkan peluang yang ada. Seperti kata pepatah, “kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.”
Kemajuan teknologi dan ledakan media sosial kini membuka lebih banyak pintu rezeki. Trend membeli-belah dalam talian dan pemasaran digital melalui platform seperti Facebook, Instagram dan TikTok telah mengubah landskap ekonomi global. Banyak suri rumah berjaya menjanakan pendapatan lumayan selepas produk atau perkhidmatan mereka tular dalam media sosial. Fenomena ini membuktikan bahawa sesiapa sahaja boleh mencipta kejayaan asalkan berani mencuba.
Selain keusahawanan digital, aktiviti tradisional seperti berkebun juga memberikan banyak manfaat. Aktiviti ini yang dahulunya dianggap sekadar hobi, kini boleh dijadikan sumber pendapatan. Dengan modal serendah RM50, seorang suri rumah boleh memulakan usaha tani secara kecil-kecilan. Kejayaan beberapa suri rumah yang menjadikan kebun sebagai ladang komersial menjadi inspirasi kepada masyarakat, termasuk yang tinggal di bandar. Stereotaip bahawa berkebun hanya sesuai untuk kawasan luar bandar kini semakin terhapus.
Banyak suri rumah yang berjaya memulakan langkah mereka melalui minat dan hobi. Terdapat suri rumah yang sekadar berkongsi aktiviti harian melalui YouTube atau media sosial, namun akhirnya menjadi punca pendapatan tetap. Walaupun perjalanan itu sukar pada awalnya, namun bak kata pepatah, “alah bisa tegal biasa.”
Kesimpulannya, gelaran suri rumah bukanlah penghalang untuk menjanakan pendapatan sampingan. Dengan semangat dan usaha yang konsisten, suri rumah bukan sahaja dapat membantu menambah pendapatan keluarga, malah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.