Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru setiap individu agar bertanggungjawab melunaskan hutang kepada pihak yang berhak, di samping mengingatkan para peniaga supaya menjalankan urusan perniagaan berlandaskan syariat Islam serta berteraskan rasa takut dan takwa kepada Allah SWT.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Taklimat Usahawan Negeri Perlis anjuran Majlis Perbandaran Kangar (MPKangar) dengan kerjasama Tekun Nasional di Dewan Sivik, Arau, baru-baru ini.
Baginda bertitah bahawa hanya pengurusan yang telus dan beretika mampu memastikan perniagaan berkembang secara mampan dan memberikan manfaat jangka panjang.
“Bagi terus maju dan berdaya saing, para usahawan di negeri ini perlu sentiasa cakna terhadap perkembangan ekonomi global, memahami kehendak pasaran secara inklusif, serta bersiap siaga meneroka peluang baharu seiring dengan perubahan dinamik dunia hari ini,” titah baginda.
Dalam ucapannya, DYTM Tuanku Syed Faizuddin turut menzahirkan harapan agar MPKangar terus memainkan peranan penting bagi membantu para usahawan di negeri Perlis, termasuk memperluas program berbentuk pendidikan dan kesedaran keusahawanan.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengerusi TEKUN Nasional, YBhg. Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dan Yang Dipertua MPKangar, Tuan Haji Affendi Rajini Kanth.
Sementara itu, YBhg. Datuk Abdullah Sani memaklumkan bahawa sejak penubuhan TEKUN pada tahun 1998 hingga kini, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM170.6 juta kepada 9,958 orang usahawan di negeri Perlis.
Bagi tempoh Januari 2025 hingga Jun 2025 sahaja, sebanyak 292 pembiayaan bernilai RM6.7 juta telah disalurkan kepada usahawan negeri tersebut.
Pada masa tersebut, Raja Muda Perlis turut berkenan menyaksikan penyampaian replika cek pinjaman TEKUN berjumlah RM125,000 kepada enam orang penerima yang disempurnakan oleh YBhg. Datuk Abdullah Sani. Baginda juga berkenan menyaksikan pertukaran dokumen kerjasama strategik antara MPKangar dengan TEKUN Nasional.

Program ini menghimpunkan lebih daripada 400 orang usahawan negeri Perlis bertujuan memberikan pendedahan mengenai pelbagai peluang pembiayaan TEKUN Nasional, serta menyediakan ruang interaksi secara langsung antara para usahawan dengan pihak agensi berkenaan.
