Diterbitkan pada 28 Julai 2025, 10:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Keputusan kerajaan untuk memperluas asas Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 Julai 2025 telah mencetuskan pelbagai polemik dan perdebatan dalam kalangan rakyat. Kerajaan sedar bahawa langkah ini bukan bersifat populis untuk meraih sokongan rakyat, apatah lagi dalam suasana ekonomi semasa yang begitu mencabar. Pelaksanaan semakan semula SST ini dilakukan setelah mengambil kira pelbagai faktor penting termasuk sesi libat urus dengan pihak berkepentingan dan komuniti perniagaan. Usaha ini merupakan satu langkah strategik bagi menyusun semula sistem percukaian negara supaya kekal mampan dan berdaya tahan.

Pendekatan ini bukan sekadar retorik, malah mencerminkan keberanian kerajaan dalam melakar dasar fiskal yang realistik dan berpaksikan keperluan semasa.  Menurut, Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), asas cukai negara pada ketika ini hanya mencatatkan 12.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), satu paras yang rendah dan berpotensi untuk ditambah baik melalui pelaksanaan mekanisme yang bersesuaian. Peratusan ini menggambarkan kekangan yang dihadapi kerajaan bagi merangka dan melaksanakan dasar ekonomi secara menyeluruh disebabkan keterbatasan hasil pendapatan. Oleh itu, langkah pembaharuan ini perlu dilaksanakan dengan berpaksikan kepentingan rakyat.

Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan berwawasan, pertimbangan terhadap perancangan masa hadapan turut menjadi keutamaan. Kerajaan yang empati ialah kerajaan yang peka terhadap denyut nadi rakyat tanpa mengira latar belakang bangsa, agama mahupun budaya. Hal ini terbukti apabila kerajaan bersetuju untuk mengecualikan buah-buahan import seperti epal, oren, limau mandarin dan kurma daripada cukai jualan setelah mengambil kira maklum balas masyarakat.

Selain itu, barangan keperluan harian sama ada keluaran tempatan mahupun import turut dikecualikan daripada cukai jualan. Barangan ini termasuk beras, ayam, daging lembu, sayur-sayuran dan telur. Produk perikanan tempatan seperti ikan selar, tongkol, cencaru dan sardin sama ada dalam bentuk sejuk beku, sejuk dingin atau segar juga diberi pengecualian. Minuman asas rakyat seperti susu segar, Milo, Vico, Nestum dan produk seumpamanya turut tersenarai dalam pengecualian ini. Begitu juga ubat-ubatan dan peranti perubatan, buku dan akhbar, makanan ternakan, baja, racun, jentera pertanian serta bahan binaan asas seperti batu, pasir dan simen. Hal ini bermakna kadar cukai jualan terhadap semua barangan keperluan asas pada kadar sifar peratus.

Senarai barangan yang dikenakan cukai jualan dengan kadar baharu termasuk kenaikan kadar cukai terhadap barangan bukan keperluan asas adalah seperti dalam jadual yang berikut:

Jadual 1: Senarai Barangan yang Dikenakan SST

Bagi skop cukai perkhidmatan pula, kerajaan memutuskan untuk menaikkan had nilai ambang pendaftaran bagi perkhidmatan pajakan atau sewaan serta perkhidmatan kewangan daripada RM500,000 kepada RM1 juta. Keputusan ini merupakan langkah yang memberikan manfaat besar, khususnya kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini. Menyedari keperluan untuk terus mendengar suara rakyat, kerajaan turut memutuskan untuk tidak meneruskan peluasan skop cukai perkhidmatan terhadap perkhidmatan kecantikan seperti rawatan kuku, rawatan wajah, serta khidmat gunting rambut dan pendandan rambut. Oleh itu, hanya lima skop peluasan cukai perkhidmatan dilaksanakan oleh kerajaan berbanding dengan enam skop seperti yang dicadangkan pada peringkat awal. Lima skop berkenaan adalah seperti yang berikut:

  1. Perkhidmatan Sewaan atau Pajakan

Skop ini hanya terpakai kepada perniagaan dengan nilai perkhidmatan atau ambang jualan tahunan melebihi RM1 juta dan dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar lapan peratus. Namun begitu, perkhidmatan sewaan atau pajakan yang berkaitan dengan rumah kediaman, bahan bacaan, pajakan kewangan dan aset ketara di luar Malaysia dikecualikan daripada cukai ini.

  1. Perkhidmatan Kerja Pembinaan

Cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus dikenakan terhadap perkhidmatan pembinaan melibatkan infrastruktur, bangunan komersial dan kemudahan industri yang bernilai melebihi RM1.5 juta dalam tempoh 12 bulan. Namun begitu, kerajaan memberikan pengecualian kepada pembinaan bangunan kediaman untuk rakyat dan kemudahan awam seperti taman permainan dalam projek perumahan.

  1. Perkhidmatan Kewangan

Skop ini mendapat reaksi meluas dalam kalangan masyarakat, terutamanya berkaitan dengan kekeliruan mengenai pengeluaran wang tunai daripada mesin juruwang automatik (ATM) yang kononnya dikenakan cukai sedangkan perkara itu tidak benar. Sebenarnya, cukai perkhidmatan hanya dikenakan terhadap perkhidmatan kewangan berasaskan yuran dan komisen seperti khidmat penasihat kewangan, broker dan penjamin dengan nilai perkhidmatan melebihi RM1 juta pada kadar lapan peratus. Transaksi yang tidak tertakluk pada cukai termasuk faedah atau fi pembiayaan syariah, keuntungan pertukaran mata wang asing dan pasaran modal, perkhidmatan insurans hayat, perubatan dan takaful keluarga untuk individu. Pengecualian juga diberi kepada transaksi melibatkan fi kad kredit/kad caj, caj denda, perkhidmatan kewangan yang dieksport serta perkhidmatan asas perbankan seperti akaun simpanan dan semasa, sekali gus menolak dakwaan bahawa penggunaan ATM dikenakan cukai.

  1. Perkhidmatan Jagaan Kesihatan

Cukai perkhidmatan jagaan sebanyak enam peratus dikenakan terhadap perkhidmatan jagaan kesihatan swasta dengan nilai melebihi RM1.5 juta dalam tempoh 12 bulan. Namun begitu, cukai ini hanya dikenakan kepada bukan warganegara Malaysia sahaja.

  1. Perkhidmatan Pendidikan

Perkhidmatan pendidikan seperti prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah yang mengenakan yuran sekolah melebihi RM60,000 termasuk institusi pengajian tinggi dan pusat bahasa turut dikenakan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus. Sama seperti perkhidmatan kesihatan, cukai ini hanya dikenakan kepada bukan warganegara Malaysia yang mengikuti pendidikan di negara ini.

Secara keseluruhannya, pelaksanaan semakan semula SST dilakukan secara bersasar. Kerajaan terus memberikan pengecualian terhadap barangan dan perkhidmatan asas tertentu khusus untuk warganegara Malaysia. Walaupun pelbagai pengecualian telah diberi, kerajaan tetap optimis untuk mencapai sasaran kutipan hasil tambahan sebanyak RM10 bilion bagi tahun ini. Jumlah ini amat signifikan kerana kutipan tersebut akan dipulangkan semula kepada rakyat melalui pelbagai program perlindungan sosial yang memberikan manfaat langsung kepada golongan B40 dan M40.

Antara inisiatif yang diumumkan termasuklah peluasan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada 5.4 juta penerima bermula 1 April 2025 berbanding dengan hanya 700,000 penerima sebelum ini. Peruntukan bagi program ini juga telah ditingkatkan kepada RM13 bilion. Langkah ini merupakan strategi fiskal jangka sederhana yang dirangka untuk memperkukuh kedudukan kewangan negara tanpa membebankan majoriti rakyat.

Banyak yang mungkin tidak menyedari bahawa hanya sekitar 15 peratus tenaga kerja dan kira-kira 20 peratus syarikat berdaftar yang membayar cukai pendapatan. Tambahan pula, kerajaan turut berdepan dengan isu ketirisan hasil menerusi pengelakan cukai secara agresif yang masih berlaku. Oleh itu, peluasan asas cukai menerusi mekanisme SST ini dilihat sebagai pendekatan yang adil dan bertanggungjawab untuk memastikan perkongsian tanggungjawab yang saksama dalam kalangan rakyat.

Kerajaan sedar bahawa reformasi ekonomi tidak boleh bergantung semata-mata pada tadbir urus yang baik. Sebaliknya, usaha tersebut perlu disokong dengan langkah memperkukuh kedudukan fiskal negara termasuk melalui sistem percukaian yang merupakan sumber utama negara sejak sekian lama. Setiap sen yang dikutip daripada rakyat ialah pelaburan bersama ke arah membina masa hadapan Malaysia yang sejahtera dan gemilang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi