Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Minggu Penjagaan Kesihatan Antarabangsa (IHW) 2025 yang berlangsung dari 16 Julai 2025 hingga 18 Julai 2025 berjaya menarik penyertaan lebih daripada 900 pempamer tempatan dan antarabangsa menerusi penganjuran lima pameran perdagangan utama di bawah satu bumbung.
Pameran tersebut berlangsung ketika pasaran global peranti perubatan dijangka berkembang pesat, iaitu sebanyak 63 peratus daripada RM2.53 trilion pada tahun 2024 kepada RM4.13 trilion menjelang tahun 2032.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sektor penjagaan kesihatan global terbukti bukan sahaja berdaya tahan, malah bersifat transformatif dengan menawarkan potensi besar dalam bidang peranti perubatan, farmaseutikal, bioteknologi dan penyelesaian kesihatan digital.
Menurut beliau, daya tarikan Malaysia dalam sektor ini turut terbukti apabila industri peranti perubatan dan farmaseutikal negara berjaya menarik pelaburan berjumlah RM2.13 bilion bagi tahun 2024 sahaja. Pelaburan tersebut turut menyumbang kepada 2,700 pekerjaan bernilai tinggi dalam sektor pembuatan, penyelidikan dan pembangunan, dan perkhidmatan kawal selia.
Beliau menegaskan bahawa pembaharuan industri yang berterusan, ekosistem yang mantap, dasar progresif, persekitaran mesra pelabur dan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi telah meletakkan industri penjagaan kesihatan Malaysia pada landasan yang kukuh untuk merebut peluang pertumbuhan global. Ketika ini, lapan daripada 30 syarikat perubatan terbesar dunia telah menubuhkan operasi di Malaysia.
“Daripada farmaseutikal dan peranti perubatan kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pelancongan perubatan, sektor ini menjadi pemangkin kepada penciptaan pekerjaan bernilai tinggi, inovasi dan peningkatan eksport,” ujar beliau ketika menyampaikan ucaptama sempena IHW 2025.

Mengulas cabaran dalam perdagangan global, khususnya kesan tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap eksport tertentu dari Malaysia, beliau memaklumkan bahawa kerajaan sedang berunding secara telus dengan AS bagi mendapatkan penjelasan, meminimumkan gangguan dan mencapai hasil yang saling menguntungkan.
Beliau menjelaskan bahawa matlamat utama rundingan tersebut adalah untuk memastikan sebarang perjanjian menyokong perdagangan multilateral yang terbuka, berasaskan peraturan dan adil dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sebagai kerangka utama. Perjanjian tersebut juga perlu melindungi akses pasaran sambil mengiktiraf keperluan negara membangun seperti Malaysia untuk membina rantaian bekalan dan ekonomi yang mampan.
Tambah beliau,
Seperti negara lain, kita menghargai hubungan ekonomi dengan AS. Pada tahun 2024, jumlah dagangan Malaysia–AS meningkat hampir 30 peratus kepada RM324.9 bilion (USD71.4 bilion), dengan Malaysia menjadi sumber penting bagi produk utama seperti elektrik dan elektronik (E&E), jentera dan peralatan, sarung tangan getah, produk berasaskan kayu dan minyak sawit.
IHW 2025 yang dianjurkan bersama oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Informa Markets berperanan sebagai platform strategik untuk mempertemukan pelbagai pihak dalam industri penjagaan kesihatan serantau dan global. Penganjuran kali ini menggabungkan lima pameran antarabangsa utama dalam satu acara bersepadu.
Lima pameran tersebut ialah CPHI Asia Tenggara yang merangkumi keseluruhan rantaian bekalan pengeluaran farmaseutikal; WHX Kuala Lumpur (dahulu dikenali sebagai Asia Health) yang menampilkan peranti perubatan dan perkhidmatan hospital; serta WHX Labs Kuala Lumpur (dahulu Medlab Asia) yang memfokuskan teknologi diagnostik dan makmal perubatan.
Pameran lain ialah Medtec Asia Tenggara yang mengkhususkan dalam reka bentuk dan pembuatan peranti serta teknologi perubatan, dan Persatuan Sistem Pengurusan dan Maklumat Penjagaan (HIMSS) yang memacu inovasi dalam bidang teknologi digital kesihatan.
Acara yang bakal melabuhkan tirainya esok ini memberikan peluang kepada pengunjung untuk meneroka inovasi terkini dalam sektor kesihatan dan menjalin kerjasama strategik menerusi lebih daripada 900 reruai pempamer dari dalam dan luar negara.