Diterbitkan pada 9 Julai 2025, 12:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tarikh 25 March 2025 menjadi detik penting bagi pergerakan mata wang Rupiah Indonesia apabila nilainya merosot kepada IDR16,642 per USD yang merupakan paras terendah sejak krisis ekonomi 1998. Persoalannya; mengapakah nilai Rupiah boleh merosot begitu drastik?

Dalam pasaran tukaran asing, pergerakan nilai mata wang kebiasaannya dipengaruhi oleh faktor asas penawaran dan permintaan yang turut berkait rapat dengan tahap keyakinan pelabur terhadap ekonomi sesebuah negara. Sekiranya pelabur yakin terhadap kestabilan makroekonomi, pertumbuhan mampan serta dasar fiskal dan monetari yang telus, mereka cenderung meningkatkan pegangan dalam mata wang negara tersebut, sekali gus mendorong kenaikan nilainya.

Sebaliknya, kewujudan peningkatan risiko akan mendorong pelabur antarabangsa untuk memindahkan modal ke lokasi yang dianggap lebih selamat dan menguntungkan. Tindakan menjual mata wang domestik secara besar-besaran untuk ditukar kepada mata wang lain akan menyebabkan penawaran melebihi permintaan, lalu mendorong kejatuhan nilai mata wang berkenaan.

Keadaan ini bukan sahaja mencerminkan reaksi jangka pendek pasaran, malah turut menjadi penanda aras kepada prestasi ekonomi negara tersebut. Oleh itu, pengekalan keyakinan pelabur amat penting bagi memastikan kestabilan kadar tukaran, khususnya bagi negara membangun yang sangat bergantung pada aliran masuk modal asing.

Dalam konteks Rupiah Indonesia, kejatuhan nilai mata wang ini menunjukkan bahawa pelabur asing menjual Rupiah dalam jumlah besar dan menarik keluar dana secara agresif. Antara faktor utama yang mendorong situasi ini termasuklah jangkaan pasaran terhadap kadar faedah Amerika Syarikat yang dijangka kekal tinggi lebih lama. Peningkatan hasil bon Perbendaharaan AS akan menyebabkan aset dalam dolar AS menjadi lebih menarik, sekali gus menyebabkan aliran keluar modal dari negara seperti Indonesia. Keadaan ini mengurangkan permintaan terhadap Rupiah lalu menjatuhkan nilainya.

Selain itu, beberapa isu domestik yang berlaku di Indonesia turut menjejaskan keyakinan pelabur. Antaranya skandal rasuah yang melibatkan syarikat milik negara, iaitu Pertamina serta spekulasi mengenai peletakan jawatan Menteri Kewangan, Sri Mulyani Indrawati. Perkembangan ini secara langsung mempengaruhi sentimen pasaran dan keyakinan pelabur terhadap kestabilan institusi kewangan negara.

Dalam konteks ekonomi Indonesia, Pertamina memainkan peranan penting bagi memastikan aliran masuk modal asing. Skandal rasuah di Pertamina bukan sahaja menjejaskan reputasi Indonesia pada peringkat global, malah mencetuskan kebimbangan terhadap keberkesanan pengurusan fiskal dan pengagihan subsidi. Memandangkan sektor tenaga merupakan penyumbang utama kepada akaun semasa dan pendapatan negara, sebarang ketidakcekapan atau penyelewengan akan memberikan kesan langsung kepada keseimbangan bajet dan ketahanan fiskal negara.

Kombinasi isu ini telah menyebabkan tekanan jualan terhadap mata wang Rupiah, terutamanya melalui pasaran bon dan ekuiti. Pelabur jangka pendek segera mengurangkan pendedahan mereka, manakala pelabur jangka panjang pula cenderung menangguhkan keputusan pelaburan.

Bagi memperbaik keadaan, Bank Indonesia (BI)  telah melaksanakan beberapa langkah untuk menyokong kedudukan Rupiah yang semakin lemah. Antara pendekatan utama termasuklah campur tangan aktif dalam pasaran tukaran asing dengan membeli Rupiah dan menjual dolar AS. Pembelian ini meningkatkan permintaan terhadap Rupiah, sekali gus membantu menstabilkan nilainya. Namun begitu, langkah ini juga bermaksud BI perlu menggunakan sebahagian daripada rizab antarabangsa yang boleh menyebabkan rizab tersebut merosot.

Selain itu, BI turut melaksanakan campur tangan dalam pasaran bon domestik dengan menjual bon jangka pendek dan membeli bon jangka panjang. Langkah ini bertujuan menstabilkan hasil bon kerajaan, mengelakkan penarikan keluar pelaburan oleh pelabur institusi dan mengurangkan ketidaktentuan kadar faedah sebenar. Usaha ini secara tidak langsung menyokong permintaan terhadap aset dalam denominasi Rupiah.

Pada masa yang sama, BI juga memperkukuh kerjasama dengan institusi kewangan tempatan bagi memperluas penggunaan mata wang tempatan dalam urus niaga perdagangan serantau, sekali gus mengurangkan kebergantungan pada dolar AS dalam jangka panjang. Langkah serupa turut dilaksanakan oleh beberapa negara jiran termasuk Malaysia.

Walau bagaimanapun, kesan langkah ini hanya bersifat sementara. Bagi memastikan kestabilan Rupiah secara mampan, Indonesia memerlukan pembaharuan struktur ekonomi yang menyeluruh. Antara langkah penting termasuklah mengukuhkan keyakinan pelabur melalui peluasan asas cukai, mengurangkan kebergantungan pada subsidi yang membebankan fiskal serta memastikan kestabilan politik dan kesinambungan dasar ekonomi. Semua faktor ini amat penting bagi membina semula keyakinan pasaran dan menjamin ketahanan ekonomi jangka panjang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi