Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCadangan untuk menaikkan umur persaraan wajib daripada 60 tahun kepada 65 tahun oleh YB Dato’ Sri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat Malaysia. Bagi memahami konteks cadangan ini, penting untuk menelusuri dasar dan sejarah sistem persaraan negara.
Melalui Akta Umur Persaraan Minimum 2012 (Akta 753) yang mula berkuat kuasa pada 1 Julai 2013, umur minimum persaraan ditetapkan pada 60 tahun. Antara objektif utamanya termasuklah memberikan tempoh kerja yang lebih panjang bagi menambah simpanan persaraan, di samping menyesuaikan dasar negara dengan peningkatan jangka hayat penduduk. Akta ini juga melarang majikan daripada memaksa pekerja bersara tanpa alasan munasabah, sekali gus melindungi mereka daripada diskriminasi berasaskan umur.
Kini, selepas lebih sedekad pelaksanaannya, cadangan untuk menyemak semula umur persaraan kepada 65 tahun dilihat semakin relevan, khususnya dalam konteks Malaysia yang dijangka menjadi negara tua menjelang tahun 2030 apabila 15 peratus daripada penduduknya berumur 60 tahun ke atas. Langkah ini juga seiring dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang menggariskan pembangunan silver economy sebagai satu daripada strategi utama untuk mengoptimumkan potensi dan sumbangan warga emas kepada negara.
Silver Economy dan Potensi Warga Emas
Silver economy merangkumi semua aktiviti ekonomi yang melibatkan warga emas sama ada sebagai pengguna, tenaga kerja, penerima perkhidmatan atau pengeluar. Aktiviti ini meliputi sektor kesihatan, pelancongan, teknologi, penjagaan sosial dan perumahan.
Dalam sesi Wacana RMK-13 pada tahun 2024, Dr. Phillip O’Keefe menekankan bahawa proses penuaan bukanlah satu beban, sebaliknya berpotensi menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi sekiranya disokong dengan dasar yang inklusif.
Negara seperti Jepun, Korea Selatan dan Jerman telah membuktikan bahawa populasi warga emas yang besar bukan halangan kepada kemajuan. Sebaliknya, populasi ini mampu mendorong pertumbuhan ekonomi apabila disokong oleh sistem sokongan yang mantap seperti program pekerjaan fleksibel, latihan semula dan pembangunan teknologi mesra usia.
Di Malaysia, banyak warga emas berdepan dengan simpanan persaraan yang tidak mencukupi. Data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menunjukkan majoriti pencarum tidak memiliki simpanan yang memadai untuk menampung kehidupan pascapersaraan. Oleh itu, pemberian peluang kepada warga emas untuk terus bekerja sehingga umur 65 tahun merupakan langkah yang wajar bagi menjamin kesejahteraan ekonomi mereka, di samping memperkukuh pertumbuhan silver economy negara.
Isu Peluang Pekerjaan Anak Muda: Mitos atau Realiti?
Antara kebimbangan utama masyarakat termasuklah pelanjutan umur persaraan akan menjejaskan peluang pekerjaan untuk generasi muda. Namun begitu, kajian oleh International Labour Organization (ILO) menunjukkan bahawa tiada bukti kukuh yang menyokong persepsi tersebut. Sebaliknya, kehadiran pekerja berumur boleh meningkatkan daya saing organisasi, menyumbang kepada pemindahan ilmu dan mewujudkan suasana kerja antara generasi yang lebih harmoni dan produktif.
Pengalaman negara seperti Rusia turut membuktikan bahawa selepas reformasi umur persaraan, syarikat mula bersedia menerima pekerja berumur dengan menyesuaikan dasar sumber manusia termasuk pelaksanaan waktu kerja fleksibel, pelan peralihan kerjaya dan latihan semula.
Di Malaysia, cabaran utama belia dalam mendapatkan pekerjaan lebih berpunca daripada ketidakpadanan kemahiran, kurang pengalaman industri dan akses terhad kepada latihan relevan. Oleh itu, tumpuan dasar seharusnya diberi terhadap pembangunan modal insan dan pengukuhan bidang Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) secara meluas.
Penuaan Aktif: Pendekatan Strategik ke Arah Masyarakat Inklusif
Konsep penuaan aktif yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menekankan tiga elemen utama, iaitu kesihatan yang baik, pelibatan dalam aktiviti sosial dan ekonomi serta perlindungan sosial yang mencukupi. Konsep ini mengiktiraf warga emas sebagai penyumbang produktif dalam masyarakat.
Negara seperti United Kingdom dan Australia telah menjadikan konsep ini sebagai dasar utama untuk menjamin kelangsungan sistem pencen dan keseimbangan ekonomi. Di Malaysia, semakin banyak warga emas menunjukkan minat untuk terus bekerja dan terlibat dalam komuniti. Namun begitu, tanpa perlindungan undang-undang dan sokongan dasar, pelibatan ini sering tidak diiktiraf secara rasmi.
Pelaksanaan penuaan aktif secara menyeluruh memerlukan persekitaran fizikal mesra usia, peluang pekerjaan fleksibel dan sistem latihan semula yang mudah diakses. Sebagai contoh, kajian di Australia mendapati bahawa kemudahan sedia ada tidak mencukupi sekiranya persekitaran tidak direka bentuk secara mesra pengguna warga emas.
Cadangan untuk menaikkan umur persaraan wajib kepada 65 tahun bukanlah satu tindakan tergesa-gesa, tetapi satu pelarasan dasar yang berpaksikan realiti demografi dan tuntutan ekonomi. Pelaksanaan ini wajar dilakukan secara berperingkat berpandukan data dan pengalaman negara lain seperti Singapura dan Jepun.
Sebagaimana ditegaskan oleh Profesor Dr. Saidatulakmal Mohd, warga emas bukanlah beban, sebaliknya mereka merupakan aset berharga negara sekiranya diberi ruang dan pengiktirafan sewajarnya. Kenaikan umur persaraan akan membolehkan mereka terus menyumbang secara aktif, menjanakan pendapatan dan menikmati kehidupan yang lebih bermakna.
Persoalannya kini; adakah masyarakat bersedia untuk berubah dan menghargai generasi yang telah membina asas negara ini? Jika jawapannya “ya”, maka pelanjutan umur persaraan bukan sahaja wajar, bahkan amat diperlukan demi menjayakan agenda pembangunan negara yang inklusif dan mampan.