Diterbitkan pada 23 Jun 2025, 16:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) meneruskan siri kesembilan Operasi Pematuhan Cukai pada tahun ini yang dikenali sebagai “OP Wau” di Zon Pantai Timur bagi meningkatkan usaha pematuhan cukai dalam kalangan masyarakat.

Operasi ini dilaksanakan secara serentak di tiga negeri, iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang mulai 23 Jun 2025 hingga 26 Jun 2025 bertujuan untuk memperkasakan pematuhan cukai dan memperluas jaringan penguatkuasaan secara berfokus dan menyeluruh.

Melalui pelibatan sebanyak 394 pegawai HASiL dari ketiga-tiga negeri berkenaan, HASiL berjaya mengenal pasti sebanyak 1,443 kes untuk diambil tindakan bagi operasi pada kali ini.

Operasi ini memfokuskan sektor ekonomi yang relevan dengan landskap perniagaan setempat termasuk pertanian, perkakasan pertanian, pembinaan, peruncitan, barang kemas, bengkel kereta, tekstil, klinik dan stesen minyak.

Penyempurnaan sesi pelepasan para petugas (flag-off) OP Wau di pekarangan Menara HASiL Kelantan.

Pendekatan bersasar tersebut selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menambah baik tadbir urus fiskal secara berstruktur. Lima aktiviti percukaian utama yang dilaksanakan sepanjang tempoh operasi merangkumi audit, pungutan, verifikasi pembayar cukai, pematuhan strategik dan guaman.

Dalam ucapan perasmian di Menara HASiL Kelantan, Pengarah Bahagian Pengoperasian Audit Cukai, Sektor Pematuhan Cukai, YBhg. Datuk Mukti Mohd Hassan menyatakan bahawa keberhasilan kutipan hasil tidak boleh hanya bergantung pada strategi pusat, tetapi memerlukan pelibatan aktif dari setiap HASiL negeri. Oleh itu, setiap negeri perlu terus bertindak secara proaktif dengan mengenal pasti kes berisiko dan melaksanakan tindakan yang sewajarnya secara bersepadu.

YBhg. Datuk Mukti Mohd Hassan menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian OP Wau.

Pelaksanaan OP Wau memperlihatkan usaha berterusan HASiL untuk merapatkan jurang pematuhan, mengukuhkan integriti sistem cukai dan mendekati segmen pembayar cukai yang memerlukan bimbingan serta tindakan pembetulan. Langkah ini juga akan dapat meningkatkan keyakinan umum terhadap sistem percukaian negara yang adil, telus dan inklusif.

HASiL percaya bahawa pelaksanaan operasi seumpama ini akan terus menjadi pemacu kepada pembentukan ekosistem percukaian yang lebih berdaya saing, berintegriti dan seiring dengan aspirasi negara ke arah kemampanan fiskal jangka panjang.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah barisan pengurusan kanan HASiL.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas, sila hubungi HASiL menerusi:

  1. Hasil Contact Centre (HCC) menerusi talian 03-89111000/603-89111000 (Luar Negara);
  2. HASiL Live Chat; dan
  3. Borang Maklum Balas dalam portal rasmi HASiL menerusi pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi