Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPontian – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Pagoh melalui Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari (KSTCL) berusaha memupuk minat pelajar dalam bidang keusahawanan pertanian dengan menganjurkan lawatan ke syarikat Cendawan.com.
Lawatan ke syarikat milik Encik Muhammad Saidan Sanib ini yang disertai sebanyak 20 orang pelajar dan seorang pensyarah bertujuan untuk memberikan pendedahan mengenai kaedah penyediaan dan proses penanaman cendawan tiram.

Program ini merupakan kesinambungan daripada kursus berkaitan dengan penanaman cendawan tiram yang diadakan di KSTCL, UIAM Pagoh. Pelbagai pendedahan dan latihan praktikal disediakan oleh syarikat ini dalam usaha memberikan pendedahan kepada komuniti khususnya generasi muda yang berminat untuk menceburi bidang pertanian cendawan tiram.

Selain itu, program ini turut menyokong usaha KSTCL untuk melahirkan mahasiswa yang bukan hanya cemerlang dalam bidang kebahasaan, malah turut berdaya saing dalam pelbagai bidang lain. Program ini juga membuka ruang kepada fakulti untuk membangunkan produk sendiri yang dapat menyumbang kepada kesejahteraan komuniti dan pembangunan sosioekonomi setempat.
Melalui program ini, para pelajar berjaya mendapat pendedahan sebenar dan latihan praktikal yang berguna untuk menceburi bidang agropelancongan, edupelancongan dan sebagainya. Hasil program ini juga menjadikan mahasiswa sebagai duta fakulti kepada masyarakat, komuniti dan pelancong.