Diterbitkan pada 7 Mei 2025, 08:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

“Pertimbangan asasi terpasak kepada keperluan mengadakan reformasi untuk menjamin pertumbuhan tetapi tidak boleh terlepas daripada usaha bagi merungkai permasalahan kesenjangan dan kemiskinan yang kian melebar.

Oleh itu, kerangka pokok adalah untuk memacu pertumbuhan yang lebih segar mengambil kira perkembangan dan cabang pembelajaran yang baharu serta tuntutan zaman tetapi mesti tidak terlepas daripada tonggak utama, iaitu untuk menjamin keselesaan rakyat melalui pendidikan dan kesihatan.”

-YBhg. Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dalam ucapan Belanjawan 2025.

Malaysia telah mencatatkan kemajuan yang membanggakan dalam menangani ketaksamarataan dalam masyarakat. Pekali Gini yang mengukur jurang pendapatan, menurun daripada 0.5 pada tahun 1970 kepada 0.4 pada tahun 2022 yang menunjukkan pengurangan ketaksamarataan. Dalam tempoh yang sama, kadar kemiskinan mutlak turut merosot secara signifikan daripada 49.3 peratus kepada hanya 6.2 peratus.

Namun begitu, kadar kemiskinan relatif kekal membimbangkan meningkat kepada 16.2 peratus pada tahun 2022 berbanding dengan 5.9 peratus pada tahun 2009. Menurut Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, YBhg. Datuk Dr. Zunika Mohammad, ketidaksamaan ialah isu multidimensi dan tidak boleh dinilai semata-mata melalui pekali Gini. Oleh itu, Rancangan Malaysia Ketiga Belas digubal dengan pendekatan “pertumbuhan dengan kesaksamaan” bagi menangani isu struktur secara menyeluruh.

Pada Februari 2025, Bank Dunia dan Kementerian Ekonomi melancarkan laporan bertajuk A Fresh Take on Reducing Inequality and Enhancing Mobility in Malaysia. Dalam ucapannya, Menteri Ekonomi, YBhg. Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan bahawa menangani ketidaksamaan adalah keutamaan kementerian dan memerlukan kerjasama semua pihak. Beliau turut berkongsi kisah peribadinya keluar daripada kemiskinan melalui akses kepada pendidikan berkualiti.

Laporan itu menyatakan bahawa walaupun ketidaksamaan menurun, mobiliti sosial kekal menjadi cabaran. Banyak individu dalam kumpulan berpendapatan rendah kekal pada tahap yang sama, manakala golongan berada terus menikmati kelebihan sedia ada.

Malaysia dijangka mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2028–2030 dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita meningkat daripada RM6,773 pada tahun 1970 kepada RM48,392 pada tahun 2024. Namun begitu, hanya 4 orang daripada 10 rakyat dijangka tergolong dalam kategori berpendapatan tinggi ketika itu. Kekayaan negara juga tertumpu dengan jutawan menyumbang 15 peratus KDNK berbanding dengan purata 10 peratus di negara Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Terdapat juga jurang antara persepsi dengan realiti apabila banyak yang menganggap diri mereka kelas menengah meskipun kedudukan sebenar berbeza. Ketidaksamaan antara etnik semakin mengecil dan kini menjadi penyumbang utama kepada jurang pendapatan (85 peratus).

Laporan tersebut mencadangkan intervensi awal dan bersasar terutamanya dalam komuniti berpendapatan rendah serta pelaburan dalam sistem pendidikan yang menyediakan laluan pelbagai, sama ada pendidikan tinggi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) atau latihan semasa bekerja. Dr. Luis Felipe Lopez daripada Bank Dunia turut menekankan pentingnya penggunaan data dan analitik mobiliti sosial dalam penggubalan dasar yang berimpak tinggi.

Kesimpulannya, Malaysia telah menunjukkan kemajuan ketara dalam menangani ketidaksamaan, namun usaha perlu diteruskan untuk memastikan mobiliti sosial yang lebih inklusif dan saksama. Perspektif baharu yang menekankan ketidaksamaan pelbagai dimensi penting dalam merangka dasar yang lebih holistik ke arah kesejahteraan bersama.

YBrs. Dr. Lee Siu Ming ialah Pensyarah di Bahagian Ekonomi, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi