Diterbitkan pada 17 Mac 2025, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Peranan pengulas sukan bukan sekadar mengulas sesuatu permainan tetapi juga untuk memberikan inspirasi kepada pendengar dan penonton agar terus setia mengikuti setiap detik permainan hingga ke penghujung acara.

Dalam erti kata lain, pengulas yang memiliki karisma atau gaya penyampaian yang memikat akan memiliki peminat yang tersendiri, sekali gus menjadi tumpuan penyiar media untuk mendapatkan khidmatnya dengan bayaran perkhidmatan yang lumayan.

Bola sepak sebagai sukan yang paling banyak peminatnya berbanding dengan acara sukan lain sentiasa menampilkan pengulas dengan pelbagai gaya penyampaian. Ada pengulas yang bersahaja, penuh informatif, bersemangat, bahkan ada juga dengan pendekatan yang lebih santai.

Dalam kalangan pengulas sukan, ada di antara mereka yang diangkat sebagai legenda kerana keupayaan mereka dalam mengulas permainan yang setaraf dengan reputasi kelab atau negara yang mempamerkan permainan berkualiti dalam sukan tersebut.

Satu daripada pengulas terkenal ialah Raymond Wilfred Hudson atau  lebih dikenali sebagai Ray Hudson. Hudson memulakan kerjayanya sebagai pengulas sepenuh masa di GolTV, penyiar yang berpangkalan di Florida yang memperoleh hak penyiaran La Liga pada tahun 2004.

Sebelum itu, beliau mengurus Kelab Bola Sepak D.C. United selama dua tahun berturut-turut. Bakatnya sebagai pengulas dikenali ketika beliau membuat liputan Piala Dunia bersama ESPN dengan satu daripada ulasan yang diingati berlaku ketika Amerika Syarikat seri 1-1 dengan Korea Selatan. Beliau telah memberikan komentar jenaka tentang penjaga gol Amerika Syarikat, Brad Friedel sewaktu perlawanan tersebut.

Menurut Tom Kludt dalam wawancaranya dengan Hudson yang diterbitkan oleh The Guardian pada 1 November 2022, Hudson menganggap ulasan perlawanan sebagai sebuah seni tersendiri. Ulasannya bukan sekadar mengulas permainan tetapi merupakan rangkaian metafora, analogi dan rujukan budaya. Matlamat mengulas bukan hanya untuk berbicara dengan indah tetapi untuk memberikan makna yang lebih mendalam.

Bagi peminat Liga Perdana Inggeris, suara emas Martin Tyler menjadi sinonim dengan detik ikonik dalam sejarah bola sepak negara tersebut. Tyler terkenal dengan ulasannya ketika perlawanan bola sepak antara Everton dengan Bayern Munich dalam Kejohanan European Cup Winners pada tahun 1985 menyaksikan Everton layak ke perlawanan akhir dan menewaskan Rapid Wien.

Namun begitu, ulasan yang paling dikenang adalah ketika Tyler merakamkan detik kemenangan dramatik Sergio Aguero dan kejayaan pertama Manchester City merangkul Liga Perdana Inggeris pada musim 2011/2012 seperti yang dicatat oleh Phillipa Roxby dalam British Broadcasting Corporation pada 16 April 2024.

Pelibatan Tyler sebagai pengulas bermula sejak tahun 1968 tetapi kewibawaannya semakin terserlah apabila beliau berkhidmat di Sky Sports sejak penubuhan syarikat itu pada awal tahun 1990-an. Sepanjang kerjayanya, Tyler terlibat dalam liputan beribu-ribu perlawanan bola sepak termasuklah Liga Perdana, Liga Juara-Juara, Piala Dunia dan Kejohanan Eropah.

Di Itali, suara keramat Mauro Suma membayangi pencapaian kelab AC Milan. Keghairahannya dalam mengulas setiap aksi yang melibatkan kelab itu jelas terpancar walaupun mungkin banyak yang tidak memahami bahasa Itali.

Suma bermula sebagai wartawan bebas pada tahun 1986 dan kemudian menjadi profesional pada tahun 1994. Beliau berkhidmat di beberapa saluran media termasuklah Milan TV dan menjadi kolumnis serta penyelaras editorial di sana sejak tahun 2017.

Namun begitu, mercu tanda yang paling diingati oleh peminat bola sepak dunia ialah laungan gol pengulas Latin. Laungan panjang “gol” ini menjadi tradisi terutamanya di negara berbahasa Sepanyol dan Portugis. Laungan ini dianggap sebagai kemuncak perlawanan menyatukan peminat dengan pasukan kesayangan mereka. Laungan tersebut dianggap sebagai bahasa sejagat yang memaparkan hasil kerja pasukan dan keghairahan untuk menang.

Rebello Junior, pengulas radio dari Sao Paulo, Brazil dipercayai memperkenalkan gaya laungan gol ini pada tahun 1946. Laungannya menjadi fenomena di seluruh dunia. Di Jerman, laungan gol dikenali sebagai “Tooooooor,” manakala di Timur Tengah, laungan Fahd Al-Otaibi dari Qatar menjadi ikonik. Laungannya yang penuh tenaga telah diabadikan dalam permainan video Pro Evolution Socer (PES) 2018.

Dalam kalangan pengulas Sepanyol, laungan gol Andres Cantor sangat terkenal. Laungannya yang dramatik semasa Piala Dunia 1990 dan Piala Dunia 1994 membuatkan beliau diundang dalam rancangan The Late Show with David Letterman. Laungannya yang berpanjangan mencipta budaya tersendiri dalam pengulasan bola sepak.

Di Malaysia, suara pengulas bertaraf legenda seperti Zulkarnain Hassan (1938–2020) bukan sahaja memberikan inspirasi kepada peminat sukan tetapi juga memperkukuh semangat perpaduan. Slogan yang beliau perkenalkan, Majulah Sukan untuk Negara, kekal relevan hingga ke hari ini.

Suara latar beliau ketika mengulas perlawanan Olimpik Kelayakan 1980 antara Malaysia dengan Korea Selatan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, menjadi kenangan manis kepada peminat sukan tanah air.

Ternyata peranan pengulas sukan bukan sahaja terbatas kepada ulasan perlawanan tetapi juga untuk menyemarakkan semangat kesukanan dan patriotisme terutamanya apabila melibatkan pasukan kebangsaan.

Selain itu, mereka juga berperanan sebagai penghibur dan pendidik yang menyampaikan maklumat teknikal dan perincian tentang pasukan yang bertanding. Kerjaya pengulas sukan bukan hanya memberikan pendapatan yang lumayan tetapi juga memerlukan karisma yang dapat menarik perhatian penonton.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi