Diterbitkan pada 23 Februari 2025, 17:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Manama, Bahrain – Malaysia dan Bahrain bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang teknologi kewangan dan pelancongan.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa kedua-dua buah negara komited untuk mengembangkan kerjasama dalam teknologi kewangan, termasuklah mata wang kripto dan platform sandbox.

Teknologi sandbox merujuk amalan keselamatan siber yang melindungi peranti hos dan sistem operasi, manakala mata wang kripto ialah bentuk pembayaran digital alternatif yang dicipta menggunakan algoritma penyulitan.

Di Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengawal selia pembelian dan penjualan mata wang kripto tertentu, walaupun bukan tender sah.

Selain itu, kedua-dua negara berhasrat untuk meningkatkan kerjasama dalam sektor pelancongan, termasuklah kemungkinan menyambung semula penerbangan terus antara Kuala Lumpur dengan Manama.

Langkah ini dijangka akan dapat meningkatkan kesalinghubungan dan mempromosikan pertukaran pelancong antara kedua-dua buah negara.

Meskipun butiran terperinci tidak didedahkan, Dato’ Seri Anwar yang turut memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan mengesahkan bahawa perbincangan tentang kerjasama tersebut telah berlangsung semasa pertemuannya dengan Menteri Kewangan dan Ekonomi Bahrain, Shaikh Salman Khalifa Al Khalifa.

Perdana Menteri tiba di sini pada awal pagi Rabu untuk lawatan rasmi pertamanya ke Negara Teluk itu atas jemputan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri, Salman Hamad Al Khalifa.

Beliau menyatakan bahawa Bahrain yang terletak di antara Qatar dengan Pantai Timur Laut Arab Saudi, turut berkomitmen untuk menjayakan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta Sidang Kemuncak ASEAN-GCC+China yang akan dihadiri oleh Putera Mahkota.

Perdana Menteri berharap hubungan Malaysia dan Bahrain terus erat, sekali gus menarik lebih banyak pelaburan bagi kemajuan ekonomi negara.

Pada tahun 2024, jumlah perdagangan antara Malaysia dengan Bahrain bernilai RM1.19 bilion, dengan eksport Malaysia meningkat sebanyak 17.4 peratus kepada RM251.2 juta, didorong oleh peningkatan eksport peralatan pengangkutan.

Walau bagaimanapun, jumlah perdagangan keseluruhan menurun berbanding dengan RM1.5 bilion pada tahun 2023.

Import Malaysia dari Bahrain berjumlah RM934.3 juta, disokong oleh peningkatan import produk logam.

Bahrain ialah rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia di Asia Barat pada tahun lalu, sementara Malaysia tersenarai sebagai rakan dagang ketiga terbesar Bahrain dalam kalangan negara ASEAN serta ke-18 pada peringkat global pada tahun 2023.

Perdana Menteri ketika lawatannya ke Bahrain ditemani oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, bersama-sama pegawai kanan kerajaan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi