Diterbitkan pada 17 Februari 2025, 18:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kerajaan komited dalam memastikan kesejahteraan pesawah menerusi pelaksanaan beberapa langkah intervensi.

Antara langkah utama yang diambil oleh kerajaan termasuklah mengekalkan harga beras putih serta memperuntukkan RM150 juta dalam tempoh enam bulan bagi memastikan 24 juta kampit beras bersaiz 10 kilogram berada dalam pasaran.

Usaha tersebut bertujuan untuk menstabilkan bekalan dan memastikan harga yang berpatutan kepada seluruh rakyat.

Selain itu, kerajaan juga telah menyelaraskan harga lantai padi kepada RM1,500 per tan metrik berkuat kuasa pada 16 Februari 2025. Langkah proaktif tersebut diambil bagi memastikan pesawah mendapat harga yang lebih baik untuk hasil tanaman mereka, sekali gus memberikan impak positif kepada industri padi dan beras negara serta meningkatkan kualiti hidup pesawah.

Sebelum ini, pada 13 Oktober 2023, kerajaan telah mengumumkan kenaikan harga lantai belian padi daripada RM1,200 kepada RM1,300 per tan metrik sebagai langkah awal untuk memberikan nilai yang lebih adil kepada pesawah.

Bagi memperkukuh sokongan terhadap industri padi, kerajaan turut menaikkan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 kepada RM500 per tan metrik berkuat kuasa 9 Ogos 2023.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), YBhg. Dato’ Dr. Ismail Salleh dalam wawancara Rancangan Selamat Pagi Malaysia berkata, penyelarasan harga lantai padi ialah langkah tepat oleh kerajaan MADANI yang telah melaksanakan dua kali penyelarasan signifikan.

Dalam memastikan keterjaminan makanan negara, MADA memainkan peranan penting dalam meningkatkan hasil pengeluaran padi menerusi pelbagai inisiatif. Antara langkah yang diambil termasuklah memastikan kesuburan tanah, memperbaik sistem pengairan, mengurus peladang dengan lebih berkesan dan menggunakan benih yang berkualiti tinggi.

Pada 27 Februari 2025, Perdana Menteri dijangka akan melancarkan projek bernilai RM1 bilion bagi menambah baik sistem pengairan di Kedah.

YBhg. Dato’ Dr. Ismail Salleh turut menekankan bahawa reformasi industri padi perlu bermula dengan menjaga kebajikan pesawah.

Selain itu, penggunaan teknologi moden seperti Internet benda (IoT) dalam sektor pertanian semakin diberikan penekanan. Teknologi ini digunakan di kawasan seperti Jitra bagi menganalisis kesuburan tanah, jenis tanah, tahap air serta kawalan terhadap rumput, penyakit tanaman dan serangga perosak. Penggunaan dron juga semakin diperluas dalam industri ini.

Menurut beliau, impak penggunaan teknologi moden telah menarik minat lebih ramai pesawah muda untuk menceburi bidang pertanian. Mekanisasi dan automasi bukan sahaja menjimatkan masa dan tenaga, malah hampir 89 peratus pesawah kini menggunakan dron dalam kerja pertanian, manakala tahap mekanisasi pula hampir mencecah 100 peratus.

Beliau turut menegaskan bahawa hala tuju industri padi di kawasan MADA perlu bermula dengan reformasi menyeluruh dalam aspek pengurusan. Sasaran utama adalah dengan meningkatkan hasil purata kepada tujuh metrik tan per hektar berbanding dengan 5.15 metrik tan per hektar pada masa ini.

Melalui pelaksanaan strategi yang berkesan, kebajikan pesawah dapat diperkukuh, seterusnya memberikan kehidupan yang lebih baik kepada mereka yang menyumbang kepada keterjaminan makanan negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi