Diterbitkan pada 22 Januari 2025, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Banyak dalam kalangan masyarakat yang setiap bulan terpaksa menunggu gaji masuk untuk meneruskan kehidupan. Hal ini menggambarkan situasi hidup cukup-cukup makan, menyaksikan pendapatan dibelanjakan sebelum bulan berakhir tanpa simpanan kewangan. Keluhan seperti, “Alamak! Baki simpanan tinggal RM10 sahaja dalam akaun bank. Lagi tiga hari baru gaji masuk” sering terucap oleh mereka yang terperangkap dalam kitaran ini. Kehidupan bulan demi bulan yang penuh dengan ketidakpastian sering menjadi beban yang membelenggu.

Namun demikian, walaupun hidup dalam keadaan sebegini menjadi kebiasaan bagi kebanyakan orang, terdapat langkah yang boleh diambil untuk membebaskan diri daripada kitaran ini bermula dengan kesedaran dan tindakan yang konsisten seperti yang berikut:

  1. Kenal Pasti Perbelanjaan Bulanan

Langkah pertama ialah mengenal pasti aliran keluar wang setiap bulan. Catatkan setiap perbelanjaan, baik melalui aplikasi belanjawan atau buku nota. Tabiat berbelanja yang melibatkan kehendak bukan keperluan sering menjadi penyebab utama pemborosan. Dengan mengenal pasti perbelanjaan yang tidak penting, kita dapat mengurangkan kos hidup dan dapat menyalurkan lebih banyak wang dalam simpanan. Perubahan kecil dalam tabiat harian, seperti menyediakan kopi sendiri daripada membelinya atau mengkaji semula langganan perkhidmatan yang jarang digunakan, boleh memberikan impak besar dalam jangka masa panjang.

  1. Tetapkan Bajet Bulanan yang Realistik

Setelah menganalisis perbelanjaan, tetapkan bajet bulanan yang realistik berdasarkan keperluan yang penting. Patuhilah bajet ini untuk mengelakkan pemborosan. Sebagai contoh, perbelanjaan makan dan minum adalah antara kos yang terbesar. Dengan menetapkan had perbelanjaan untuk makan di luar, seperti hanya membelanjakan RM20 sehari bagi tujuan tersebut, kita dapat mengurangkan beban kewangan bulanan. Bajet bukan hanya sekadar angka, tetapi merupakan kunci kepada kestabilan kewangan dan masa hadapan yang lebih cerah.

  1. Bina Dana Simpanan Kecemasan

Dana simpanan kecemasan ialah wang yang disimpan untuk menghadapi situasi tidak dijangka seperti kecemasan perubatan atau kerosakan peralatan. Menyediakan dana ini merupakan langkah penting untuk memastikan seseorang tidak terjebak dalam krisis kewangan apabila berlaku kecemasan. Mulakan dengan menyimpan sedikit setiap bulan, contohnya RM500. Walaupun jumlahnya kecil, jika disimpan secara konsisten, kaedah ini boleh berkembang menjadi dana yang cukup untuk menampung perbelanjaan selama beberapa bulan. Jika dana kecemasan mencukupi, kita akan lebih tenang menghadapi ketidakpastian kewangan.

  1. Hapuskan Hutang

Hutang merupakan penghalang utama untuk mencapai kebebasan kewangan. Hutang membuatkan kita terperangkap dalam kitaran hidup cukup-cukup makan kerana sebahagian besar gaji terpaksa digunakan untuk membayar hutang. Jika kita masih berhutang, usaha untuk melangsaikan hutang adalah suatu keutamaan. Gunakan kaedah bola salju, iaitu hutang dengan baki terendah diselesaikan terlebih dahulu. Setelah hutang kecil diselesaikan, kita akan lebih bermotivasi untuk melangsaikan hutang yang lain. Menghindari pengambilan hutang baharu juga amat penting. Hidup tanpa hutang adalah asas kebebasan kewangan yang sebenar.

Mengurus kewangan dengan bijak memerlukan perubahan cara berfikir dan tindakan yang konsisten. Dengan mengenal pasti perbelanjaan bulanan, menetapkan bajet yang realistik, membina dana simpanan kecemasan dan menghapuskan hutang, kita boleh keluar daripada kitaran hidup cukup-cukup makan. Pemahaman tentang kepentingan pengurusan kewangan yang baik, bersama-sama dengan disiplin, akan membawa kita ke arah masa depan kewangan yang lebih sejahtera. Ingatlah, setiap langkah yang diambil, walaupun kecil, akan membawa kita lebih dekat kepada kebebasan kewangan.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi