Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) akan mengeluarkan resit rasmi dengan format baharu sebagai bukti terimaan bayaran cukai yang dibuat secara manual di kaunter Pusat Pengurusan Terimaan Hasil Kuala Lumpur (PPTHKL) mulai 20 Januari tahun ini.
Keputusan ini berikutan pindaan Pekeliling Perbendaharaan (PP) PS 4.1: Garis Panduan Permohonan Borang Kewangan Kerajaan yang telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan pada bulan Oktober 2024.
Selaras dengan penggunaan e-Perkhidmatan secara mandatori bagi perkhidmatan yang telah disediakan oleh HASiL secara dalam talian mulai 1 Januari lalu, jenis bayaran cukai secara manual yang diterima di PPTHKL kini terhad kepada bayaran kompaun dan cukai pendapatan yang menggunakan kad debit atau kad kredit yang dikeluarkan di Malaysia.
Oleh itu, PPTHKL akan mengeluarkan Resit Rasmi Asal dan Salinan dalam format baharu kepada pembayar cukai bagi kedua-dua jenis terimaan bayaran di atas.
Bagi bayaran selain daripada yang tersenarai di atas, salinan resit rasmi juga boleh diperoleh menerusi portal MyTax melalui ‘Perkhidmatan ezHasil’ di ByrHASiL; portal perbankan internet bank komersial yang dilantik sebagai ejen kutipan HASiL; kaunter Pos Malaysia dan bank komersial yang dilantik sebagai ejen kutipan HASiL dan mesin deposit tunai bank yang dilantik sebagai ejen kutipan HASiL dan mesin juruwang automatik (ATM) bank yang dilantik sebagai ejen kutipan HASiL.
Pembayar cukai boleh mendapatkan maklumat lanjut berkenaan format resit baharu menerusi menu Panduan Pengguna ke FAQ Format Baharu Resit Rasmi LHDNM yang telah dimuat naik menerusi portal MyTax di https://mytax.hasil.gov.my.
Pada masa ini, salinan resit rasmi bagi bayaran Cukai Pendapatan dan Cukai Keuntungan Harta Tanah boleh didapatkan di bawah paparan e-Lejar, manakala salinan resit rasmi bagi Potongan Cukai Bulanan dan Cukai Pegangan pula boleh diperoleh di bawah paparan Penyata Bayaran.