Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Jualan Gudang Mega Tahun 2025 (JGMT 2025) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Pemasaran dan Pengedaran kembali lagi pada tahun ini dengan pelibatan 10 penerbit buku yang terkemuka di Malaysia, iaitu Ana Muslim, Rimbunan Ilmu, PTS, Galeri Ilmu, Patriot, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Manes, Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dan Iman Publications.
Orang ramai yang ingin mendapatkan pelbagai genre buku dan majalah dengan diskaun istimewa boleh mengunjungi Bahagian Pemasaran dan Pengedaran, DBP di Hulu Klang bermula 4 Februari hingga 11 Februari 2025. Operasi jualan bermula pada pukul 9.00 pagi hingga 7.00 malam setiap hari minggu. Manakala pada hujung minggu pula akan berakhir pada pukul 9.00 malam.
Yang menarik pada jualan kali ini, para pengunjung boleh menikmati diskaun sehingga 50 peratus untuk buku judul am. Para pengunjung boleh mendapatkan kadar diskaun ini dengan membuat bayaran secara tunai, kad kredit atau debit, pesanan kerajaan (LO), pindahan akaun atau QR Pay.
Selain itu, JGMT 2025 turut diadakan di empat lokasi lain khusus untuk jualan buku terbitan DBP sahaja, iaitu Anjung DBP, Kedai Buku DBP Cawangan Sabah, Kedai Buku DBP Cawangan Sarawak dan Kedai Buku DBP Wilayah Timur.
Program ini merupakan tapak yang baik bagi menyebarkan maklumat tentang aktiviti dan program penerbitan atau pembukuan bersama-sama penulis.
Antara objektif utama JGMT 2025 termasuklah bekerjasama dengan penerbit lain bagi menawarkan pelbagai kategori dan genre buku kepada pelanggan pada semua peringkat umur.