Diterbitkan pada 16 Januari 2025, 15:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kemiskinan bandar, khususnya di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR), kekal sebagai cabaran besar yang memerlukan perhatian serius. Kawasan ini sering dikaitkan dengan kadar kemiskinan yang tinggi, kekurangan kemudahan asas, serta pelbagai masalah sosial seperti pengangguran dan jenayah kecil. Untuk mengurangkan beban ini, kerajaan bersama-sama pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mengambil langkah proaktif melalui pelbagai inisiatif yang menyasarkan komuniti terkesan, berdasarkan data daripada laporan United Nations Children’s Fund (UNICEF) Malaysia (2024), Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar (JPKKB), serta Unit Komuniti, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pandemik COVID-19 memberikan kesan besar kepada kehidupan bandar seperti Kuala Lumpur, dengan kenaikan kos sara hidup memburukkan lagi keadaan. Menurut laporan UNICEF, 41% isi rumah di kawasan bandar kini hidup di bawah garis kemiskinan mutlak, dengan golongan wanita paling terkesan, mencatatkan kadar kemiskinan tertinggi sebanyak 59%. Keadaan ini lebih mencabar bagi komuniti PPR, yang majoritinya tergolong dalam golongan B40 dan berisiko jatuh dalam kategori miskin tegar akibat peningkatan kos sara hidup.

Bantuan kewangan merupakan langkah utama dalam meredakan tekanan kewangan komuniti miskin bandar. Sumbangan Tunai Rahmah (STR) adalah satu daripada inisiatif utama yang memberikan manfaat kepada 68% isi rumah di PPR. Namun begitu, terdapat kekurangan dalam mekanisme pengagihan yang menyebabkan sekitar 30% isi rumah berpendapatan di bawah RM2,000 tidak menerima bantuan ini, menunjukkan keperluan untuk menambah baik proses saringan penerima. Selain STR, zakat turut menjadi sokongan penting bagi 23% isi rumah di PPR, terutamanya semasa pandemik, yang membantu memenuhi jurang yang tidak dapat diisi oleh bantuan kerajaan.

JKM melalui Program Pembangunan Komuniti (PPK) juga memainkan peranan utama dalam mendekati komuniti PPR. Program ini, yang dimulakan semula pada tahun 2009 dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), mengutamakan pendampingan sosial menyaksikan pegawai kebajikan ditempatkan di kawasan PPR untuk menghubungkan penduduk dengan perkhidmatan sosial. Pendekatan ini membolehkan penduduk mendapat akses mudah kepada bantuan kewangan bulanan, kad orang kurang upaya (OKU) dan program intervensi sosial.

Untuk mengurangkan beban kos hidup, kerajaan juga memberikan subsidi kepada masyarakat miskin bandar, seperti subsidi minyak masak, ayam, telur dan elektrik. Sebagai contoh, Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) dan subsidi elektrik bernilai RM10.8 bilion memberikan manfaat kepada penduduk PPR. Walau bagaimanapun, ada kritikan bahawa subsidi ini lebih banyak memberikan manfaat kepada golongan berpendapatan tinggi. Program Jualan Rahmah, yang menawarkan barangan asas dengan potongan harga sehingga 30%, juga memberikan impak positif, tetapi isu logistik seperti lokasi yang tidak konsisten perlu diperbaik.

PPR terus menjadi platform dasar perumahan mampu milik di Malaysia, dengan kerajaan menyediakan flat kos rendah dan program bantuan sewa serta pemilikan rumah untuk generasi muda. Program latihan kemahiran dan peluang pekerjaan juga diperkenalkan untuk memperkukuh daya saing ekonomi penduduk. Walaupun kadar pekerjaan formal meningkat, hampir 40% pekerja di kawasan PPR masih tiada perlindungan sosial seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), menunjukkan perlunya pengembangan perlindungan sosial.

Program pendidikan seperti Kelas Tuisyen dan Tadika Sang Kancil oleh DBKL membantu anak-anak keluarga B40 mendapat akses kepada pendidikan berkualiti. Inisiatif seperti Program Baiti Jannati dan Sumbangan Food Basket juga membantu memenuhi keperluan asasi golongan miskin bandar. Aktiviti sosial seperti kem motivasi dan pertandingan turut menyumbang kepada perpaduan komuniti, manakala Program Menjana Ekonomi dan Usahawan Anak Muda Kota membuka peluang ekonomi bagi golongan muda.

Walaupun banyak pencapaian telah dicapai, pelaksanaan program ini menghadapi cabaran besar seperti kekurangan bajet dan tenaga kerja. Kekangan masa penduduk untuk menyertai program, serta stigma terhadap inisiatif kesihatan, juga menjadi halangan. Untuk mengatasi cabaran ini, PBT telah meningkatkan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan melibatkan sukarelawan dalam kalangan penduduk PPR untuk membantu promosi program.

Inisiatif ini memberikan harapan kepada komuniti miskin bandar, terutamanya di kawasan PPR. Kejayaan usaha ini bergantung pada sokongan berterusan daripada kerajaan, NGO, dan masyarakat itu sendiri. Walaupun perjalanan ke arah kesejahteraan sosial masih panjang, langkah yang diambil menunjukkan kemajuan yang ketara dalam memperbaik kehidupan komuniti miskin bandar.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi