Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan Sekarang
Penting untuk diingat bahawa pentaksiran TIMSS dilakukan setiap empat tahun.
Sosioekonomi merujuk kepada kajian atau analisis yang menilai hubungan antara aspek sosial dan ekonomi dalam masyarakat. Kajian ini digunakan untuk menggambarkan kedudukan seseorang atau kumpulan dalam masyarakat berdasarkan faktor seperti pendapatan, pendidikan, pekerjaan, dan status sosial. Kajian sosioekonomi melihat faktor-faktor ini saling berkaitan dan mempengaruhi kehidupan individu atau kelompok, serta kesan ketidaksamaan sosial dan ekonomi terhadap kesejahteraan mereka. Sebagai contoh, individu daripada latar belakang sosioekonomi rendah sering menghadapi cabaran dalam memperoleh pendidikan berkualiti atau pekerjaan yang stabil.
Pentaksiran Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) 2023 melaporkan kesan latar belakang sosioekonomi keluarga terhadap pencapaian murid tingkatan dua (gred 8). Dalam kajian ini, pengetua sekolah diminta untuk menyediakan maklumat mengenai latar belakang sosioekonomi keluarga murid, termasuk anggaran peratusan murid yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah dan tinggi. Keluarga berpendapatan rendah merujuk kepada mereka yang menghadapi cabaran kewangan, manakala keluarga berpendapatan tinggi pula merujuk kepada mereka yang mempunyai kestabilan kewangan yang lebih baik.
Terdapat empat kategori peratusan dalam dua perkara ini, iaitu 0-10%, 11-25%, 26-50%, dan lebih daripada 50%. Sekolah yang dikategorikan sebagai “lebih mampu” adalah yang mempunyai lebih 25% murid daripada keluarga berpendapatan tinggi dan kurang 25% daripada keluarga berpendapatan rendah. Sebaliknya, sekolah yang dikategorikan sebagai “lebih miskin” adalah yang mempunyai lebih 25% murid daripada keluarga berpendapatan rendah dan kurang 25% daripada keluarga berpendapatan tinggi. Kategori sekolah “tidak lebih mampu mahupun lebih miskin” merujuk kepada kombinasi respons yang lain.
Berdasarkan data pencapaian murid tingkatan dua (pada tahun 2023) dalam Matematik dan Sains, terdapat perbezaan ketara antara kategori sosioekonomi ini. Sekolah yang dikategorikan sebagai “lebih mampu” (9% murid) mencatatkan purata skor 462 dalam Matematik dan 471 dalam Sains. Sebaliknya, murid dari kategori “tidak lebih mampu mahupun lebih miskin” (22% murid) mencatatkan purata skor 438 dalam Matematik dan 453 dalam Sains. Murid dari kategori “lebih miskin” (69% murid) mencatatkan purata skor yang lebih rendah, iaitu 395 dalam Matematik dan 412 dalam Sains. Secara keseluruhannya, hasil ini menunjukkan bahawa pencapaian murid lebih baik apabila keluarga mereka berada dalam golongan sosioekonomi yang lebih tinggi. Sebaliknya, murid daripada keluarga miskin cenderung mencatatkan pencapaian yang lebih rendah.
Penting untuk diingat bahawa pentaksiran TIMSS dilakukan setiap empat tahun. Dalam kitaran tahun 2019, sebanyak 10% murid termasuk dalam kategori “lebih mampu”, 25% dalam kategori “tidak lebih mampu mahupun lebih miskin”, dan 65% dalam kategori “lebih miskin”. Terdapat penurunan dalam peratusan murid dalam kategori “lebih mampu” dan peningkatan dalam kategori “lebih miskin”. Data ini juga turut merangkumi murid yang terkesan dengan penularan pandemik COVID-19, iaitu mereka yang berada di tahun 5 pada tahun 2020 dan tahun 6 pada tahun 2021.
Selain itu, murid turut dinilai berdasarkan sumber pendidikan yang ada di rumah mereka. Penilaian ini mengkategorikan murid kepada tiga kumpulan berdasarkan skor sumber pendidikan rumah, iaitu “banyak sumber”, “beberapa sumber”, dan “sedikit sumber”. Murid yang memiliki “banyak sumber” (13% murid) mencatatkan skor purata 473 dalam Matematik dan 491 dalam Sains. Murid yang mempunyai “beberapa sumber” (55% murid) mencatatkan purata skor 415 dalam Matematik dan 432 dalam Sains, sementara murid yang mempunyai “sedikit sumber” (32% murid) mencatatkan skor purata 378 dalam Matematik dan 390 dalam Sains. Secara umum, murid yang mempunyai banyak sumber pendidikan di rumah menunjukkan pencapaian yang lebih baik dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut. Walaupun tidak secara langsung dilaporkan dalam laporan TIMSS, penulis berpendapat bahawa ketersediaan sumber pendidikan di rumah ini sangat dipengaruhi oleh latar belakang sosioekonomi keluarga.
Secara keseluruhannya, laporan TIMSS 2023 menunjukkan bahawa sosioekonomi keluarga dan ketersediaan sumber pembelajaran di rumah memainkan peranan penting dalam menentukan pencapaian murid dalam Matematik dan Sains. Kedua-dua mata pelajaran ini adalah penting untuk masa depan negara. Pandemik COVID-19 yang melanda dunia pada tahun 2020 hingga 2022 memberikan kesan yang signifikan terhadap keadaan sosioekonomi rakyat Malaysia dan secara langsung mempengaruhi pencapaian murid. Oleh itu, ekosistem sekolah termasuklah kurikulum, pedagogi dan pentaksiran, harus diperkukuh untuk membantu meningkatkan kualiti pembelajaran dan pencapaian murid, terutamanya bagi mereka yang berasal dari latar belakang sosioekonomi yang lebih rendah.
Profesor Madya Dr. Abdul Halim Abdullah ialah pensyarah di Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor.