2 Januari 2025, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tanggal 31 Ogos 1957 menjadi titik penting dalam sejarah negara apabila Malaysia mencapai kemerdekaan daripada penjajahan British. Perubahan ini turut mencorakkan arah ekonomi negara yang semakin beralih daripada bijih timah dan getah kepada kelapa sawit.

Kini, kelapa sawit telah menjadi industri agrikomoditi yang utama dan sangat penting bagi ekonomi negara serta rakyat Malaysia. Masyarakat luar bandar turut merasai kesan positifnya melalui peningkatan kemajuan dan kemudahan asas yang setaraf dengan kawasan bandar. Industri minyak sawit juga berperanan besar dalam mewujudkan kestabilan ekonomi dan sosial, serta memelihara keamanan negara.

Pada 9 Februari 2022, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) melancarkan Kempen “Minyak Sawit Malaysia Penuh Dengan Kebaikan” di Pavilion Malaysia bersempena dengan Ekspo Dubai 2020. Kempen ini bertujuan untuk mempertingkatkan imej dan kualiti minyak sawit Malaysia pada peringkat antarabangsa, sekali gus meningkatkan keyakinan dunia terhadap produk minyak sawit negara, termasuk produk kosmetik dan farmaseutikal berasaskan minyak sawit.

Kempen ini juga memainkan peranan penting dalam memperluas pasaran minyak sawit Malaysia, terutamanya di pasaran bukan tradisional. Malaysia terus berusaha untuk mencari pasaran baharu sebagai respons terhadap kempen antiminyak sawit oleh Kesatuan Eropah (EU) dan beberapa negara Barat, termasuk Amerika Syarikat. Negara Asia Barat seperti Arab Saudi, Iran, dan Turkiye, serta negara Asia Selatan seperti Pakistan, semakin menjadi tumpuan utama eksport minyak sawit Malaysia. Di samping itu, Malaysia juga berjaya mengukuhkan pasaran tradisional di India, Kesatuan Eropah, China, Turkiye dan Filipina.

Peningkatan permintaan terhadap minyak sawit Malaysia mencatatkan eksport sebanyak 1,299,654 tan pada Ogos tahun 2022, walaupun sedikit menurun berbanding dengan bulan sebelumnya. Eksport sepanjang tempoh bulan Januari hingga Ogos 2022 mencapai 9,806,295 tan, mencatatkan peningkatan berbanding dengan tahun 2021. Malaysia juga berjaya memperluas pasaran ke Afghanistan, Benin, Jerman, Guinea, dan Latvia yang menunjukkan peningkatan ketara dalam eksport. Promosi berterusan oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOC) turut berjaya meningkatkan eksport ke negara Asia Barat seperti Mesir, Oman dan Emiriah Arab Bersatu.

Walaupun berhadapan dengan diskriminasi daripada negara Barat, Malaysia tidak mengabaikan pasaran Eropah. Negara seperti Sepanyol, Sweden dan Jerman menunjukkan peningkatan eksport yang membanggakan. Eksport minyak sawit ke Sepanyol pada bulan Januari hingga Ogos 2022 meningkat dua kali ganda berbanding dengan tahun lalu. Begitu juga, negara Eropah yang baru mula mengimport minyak sawit Malaysia pada tahun 2022, menunjukkan tanda positif dalam hubungan perdagangan dengan Malaysia.

Namun begitu, industri kelapa sawit Malaysia juga berdepan cabaran, antaranya termasuklah serangan serangga perosak yang menyebabkan kerugian besar jika tidak dikawal. Kawalan serangga perosak menggunakan kaedah biologi dianggap lebih mesra alam dan berkesan berbanding dengan penggunaan bahan kimia.

Pekebun kecil memainkan peranan penting dalam industri ini, menguruskan hampir 27% daripada keseluruhan tanaman kelapa sawit di negara ini. Untuk meningkatkan produktiviti dan pendapatan pekebun kecil, kerajaan melalui KPPK dan MPOC menyediakan pelbagai program bantuan dan insentif. Antaranya termasuklah Skim Insentif Integrasi Tanaman dengan Sawit (ITa) dan Skim Pembiayaan Mudah Agro Bank, yang membolehkan pekebun kecil memperoleh pinjaman untuk membeli benih, baja dan peralatan pertanian.

Selain itu, kempen “Gerakan Global untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit” bertujuan untuk melindungi industri minyak sawit dan memastikan masa hadapan yang lebih cerah untuk pekebun kecil. Keupayaan Malaysia dalam mengimbangi keperluan ekonomi dan kelestarian alam sekitar menjadikan industri minyak sawit negara lebih mampan dan terus berkembang. Dengan segala usaha yang dilaksanakan, Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pengeluar utama minyak sawit dunia.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.