Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSering kali, masyarakat, baik jemaah setempat mahupun musafir, mengungkapkan keluhan mengenai isu-isu asas dalam pengurusan institusi masjid. Antara masalah yang kerap timbul adalah kebersihan tandas, kerosakan pintu, bau tidak sedap pada karpet, kipas berhabuk, siling bersawang, serta persekitaran yang tidak diurus dengan baik, termasuklah isu kebajikan jemaah. Selain itu, persoalan pengurusan kewangan dan kualiti urus tadbir masjid turut mendapat perhatian. Hal ini tidak lagi menyentuh perkara yang tidak boleh dikompromi, iaitu berkaitan dengan imam tidak hadir bertugas atau terlewat hadir ke masjid. Semua ini mencerminkan kegagalan dalam merancang dan mengurus institusi masjid dengan lebih teratur.
Walau bagaimanapun, penulis mengambil sikap cermat dalam membahaskan permasalahan ini. Hal ini demikian kerana asas pengkategorian institusi masjid seperti masjid negeri, masjid daerah, masjid kariah (bandar) dan masjid kariah (kampung), turut memberikan kesan kepada aspek tenaga kerja mahupun perjawatan termasuk hal pendanaan masjid. Sebahagian institusi masjid mempunyai pegawai atau imam bergaji sepenuh masa dan sebahagiannya hanya menerima elaun sahaja. Selain itu, terdapat institusi masjid yang mempunyai dana tetap daripada institusi agama negeri masing-masing di samping kutipan derma. Manakala sebahagian besar masjid hanya bergantung pada kutipan derma melalui tabung dan lain-lain.
Namun demikian, dalam menghadapi masalah ini, penulis berpendapat bahawa satu daripada punca utama adalah kegagalan jawatankuasa masjid dalam merangka perancangan strategik yang jelas dan berterusan. Terdapat masjid yang masih belum mampu membangunkan visi dan misi yang selaras dengan keperluan tempatan, serta perancangan yang kurang berstruktur. Di samping itu, kekurangan pengalaman dalam pengurusan masjid turut menjadi cabaran dalam mencapai pengurusan yang efektif.
Walaupun terdapat pelbagai cabaran, terdapat institusi masjid yang berjaya berkembang meskipun kekurangan dana dan halangan lain. Sebagai contoh, Masjid Tengku Ampuan Afzan Bandar Satelit (MTAABS) di Pahang yang dikategorikan oleh pengurusan agama negeri sebagai masjid kariah. Walaupun baru berusia lapan tahun, masjid ini telah meraih pelbagai pencapaian membanggakan, antaranya Anugerah Masjid Tiga Bintang dan pengiktirafan tandas bertaraf lima bintang. Kejayaan ini adalah hasil daripada pengurusan yang berfokus dan berdaya saing, yang merancang hala tuju masjid dengan jelas dan mengamalkan pengurusan kewangan yang baik.
Masjid Tengku Ampuan Afzan juga menunjukkan contoh pengurusan korporat dengan melaksanakan perancangan strategik yang jelas, merangkumi pelan jangka pendek, sederhana, dan panjang. Sebagai contoh, mereka telah menetapkan matlamat strategik, objektif, dan inisiatif yang mengarah kepada visi untuk menjadi pusat ibadah, ilmu, kebajikan, pendidikan dan ekonomi yang berdaya saing. Keupayaan masjid ini menangani cabaran seperti wabak COVID-19 dengan langkah pengurusan yang terancang juga patut diberi pujian.
Pencapaian ini berlandaskan Pelan Pembangunan 5 Tahun yang telah dirangka oleh pengurusan MTAABS. Pelan tersebut terdiri daripada Pelan Perancangan Strategik MTAABS 2018-2022 (Pelan Pertama) dan Pelan Perancangan Strategik MTAABS 2023-2027 (Pelan Kedua). Jika dilihat dengan lebih mendalam terhadap pelan semasa, iaitu Pelan Perancangan Strategik MTAABS 2023-2027, pengurusan MTAABS telah menetapkan: (i) Lima Matlamat Strategik, (ii) Lapan Objektif Strategik, (iii) 21 Inisiatif Strategik, dan (iv) Empat Nilai Teras Strategik. Semua ini dirancang untuk memperkukuh kedudukan MTAABS sebagai Pusat Sehenti Masyarakat yang merangkumi pusat ibadah, ilmu, kebajikan, pendidikan, ekonomi, kesukarelawanan; dan pusat Rehat dan Rawat. Semua perancangan ini bertujuan untuk mencapai Visi MTAABS yang telah digariskan oleh pengurusan, iaitu “Menjadi Sebuah Institusi Ibadah, Perkembangan Ilmu dan Pemerkasaan Sosiobudaya yang Holistik dalam Mengisi Proses Pemberdayaan Ummah.”
Dalam menghadapi cabaran semasa, adalah sangat penting bagi institusi masjid untuk mengutamakan perancangan strategik dan pengurusan yang berstruktur. Bukan sekadar memfokuskan kepada penganjuran aktiviti dan program, tetapi juga memastikan visi dan misi yang jelas, serta pelan tindakan yang mengambil kira keperluan semasa dan keadaan setempat. Pengurusan masjid di negeri dan daerah perlu memberikan perhatian serius terhadap perancangan hala tuju yang menyeluruh dan sentiasa peka terhadap perubahan dan risiko yang mungkin berlaku.
Secara keseluruhannya, untuk memastikan institusi masjid berkembang dengan baik, keupayaan pengurusan untuk merancang dan melaksanakan perancangan strategik adalah kunci utama. Keberkesanan ini akan menentukan sebuah masjid dapat menjadi pusat yang bukan sahaja memenuhi keperluan spiritual tetapi juga memberikan manfaat sosial dan ekonomi kepada masyarakat.
Penulis ialah mantan Pengerusi Masjid Tengku Ampuan Afzan Bandar Satelit Muadzam Shah, Pahang (tahun 2017-2024).