Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPulau Pinang – Malaysia dijangka mencapai status “negara tua” menjelang tahun 2030 apabila lebih daripada 15 peratus penduduknya berusia 60 tahun ke atas.
Demikian ucapan Profesor Dr. Saidatulakmal Mohd dalam syarahan umum bertajuk “Meniti Usia Emas: Kesejahteraan Ekonomi di Hari Tua”.
Beliau berkata, fenomena tersebut akan memberikan kesan besar kepada pelbagai aspek seperti sistem pencen, perumahan dan tenaga kerja negara.
Profesor Dr. Saidatulakmal turut mengupas beberapa cabaran utama yang dihadapi oleh warga emas, termasuklah kekurangan simpanan persaraan, ketidaksamaan pendapatan antara jantina dan kadar kemiskinan yang masih membimbangkan.

Menurut beliau, perubahan demografi seperti peningkatan jangka hayat dan penurunan kadar kesuburan telah menjadikan penuaan penduduk sebagai isu yang semakin mendesak.
Selain itu, beliau menyentuh tentang penyertaan tenaga kerja warga emas yang kian meningkat tetapi masih tertumpu kepada sektor tidak formal yang kurang perlindungan sosial.
Sebagai penyelesaian, beliau mencadangkan pelaksanaan sistem pencen universal yang bertujuan melindungi warga emas daripada kemiskinan.
Selain itu, program latihan semula yang komprehensif perlu diperkenalkan bagi memastikan golongan ini kekal relevan dalam pasaran kerja.
Beliau juga mengesyorkan pembentukan hab pintar Ekonomi Perak, inisiatif untuk memperkasakan pelibatan warga emas dalam aktiviti ekonomi dan sosial secara lebih bermakna.
Profesor Dr. Saidatulakmal turut menyeru kerajaan dan masyarakat untuk memberikan perhatian kepada isu kesaksamaan, khususnya dalam usaha mengurangkan jurang pendapatan antara lelaki dengan wanita warga emas.
Ujar beliau,
Kesejahteraan ekonomi warga emas merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan pendekatan inklusif dan inovatif.
Syarahan ini berlangsung pada 29 November 2024 di Dewan Pembangunan Siswa, Universiti Sains Malaysia (USM). Acara ini dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuklah pelajar, ahli akademik dan penggubal dasar.