Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBelanjawan 2025 merupakan belanjawan terakhir negara sebelum bermulanya era Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) bagi penggal 2026‒2030. Oleh itu, Belanjawan 2025 selayaknya menyediakan peruntukan yang lebih besar daripada tahun sebelumnya bagi memenuhi sasaran yang masih tergantung pada RMK-12.
Sebagai seorang tokoh yang pernah mempopularkan gaya dan penggunaan bahasa Melayu tersendiri semasa membentangkan belanjawan ketika bergelar Menteri Kewangan pada era 1990-an; keterujaan masyarakat untuk mendengar, menganalisis dan membicarakan Belanjawan 2025 kembali memuncak khususnya pada minggu sebelum dan selepas belanjawan dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Pejabat Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) sendiri hampir tidak menang tangan menerima panggilan dan undangan bagi menyampaikan pandangan dan telahan sebagai mewakili kaum peniaga dan juga orang Melayu umumnya. Begitulah kelazimannya walaupun adakala kami berasa rimas juga melayan soalan yang sama saban tahun, di samping tidak begitu pasti sama ada pandangan pertubuhan berusia 87 tahun ini masih diambil peduli oleh pihak yang bertanggungjawab merancang ekonomi negara.
Belanjawan 2025 sebenarnya menjadi ruang kepada kerajaan bagi membentangkan kad laporan kemajuan ekonomi nasional sekali gus mencadangkan penambahan atau pengurangan belanjawan untuk tahun mendatang. Masyarakat umum mungkin tidak sedar bahawa proses memohon peruntukan oleh kementerian, wakil rakyat, agensi pusat dan negeri, serta persendirian untuk belanjawan tahun hadapan akan bermula sebaik sahaja belanjawan yang baru dibentangkan diluluskan oleh Parlimen. Namun begitu, sayang sedikit apabila keghairahan masyarakat terhadap belanjawan tidak sama meriahnya dengan pengumuman dasar dan polisi ekonomi berjangka sederhana seperti RMK atau yang lebih berjangka panjang seperti Pelan Transforformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
Jika perancangan jangka sederhana negara memfokuskan pembinaan infrastruktur berimpak tinggi seperti jalan raya, hospital, sekolah, atau kemudahan Internet jalur lebar, perancangan jangka panjang pula bertujuan untuk menyusun pola kehidupan masyarakat agar menjadi lebih baik. Penyusunan itu dari aspek pendidikan, pekerjaan, pembukaan bandar sehinggalah kepada penerokaan ekonomi atau pekerjaan baharu agar lebih berdaya saing.
Sekiranya masyakat menyelusuri dasar ekonomi negara terdahulu, maka agak jelas dasar tersebut dilakar dan dilaksanakan sebagai satu gagasan agung pembinaan sebuah negara bangsa yang maju dan makmur. Sebagai contoh, Dasar Ekonomi Baru (DEB) memaksimumkan pelaburan komoditi yang diperlukan oleh dunia dengan membuka tanah baharu bagi penanaman getah dan kelapa sawit; manakala Wawasan 2020 pula meneroka industri pembuatan berteknologi tinggi, di samping membuka koridor ekonomi dengan kemudahan serba moden.
Dari aspek kemajuan orang Melayu pula, masyarakat yang sebelum ini tertumpu di kampung, bendang, pinggir sungai serta pesisiran pantai diajak meneroka penempatan baharu sekali gus mendesak pembukaan bandar, pembinaan rangkaian jalan raya, sekolah dan hospital. Anak peneroka digarap menjadi jurutera dan akauntan demi menyokong pelan jangka panjang seterusnya seperti menerajui perusahaan minyak dan gas, sektor automotif dan elektronik.
Namun demikian, gagasan agung ini agak menyedihkan apabila seakan-akan tergendala pasca-Wawasan 2020 dengan pelbagai cita-cita yang lebih mengikut telunjuk segelintir golongan terpilih berbanding dengan kehendak massa. Pada masa kini, graduan Melayu berbondong-bondong dilahirkan oleh universiti tempatan, tetapi tidak dapat mengisi pasaran pekerjaan yang diperlukan. Banyak graduan yang terpaksa menerima pekerjaan yang tidak mengikut kelayakan, atau menerima gaji yang tidak sepadan dengan kelulusan. Selain itu, ramai juga yang mengambil keputusan menceburi bidang perniagaan tanpa mempunyai ilmu perniagaan yang secukupnya mahupun amali.
Perkembangan dalam pasaran pekerjaan itu telah mewujudkan jurang pendapatan dan jurang kehidupan rakyat, dan dibiarkan melebar tahun demi tahun. Statistik rasmi negara memperlihatkan jurang sedalam dan selebar itu tidak mungkin dapat dirapatkan kembali tanpa ikhtiar dan azam yang radikal. Aspirasi MADANI dari sudut falsafah mampu menggalas misi ini, namun dari aspek pelaksanaan amat memerlukan kefahaman, semangat dan dukungan semua pihak, bukannya terletak atas pundak seorang Perdana Menteri semata-mata.
Kesimpulannya, setiap perencanaan, keputusan mahupun tindakan oleh kerajaan tanpa mengira iktikad politik masing-masing pasti memberikan kesan kepada semua. Kerugian yang bakal ditanggung bukan sahaja dalam aspek fiskal, tetapi sebenarnya lebih buruk lagi adalah apabila terputusnya generasi yang akan meneruskan misi agung membina negara bangsa, mencipta tamadun, memelihara warisan serta mengisi kemerdekaan yang masih remaja usianya berbanding dengan ratusan tahun hidup terhina di bawah telunjuk sang penjajah.
Meminjam bahasa ekonomi, defisit masa sebenarnya lebih kritikal berbanding dengan defisit kewangan. Oleh itu, usaha yang lebih bersepadu, teratur dan pantas perlu digembleng demi memulihkan semula keyakinan rakyat terhadap pentadbir dan penguasa, bermula dengan RMK-13.
