Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKalau belacan dengan mentega mana nak sama rasa
Jangan berangan, berangan kita sekarang zaman kerja
Itulah petikan lirik lagu kumpulan XPDC yang bertajuk “John Jenin” dalam album Kita Peng-Yu (1994). Jika kita teliti makna di sebaliknya, lagu ini jelas menyuarakan tuntutan agar individu atau masyarakat bekerja keras dalam zaman yang serba materialistik. Hal ini menggambarkan suasana sosioekonomi yang boleh diinterpretasikan sebagai realiti yang harus kita hadapi. Secara tidak langsung, lirik lagu ini menjadi sebuah cerminan kritikan terhadap masyarakat, khususnya dalam mengharungi cabaran ekonomi yang semakin mencabar.
Lagu-lagu XPDC sering kali mencerminkan isu sosial dan ekonomi, mengajak pendengar untuk merenung dan bertindak, meskipun disampaikan dengan irama yang rancak dan keras. Adunan muzik yang dinamik dan seni kata yang tajam menjadikan mesej yang ingin disampaikan mudah dan mencetuskan pemikiran yang lebih mendalam.
Sebagai sebuah kumpulan yang dikenali dengan gelaran “Metallica Malaysia”, XPDC tidak hanya terkenal dengan muzik metalnya, tetapi juga dengan lirik lagu yang penuh dengan sindiran dan kritikan terhadap keadaan sosial dan ekonomi masyarakat. Mereka menyampaikan mesej kesedaran melalui lagu seperti “Pelesit Mata Sebelah”, “Raja Kertas”, “Talam Dua Muka”, “Hairan bin Ajaib”, “Bahalol”, dan “Ulat dan Kulat”. Tidak ketinggalan, bekas vokalis XPDC, Syed Ismail (Mael) juga menghasilkan karya-karya yang tajam mengkritik fenomena sosioekonomi, antaranya dalam lagu “Hamba Abdi” dan “Cempedak Jadi Nangka”. Lagu-lagu ini terus menjadi siulan, bukan sahaja di corong radio, tetapi juga dalam aplikasi muzik digital, mewakili suara kritikal masyarakat terhadap isu-isu semasa.
Lirik lagu XPDC sering kali mengangkat tema seperti rasuah, penindasan golongan kaya terhadap golongan pekerja, kuasa yang disalahgunakan oleh golongan elit, serta perjuangan rakyat marhaen dalam mencari rezeki. Dalam lagu “Raja Kertas”, contohnya, J. S. Kevin dengan bijaksana mengkritik ketamakan terhadap wang, yang digambarkan sebagai “raja kertas”. Lirik ini menggambarkan duit, sebagai objek transaksi, menjadi pusat kehidupan yang mempengaruhi banyak aspek kehidupan manusia. “Raja kertas” ini, dengan sinis, memperingatkan pendengar bahawa sumber kewangan yang berlebihan boleh membebankan, sementara kekurangan wang pula boleh menyebabkan kesulitan. Lagu ini mencuit perhatian pendengar bahawa kuasa duit sering kali menguasai kehidupan individu, membuatkan mereka terpaksa melakukan apa-apa sahaja untuk mendapatkan wang demi kelangsungan hidup. Seperti yang digambarkan dalam lirik yang berikut:
Di sana-sini beri terima
Tangan ke tangan dan beralih tuan punya
Berubah-ubah nilai berbeza
Menjadi impian setiap penggunanya
Raja kertas
Selain itu, XPDC dengan berani menyuarakan kritikan terhadap pemberi dan penerima rasuah melalui lagu “Pelesit Mata Sebelah”. Izo dan J. S. Kevin, walaupun bukan golongan akademik, tetapi melalui gubahan seni mereka, telah mencipta sebuah karya yang tajam dan runcing, menentang jenayah kolar putih dan biru yang semakin membarah dalam masyarakat. Meskipun lagu ini kurang diputarkan di radio, namun tetap memainkan peranan penting dalam menyuarakan ketidakpuasan terhadap isu rasuah, seiring dengan dasar-dasar kerajaan yang berusaha menangani perkara tersebut.
Lagu “Pelesit Mata Sebelah” turut muncul pada waktu yang sama dengan wacana intelektual yang membahas soal rasuah, antaranya melalui karya Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi oleh Syed Hussein Alatas yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Ketika kebanyakan artis dan kumpulan muzik lain sibuk dengan lagu cinta yang mendayu-dayu, XPDC memilih untuk turun gelanggang dengan mesej yang lebih mendalam, mengingatkan pendengar tentang akar permasalahan ekonomi yang berpunca daripada rasuah. Lirik yang keras dan mengecam perihal rasuah itu disampaikan dengan penuh keberanian, seperti yang dinyanyikan dalam seni kata:
Berpelesit
Hisap darah manusia hingga kering
Tanpa belas kasihan
Gemuk perut
Buncit dengan rasuah di sana-sini
Engkau menutup mata
Lirik lagu XPDC menyampaikan pesanan yang sarat dengan kritikan sosial yang menjadi darah daging dalam kalangan masyarakat Melayu. Kiasan-kiasan halus seperti tumbuk rusuk, makan duit, makan suap, dan kena emas sering digunakan dalam budaya Melayu untuk menggambarkan perbuatan rasuah. Begitu juga dengan karya XPDC yang membawa mesej serupa tetapi dengan pendekatan yang lebih langsung dan berani.
Melalui muziknya yang berirama keras, XPDC menyalurkan kritikan sosial terhadap golongan kapitalis yang menindas pekerja, satu isu yang masih relevan hingga hari ini. Dalam lirik lagu “Hamba Abdi”, mereka mengutuk penindasan golongan kapitalis yang memerah tenaga pekerja tanpa membayar gaji yang setimpal. Keadaan ini masih boleh dilihat dalam kes yang melibatkan pemain bola sepak tempatan yang tidak dibayar gaji mereka, meskipun bola sepak Malaysia sudah melalui proses penswastaan. Situasi ini menggambarkan betapa keadilan dalam ekosistem ekonomi seringkali terpinggirkan, kerana individu yang bekerja seharusnya menerima bayaran yang wajar untuk setiap titik peluh yang dicurahkan. Kumpulan XPDC mengkritik golongan kapitalis ini melalui lirik yang berbunyi:
Lepaskan dari belenggu ini,
Simpati dariku tak terperi,
Tenaga digerak tanpa bayar gaji,
Bukan kuli, itu hamba abdi
Kumpulan XPDC turut menyentuh isu ketidakseimbangan ekonomi dalam lirik “Hairan bin Ajaib“, yang mengungkapkan realiti bahawa golongan yang kaya menjadi semakin kaya, sementara golongan yang miskin semakin miskin. Satu daripada baris dalam lagu ini berbunyi, “kita yang letih dia yang pakai mobil”, menggambarkan jurang kekayaan yang semakin melebar antara golongan elit dan golongan marhaen. Fenomena ini bukan sekadar retorik, tetapi realiti kapitalisme global yang menyaksikan kekayaan terkumpul di tangan segelintir individu, sementara majoriti terus tertindas. Joseph Stiglitz, seorang ahli ekonomi terkenal, telah mengupas perkara ini dalam bukunya The Price of Inequality, yang membincangkan ketidakadilan ekonomi yang berlaku di seluruh dunia. Begitu juga dengan XPDC, yang melalui lagu “Talam Dua Muka“ dalam album Timur Barat, menyuarakan tentang pengkhianatan dalam perlumbaan ekonomi:
Jangan pura-pura talam dua muka
Ke kiri ke kanan engkau sapu
Keringatku kau hirupkan
Sehingga aku kekeringan
Lagu “Hijau Bumi Tuhan” pula menyampaikan mesej tentang pentingnya kelestarian alam sekitar, menyeru umat manusia untuk menghargai dan menjaga khazanah alam semula jadi. Dengan petikan gitar dan paluan drum yang menyentuh jiwa, lagu ini mengajak kita untuk bersama-sama memelihara flora dan fauna yang merupakan anugerah Tuhan yang tiada tandingannya. Mesej ini juga mengingatkan pemaju dan pihak berkepentingan supaya tidak mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap alam sekitar demi mengejar keuntungan semata-mata.
Tiga dekad lalu, XPDC sudah menyuarakan tentang pentingnya pembangunan yang lestari, seiring dengan seruan ahli ekonomi seperti Jeffrey Sachs dalam bukunya The Age of Sustainable Development, yang menggesa dunia untuk memikirkan masa depan yang lebih hijau dan berkelanjutan.
Walaupun XPDC terus bertahan dalam arus muzik metal pada penghujung tahun 1990-an dan awal alaf baharu, mereka tetap setia dengan genre tersebut melalui lagu “Ulat dan Kulat” dalam album Samurai (1998). Lagu ini mengkritik golongan pengampu, sama ada dalam politik atau ekonomi industri. Hal ini memperlihatkan keadaan individu tertentu yang ingin dipuji dan ditaati tanpa pertimbangan rasional, terutamanya dalam sistem autokratik yang menyekat kebebasan. Meskipun muziknya keras, mesej yang disampaikan jelas dan tanpa hipokrasi, memperlihatkan budaya kerja yang tidak adil dalam masyarakat. Lagu ini juga menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap sistem yang menindas dan memperhambakan individu demi kepentingan golongan tertentu. Dalam konteks ini, XPDC tidak mengejar populariti dalam kalangan golongan elit, tetapi mereka berkarya untuk masyarakat, mengungkapkan kebenaran yang jarang didengari.
Kumpulan XPDC juga mengingatkan kita tentang keadaan sosioekonomi masyarakat marhaen melalui lirik “Bahalol“, yang menggambarkan kesulitan hidup yang dihadapi oleh golongan pekerja. Liriknya menyatakan bahawa:
Banyak susah cari makan
Semuanya ada halangan
Orang buncit makan daging
Yang kurus makan ikan masin
Karya-karya XPDC ini, meskipun bertemakan kritik sosial dan ekonomi, tetap relevan dan memberikan kesedaran kepada masyarakat. Mereka berjaya menggabungkan hiburan dengan mesej yang mendalam, menjadikan muzik bukan sekadar untuk hiburan semata-mata, tetapi juga sebagai medium pendidikan dan kesedaran. Sebagaimana peribahasa, sambil menyelam minum air, kumpulan XPDC membuktikan bahawa seni muzik juga dapat menjadi saluran untuk merenung dan mengkritik realiti kehidupan seharian. Maka, karya mereka yang penuh kritikan ini seharusnya mendapat perhatian serius, bukan hanya sebagai hiburan, tetapi juga sebagai bahan refleksi dalam wacana akademik dan sosial yang lebih luas pada masa depan.