Oleh RYAN SOFEA
29 Oktober 2024, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Selepas mendapat kelulusan daripada Pentadbiran Am Kastam China (GACC) pada 19 Jun yang lalu, satu lagi sejarah tercatat buat negara apabila buah durian segar pertama Malaysia telah dieksport ke China. Pengeksportan raja buah berkenaan diedarkan oleh 10 syarikat pengimport menerusi peruncit terpilih di enam buah wilayah, iaitu Beijing, Zhengzhou, Shanghai, Guanzhou, Shengzen dan Nanning. Penerimaan buah durian segar pertama ke China itu disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Mohamad Sabu bersama-sama Timbalan Gabenor Wilayah Henan, Sun Shougang dan Pengurus Besar Zhongyu Aviation Group, Liu Jianmin di Lapangan Terbang Kargo Zhengzhou.

Akses durian segar ini merupakan perkembangan positif yang akan menyumbang kepada peningkatan nilai eksport sektor durian ke China. Kejayaan ini juga mewujudkan peluang kepada usahawan durian tempatan untuk meningkatkan lagi jumlah pengeluaran bagi menerokai pasaran di China, seterusnya meningkatkan pendapatan mereka. Selain itu, bidang pertanian ini juga mempunyai harapan cerah untuk mengukuhkan ekonomi serta menjana pendapatan Malaysia. Perkara ini juga merupakan satu kejayaan bersejarah dalam menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dengan China. China merupakan pasaran eksport utama buah durian Malaysia dengan nilai eksport RM887 juta pada tahun 2022, tertinggi dalam sejarah pengeksportan durian ke negara itu.

Sebelum ini, Malaysia hanya mengeksport ke China buah durian sejuk beku yang diberikan akses pada tahun 2018, ulas durian sejuk beku dan pes durian yang diberikan akses pada tahun 2011. Di samping itu, produk agromakanan seperti kuih bulan, lempuk, kerepek, coklat, kopi, krep dan aiskrim berasaskan durian telah berada di pasaran China sejak dua dekad lalu dan mendapat sambutan yang menggalakkan. 20 tahun yang lalu, aiskrim potong durian adalah produk Malaysia paling popular di 300 buah kedai 7-Eleven di Beijing dan Qianjiang. Pada ketika itu, dalam masa dua minggu sahaja, kedai-kedai ini telah menjual sebanyak 80,000 aiskrim potong durian.

Berdasarkan maklum balas yang diterima, durian Malaysia sememangnya mendapat permintaan tinggi dan menjadi buruan rakyat China kerana kualitinya. Malah, rakyat China juga menganggap raja buah dari negara ini adalah yang terbaik di dunia. Jenis Musang King dan Duri Hitam cukup terkenal di negara tembok besar itu sehingga mampu mengatasi minat bagi durian Thailand, Vietnam mahupun Filipina. Duta China ke Malaysia, Bai Tian juga ialah seorang peminat durian Malaysia dan beliau juga menganggap durian negara kita adalah yang paling terbaik di dunia. Oleh sebab itu, raja buah ini mendapat sambutan luar biasa di China sejak lebih dua dekad yang lalu. Ketika ini, dianggarkan hanya satu peratus daripada 1.4 bilion penduduk China mempunyai peluang merasai durian dari Malaysia yang dikatakan sungguh unik dan mempunyai aroma yang wangi.

Justeru, keputusan kerajaan China membenarkan eksport buah durian segar Malaysia baru-baru ini telah membuka lembaran baharu kepada negara, walaupun perlu berhadapan dengan saingan hebat dari negara serantau. Saingan dalam pasaran China agak sengit kerana tiga negara, iaitu Thailand, Vietnam dan Filipina sudah bertapak di negara itu. Ketika ini, Thailand yang telah bertapak di sana sejak tahun 2004 mendominasi pasaran durian segar, diikuti dengan Vietnam dan Filipina yang masing-masing telah bertapak di China pada tahun 2012 dan 2023. Bagi tahun 2024, walaupun terdapat penurunan dari segi permintaan, Thailand dijangka mengeksport 800,000 tan durian ke China manakala Vietnam 500,000 tan. Buat permulaan, Malaysia menyasarkan untuk mengeksport 30,000 tan durian segar setahun, hasil daripada kira-kira 400,000 tan durian setahun yang dihasilkan.

Jumlah kecil eksport durian terbabit tidak menjadi penghalang kerana Malaysia sememangnya mempelopori segmen durian premium dari segi kualiti rasa, warna dan isi yang menarik berbanding dengan negara lain. Kualiti durian Malaysia khususnya Musang King dan Duri Hitam sememangnya tiada tandingan. Justeru, tidak hairan harga durian Musang King mececah lebih tiga kali ganda berbanding dengan durian dari Thailand dan Vietnam. Sekitar 30 buah syarikat tempatan bakal terbabit dalam eksport durian segar ke China manakala 20 lagi pemain baharu dijangka muncul dan akan melonjakkan nilai eksport durian ke negara itu.

Peluang mengeksport dan menembusi pasaran China ini perlu direbut dan dimanfaat sebaiknya kerana negara China antara pasaran terbesar di dunia. Istilah ‘musim durian’ mungkin tidak relevan lagi pada masa akan datang kerana setiap pemain industri kini giat mencari jalan bagi memastikan kesegaran Musang King dan Duri Hitam boleh diperoleh pada setiap masa dan bukan pada musim tertentu saja. Perkara ini bagi memastikan penawaran ‘Raja Buah’ ini sentiasa ada bagi memenuhi permintaan.

Selain buah durian, pemain dalam industri juga perlu lebih kreatif dalam mempelbagaikan produk berasaskan durian seperti aiskrim, coklat dan kek untuk memenuhi permintaan luar biasa dari negara China. Penangan ‘Raja Buah’ negara tidak terhenti di situ sahaja. Perbincangan secara intensif dengan syarikat di China termasuk Menteri Pentadbiran Am Kastam China (GACC) yang mengendalikan hal import eksport bagi China sedang dijalankan bagi mengeksport durian kampung ke pasaran negara itu pula.

Durian kampung mempunyai potensi besar untuk dibekalkan ke China, mengambil kira permintaan rakyat di sana yang begitu menggalakkan. Oleh itu, pengusaha durian tempatan disarankan untuk memulakan penanaman buah berkenaan dalam skala besar bagi membolehkan dipasarkan ke China antara lima hingga enam tahun lagi. Bagi merealisasikan usaha murni ini, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan mengadakan perbincangan dengan pengusaha buah durian di kampung bagi membantu mereka memudah cara mengeksport durian segar ke China apabila telah diluluskan nanti. Perkara ini bagi membolehkan pengusaha durian kampung kecil-kecilan turut sama menikmati hasil pulangan eksport.

Pertumbuhan dan permintaan eksport terhadap durian dan juga produk rantaiannya membuktikan bahawa ‘Raja Buah’ negara terus diiktiraf dan mampu menjadi penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.  Durian kini telah diletakkan sebagai satu daripada industri di bawah sumber kekayaan baharu disebabkan oleh aktiviti pengeksportannya merupakan perniagaan yang bernilai tinggi. Bayangkan di Malaysia, Musang King dijual pada harga mencecah RM120 sekilogram. Jika di Hong Kong, durian itu dijual sebanyak RM700 sekilogram dan berkemungkinan di China boleh dijual sebanyak RM900 sekilogram, lebih dua kali ganda harga di Malaysia. Dianggarkan nilaian kepada eksport negara mampu mencecah kira-kira RM500 juta untuk setahun.

Meninjau prestasi eksport durian negara dalam tempoh lima tahun dari tahun 2018 hingga 2022 adalah sangat menggalakkan dengan nilai eksport durian ke luar negara berkembang sebanyak 256.3 peratus atau meningkat sebanyak RM822.8 juta. Pada tahun 2022, eksport durian Malaysia ke seluruh dunia mencatat nilai sebanyak RM1.14 bilion, iaitu nilai tertinggi dalam sejarah hingga kini.

Secara keseluruhan, durian adalah penyumbang utama (58.6 peratus) kepada nilai eksport buah-buahan negara pada tahun 2022 daripada keseluruhan nilai eksport buah-buahan bernilai RM2.01 bilion. Nilai eksport durian diunjur terus meningkat kepada RM1.8 bilion pada tahun 2030. Antara negara yang mengimport produk durian Malaysia selain dari China ialah Singapura, Hong Kong, Taiwan, Macau, Korea dan Australia. Secara global, tahun lalu, sebanyak RM1.3 bilion produk durian sejuk beku dihantar ke luar negara dengan China sahaja mengimport lebih 90 peratus, sekali gus menjadi pasaran fokus ketika ini. Eksport durian sejuk beku mencatatkan jumlah nilai RM400 (2020), RM806 juta (2021), RM887 juta (2022) dan RM1.19 bilion (2023).

Populariti ‘Raja Buah’ sememangnya tidak dapat dinafikan. Permintaan terhadapnya semakin meningkat dan mendapat perhatian daripada penduduk global.  Selepas China, pasaran Asia Barat dilihat menjadi sasaran seterusnya untuk Malaysia mengeksport durian segar. Dengan Malaysia ketika ini mempunyai lebih 200 varieti durian, perkara ini merupakan potensi yang sangat besar. Eksport durian Malaysia baru bermula. Ayuh, pemain industri, ambil peluang ini, lebarkan sayap buah istimewa ini ke serata dunia!

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.