Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSejak beberapa dekad yang lalu, Malaysia telah melonjak ke hadapan dari segi kepesatan teknologi, menjadi sebuah masyarakat yang semakin terhubung secara digital. Evolusi pesat era digital ini didorong oleh pertumbuhan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang pesat. Sejak kewujudan Internet di Malaysia pada tahun 1995, perniagaan, perkhidmatan dan individu sangat bergantung pada sambungan jalur lebar. Dalam era Revolusi Perindustrian Keempat, perniagaan di Malaysia mengadaptasi teknologi baharu seperti data besar, kesalinghubungan mudah alih, media sosial, kecerdasan buatan (AI) dan Internet of Things (IoT) untuk kekal relevan.
Walaupun kemajuan teknologi ini membuka peluang besar untuk pertumbuhan ekonomi dan peningkatan taraf hidup, hal ini juga membawa risiko yang signifikan, iaitu ancaman keselamatan siber. Apabila masyarakat kita menjadi semakin saling berkait, kerentanan terhadap serangan siber turut meningkat. Hal ini amat jelas dalam kalangan generasi milenium yang telah menyepadukan teknologi dalam kehidupan harian mereka.
Jenayah siber telah meningkat secara berterusan di seluruh dunia, dan Malaysia tidak terkecuali. Memandangkan banyak orang menghabiskan masa secara dalam talian untuk bekerja, belajar dan berinteraksi, penjenayah siber telah mengambil kesempatan untuk menjalankan aktiviti penipuan. Penyelidikan semasa pandemik COVID-19, sebagai contoh, menunjukkan peningkatan mendadak dalam serangan siber, dengan banyak orang menjadi mangsa penipuan akibat peningkatan penggunaan Internet. Penipuan pembelian secara dalam talian, gangguan siber dan ucapan kebencian telah menjadi bentuk jenayah siber yang lazim di Malaysia.
Skala isu ini sangat membimbangkan. Kerugian akibat jenayah siber pada peringkat global tahun 2021 dianggarkan mencecah USD6 trilion, dan semasa kemuncak pandemik COVID-19, jenayah siber meningkat sebanyak 600%. Pandemik ini bukan sahaja meningkatkan kebergantungan pada Internet tetapi turut membuka jalan baharu bagi serangan siber, termasuklah penipuan berkaitan dengan COVID-19. Sebagai contoh, di Malaysia, penipuan “Macau Scam” telah menyebabkan kerugian RM85 juta pada tahun 2020 yang menyaksikan penipu menyamar sebagai pegawai polis untuk memperdaya mangsa memindahkan wang.
Memandangkan kekerapan dan kecanggihan serangan siber terus meningkat, jelas bahawa Malaysia berhadapan dengan cabaran keselamatan siber yang serius. Cybersecurity Malaysia, badan kebangsaan yang ditugaskan untuk menyelia usaha keselamatan siber, melaporkan peningkatan ketara dalam ancaman siber antara tahun 2020 dan 2022. Ancaman ini meliputi penipuan dalam talian, pelanggaran data, dan pengintipan siber. Walaupun kerajaan telah berusaha menambah baik keselamatan siber, insiden penipuan, perisian tebusan dan serangan pancingan data terus berlaku.
Satu daripada isu utama ialah kekurangan tenaga kerja yang berkemahiran untuk memerangi ancaman siber yang semakin canggih. Jurang kemahiran ini merupakan kebimbangan kritikal, memandangkan serangan siber semakin kompleks dan meluas. Lebih-lebih lagi, faktor manusia kekal sebagai satu daripada pautan paling lemah dalam keselamatan siber. Serangan pancingan data, sebagai contoh, sering mengeksploitasi kekurangan kesedaran pekerja, yang akhirnya membawa kepada pelanggaran keselamatan yang mahal.
Kesedaran keselamatan siber merupakan elemen asas dalam pencegahan serangan siber. Namun begitu, walaupun pelbagai inisiatif daripada kerajaan dan sektor swasta, rakyat Malaysia masih tidak menyedari risiko yang berkaitan dengan ancaman siber. Laporan daripada Pusat Bantuan Cyber999 Cybersecurity Malaysia menunjukkan bahawa penipuan, pencerobohan, dan aktiviti berniat jahat kekal sebagai insiden keselamatan siber yang paling kerap dilaporkan.
Untuk menangani masalah ini, kerajaan telah memperkenalkan beberapa inisiatif untuk meningkatkan kesedaran keselamatan siber termasuklah perkhidmatan nasihat secara berkala, kempen pendidikan dan kerjasama dengan organisasi awam serta swasta. Usaha ini bertujuan untuk melengkapkan rakyat dengan pengetahuan dan alat yang diperlukan untuk melindungi diri daripada ancaman siber. Walau bagaimanapun, cabarannya masih wujud dan banyak individu, khususnya kelompok milenium masih memandang rendah keseriusan risiko siber.
Generasi milenium, yang lahir antara tahun 1981 hingga 1996, merupakan generasi celik teknologi yang membesar dengan teknologi digital. Mereka menggunakan teknologi dalam hampir setiap aspek dalam kehidupan mereka, meliputi telefon bimbit hingga komputer riba dan tablet. Sebagai akibatnya, mereka sangat bergantung pada Internet dan peranti digital untuk berkomunikasi, bekerja dan bersosial. Namun begitu, pergantungan ini juga menjadikan mereka sasaran utama bagi serangan siber.
Walaupun celik teknologi, generasi milenium tidak kebal terhadap risiko keselamatan siber. Kajian menunjukkan bahawa mereka cenderung untuk memandang ringan terhadap ancaman keselamatan siber yang tertentu. Sebagai contoh, milenium sering membenarkan kuki penyemak imbas web, satu potensi kelemahan pada peranti yang digunakan untuk bekerja. Selain itu, walaupun kebanyakan generasi milenium berasa cukup bersedia untuk berhadapan dengan ancaman keselamatan siber, kurang daripada separuh yakin dengan keupayaan mereka untuk mengenal pasti percubaan pancingan data, mengelakkan perisian tebusan, atau menyulitkan data mereka.
Statistik ini menunjukkan jurang yang ketara terhadap kesedaran keselamatan siber dalam kalangan milenium. Walaupun mereka dibesarkan dalam dunia yang didorong oleh kepesatan teknologi, keselesaan mereka dengan platform digital mungkin menyebabkan mereka kurang berhati-hati terhadap potensi risiko siber. Sikap lalai ini boleh membawa kepada akibat yang serius, bukan sahaja bagi individu tetapi juga bagi perniagaan dan organisasi yang bergantung pada milenium sebagai pekerja atau pengguna.
Menangani Jurang Kesedaran Siber
Kesedaran siber merujuk kepada amalan menyedari dan melibatkan diri dalam tingkah laku yang menggalakkan keselamatan siber. Perkara ini termasuklah menggunakan kata laluan yang kukuh, mengemas kini perisian secara berkala, mengelakkan penipuan pancingan data, dan menyulitkan data sensitif. Malangnya, terdapat jurang yang ketara terhadap amalan kesedaran siber dalam kalangan milenium. Jurang ini sebahagiannya berpunca daripada kekurangan kesedaran dan pendidikan mengenai risiko yang berkaitan dengan ancaman siber.
Untuk merapatkan jurang ini, program kesedaran keselamatan siber mesti disesuaikan khusus untuk generasi milenium. Kerajaan, dengan kerjasama pihak berkepentingan industri telah memperkenalkan beberapa inisiatif untuk meningkatkan pendidikan dan latihan keselamatan siber. Hal ini termasuk Skim Pendidikan Keselamatan Siber Bertauliah Global (ACE) yang bertujuan untuk melahirkan tenaga kerja mahir dan program CyberGuru yang menyediakan latihan teknikal kepada pengamal keselamatan siber.
Program pendidikan dan latihan harus bermula dari awal, dengan keselamatan siber dimasukkan dalam kurikulum sekolah bermula pada peringkat rendah, menengah dan pendidikan tinggi. Dengan mendidik golongan muda tentang kepentingan keselamatan siber sejak awal, kita boleh mewujudkan generasi yang lebih berdaya tahan terhadap ancaman siber.
Kerajaan Malaysia telah mengiktiraf kepentingan meningkatkan kapasiti dan keupayaan keselamatan siber. Strategi Keselamatan Siber Malaysia 2020-2024 menggariskan pelan komprehensif untuk mengukuhkan infrastruktur keselamatan siber negara. Hal ini termasuk meningkatkan tadbir urus keselamatan siber, membangunkan profesional mahir, dan mempromosikan kesedaran keselamatan siber melalui kerjasama merentas sektor.
Satu daripada tonggak utama strategi ini ialah pembinaan kapasiti yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan profesional keselamatan siber. Selain itu, strategi ini menekankan kepentingan pendidikan dan kesedaran awam, terutamanya dalam kalangan milenium yang berada di barisan hadapan dalam penggunaan teknologi digital.
Untuk membina masyarakat yang berdaya tahan siber, semua lapisan masyarakat, daripada kerajaan hingga pengguna individu, mesti memahami risiko yang berkaitan dengan ancaman siber dan mengambil langkah proaktif untuk mengurangkannya. Perkara ini melibatkan bukan sahaja penggunaan teknologi keselamatan siber terkini tetapi juga usaha memupuk budaya kesedaran siber dan pemikiran keusahawanan.
Ketika Malaysia terus menuju era digital, keperluan untuk langkah keselamatan siber yang kukuh semakin mendesak. Kelompoki milenium, sebagai generasi asli digital amat terdedah kepada ancaman siber walaupun mereka celik teknologi. Untuk mengatasi masalah ini, kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta sangat penting dalam mempromosikan kesedaran dan pendidikan keselamatan siber terutamanya dalam kalangan kumpulan demografi ini. Dengan pendidikan dan minda yang tepat, Malaysia boleh mewujudkan ruang siber yang selamat dan berdaya tahan, menyokong pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyatnya.