Diterbitkan pada 2 Oktober 2024, 14:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kajian terkini oleh Remote, sebuah syarikat perkhidmatan sumber manusia global mengenai keseimbangan kerja dan kehidupan mendedahkan bahawa Malaysia berada pada kedudukan ke-59 dalam kalangan 60 buah negara dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tertinggi di dunia. Malaysia memperoleh skor 27.51 daripada 100 markah, menjadikan kita negara kedua terburuk dalam indeks selepas Nigeria.

Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti negara dengan keseimbangan kehidupan dan kerja terbaik dengan menganalisis beberapa faktor berkaitan dengan tempat kerja seperti bilangan hari cuti tahunan, bayaran sakit minimum, bilangan hari cuti bersalin, gaji minimum, penjagaan kesihatan dan purata waktu bekerja mingguan.

Menurut hasil kajian, rakyat Malaysia didapati bekerja keras daripada sepatutnya dan mempunyai sedikit atau tiada masa untuk berehat serta memulihkan tenaga daripada hari yang panjang selain tekanan di tempat kerja. Berdasarkan analisis data kajian, Malaysia mencatatkan purata kerja mingguan 40.8 jam berserta gaji minimum kira-kira RM5.04 sejam.

Hasil kajian ini telah membuka mata banyak pihak betapa pentingnya keseimbangan kerja dan kehidupan untuk mencapai kesejahteraan dan kejayaan jangka panjang bukan sahaja kepada individu, bahkan kepada organisasi yang menggaji pekerja tersebut.

Keseimbangan kerja dan kehidupan boleh ditakrifkan sebagai mencari keseimbangan yang baik antara kedua-duanya supaya seseorang itu mempunyai masa yang mencukupi dan tidak berasa tertekan. Hal ini merujuk kepada rasa harmoni yang dialami seseorang antara kehidupan di tempat kerja dan di rumah, tanpa menimbulkan sebarang konflik.

Dalam dunia yang serba pantas ini, mencari keseimbangan antara kehidupan dan kerja menjadi semakin mencabar. Memahami bahawa mencapai keseimbangan kehidupan dan kerja yang sihat adalah penting bukan sekadar mencari kemewahan tetapi satu keperluan untuk kesejahteraan keseluruhan seseorang itu.

Yang berikut ialah kepentingan untuk mengamalkan keseimbangan kerja dan kehidupan yang sihat:

Kesejahteraan mental dan emosi. Bayangkan apabila seseorang pekerja itu sentiasa bergelut dengan tanggungjawab kerja tanpa mempunyai masa untuk berehat atau memenuhi tuntutan hal peribadi. Dari masa ke masa, situasi seperti ini boleh menyebabkan tekanan yang melampau dan juga keletihan.

Satu daripada keperluan keseimbangan kehidupan dan kerja adalah untuk memberi seseorang itu peluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang menenangkan minda dan jiwa serta memberikan kepuasan. Sama ada meluangkan masa berkualiti bersama-sama orang tersayang, melakukan hobi dan riadah atau sekadar mengambil masa untuk diri sendiri, detik-detik ‘rehat dan rawat’ ini menyuburkan minda dan jiwa seseorang, sekali gus dapat melegakan tekanan kerja dan keletihan bekerja. Sebagai hasilnya, seseorang pekerja itu akan menjadi lebih berdaya tahan dalam menyelesaikan tugasan dan bersedia untuk menangani cabaran yang mendatang di tempat kerja.

Harus diingat, banyak pekerja sedang bergelut dengan masalah kesihatan mental di tempat kerja. Masalah kesihatan mental boleh mempengaruhi tingkah laku pekerja seperti prestasi kerja yang lemah, bersikap sambil lewa dan ponteng kerja. Isu kesihatan mental di tempat kerja seharusnya tidak dipandang ringan oleh mana-mana organisasi. Organisasi perlu menyediakan pelan yang berkesan untuk menanganinya. Jika gagal, perkara ini akan merugikan organisasi kerana masalah kesihatan mental di tempat kerja ibarat pembunuh senyap kepada tenaga kerja berkualiti dan produktiviti organisasi.

Hubungan sosial. Apabila seseorang pekerja mengutamakan kerja daripada segala-galanya, hubungan peribadinya juga boleh terjejas. Mengabaikan orang yang disayangi boleh menyebabkan perasaan kesunyian dan berasa terasing. Sebaliknya, jadual kehidupan dan kerja yang seimbang membolehkan seseorang pekerja melaburkan masa dan tenaga untuk membina dan mengekalkan hubungan sosial yang kukuh. Memupuk keseimbangan kerja dan hubungan dengan rakan sekerja, keluarga dan kawan-kawan menyediakan sistem sokongan sewaktu ‘detik-detik’ sukar dan membawa kegembiraan, keseronokan, kebahagiaan dan rasa kekitaan dalam kehidupan seseorang.

Lantaran itu, amat perlu untuk organisasi menyediakan persekitaran kerja yang dapat mewujudkan suasana gembira, seronok dan bahagia dalam kalangan pekerja. Hal ini sejajar dengan perubahan dunia pekerjaan yang menuntut pekerja memperuntukkan masa bekerja yang lebih panjang, sekali gus mengurangkan masa untuk aktiviti sosial. Keadaan ini mewujudkan keperluan untuk pekerja memenuhi keinginan mereka kepada aktiviti sosial di dalam persekitaran tempat mereka bekerja. Persekitaran yang mesra dan harmoni dalam kalangan rakan sekerja dapat menggalakkan seseorang pekerja untuk lebih bersemangat dalam melakukan kerja-kerja seharian di pejabat. Keadaan ini sudah tentu menyumbang ke arah peningkatan motivasi dan prestasi kerja.

Peningkatan produktiviti dan kreativiti. Bekerja untuk tempoh yang terlalu lama dan mengorbankan masa peribadi tidak semestinya menjadikan seseorang pekerja itu lebih produktif. Hal ini demikian kerana terlalu banyak bekerja boleh menyebabkan penurunan fokus dan kreativiti yang akhirnya menghalang prestasi kerja. Dengan membenarkan diri untuk berehat, pekerja akan kembali dengan tenaga dan inspirasi yang lebih baik. Melibatkan diri dalam hobi dan aktiviti riadah dapat merangsang minda, memupuk kreativiti dan kemahiran menyelesaikan masalah. Kesan positif ini berupaya menghasilkan kecekapan dan keberkesanan kerja yang lebih baik.

Selain itu, kajian menunjukkan waktu tengah hari merupakan masa yang paling sesuai untuk tidur sekejap. Sistem pekerjaan yang memperuntukkan rehat pada waktu tengah hari perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk tidur sejenak selain daripada makan tengah hari. Atas kesedaran tentang berehat pada waktu tengah hari, organisasi seharusnya mengelakkan sebarang mesyuarat atau memberikan tugas kepada pekerja sehingga mengganggu waktu rehat mereka.

Peningkatan kepuasan kerja.  Alam pekerjaan memiliki fenomena ‘pasang surut’ tersendiri yang hanya mampu difahami oleh pekerja di sesebuah organisasi. Ada pekerja yang berasa tidak puas bekerja di organisasinya kerana berpendapat tuntutan dan tanggungjawab kerja terlalu mencuri masa walaupun gaji yang diterima tinggi. Bayangkan bekerja hari demi hari tanpa mempunyai peluang untuk berehat atau mengejar kepentingan peribadi. Tidak hairanlah sekiranya hal ini membawa kepada ketidakpuasan kerja dalam pekerjaan.

Sebaliknya, keseimbangan kerja dan kehidupan yang baik membawa kepada peningkatan kepuasan kerja. Apabila seseorang pekerja itu mempunyai masa untuk diri sendiri, dia akan rasa lebih dihargai dan berkemungkinan untuk kekal bermotivasi serta mencapai rasa kepuasan yang lebih besar. Motivasi kerja bukan sahaja memberikan manfaat kepada pekerja malah turut menyumbang kepada persekitaran kerja yang lebih harmoni dan produktif. Justeru, organisasi perlu mengatur strategi untuk mengekalkan kepuasan pekerja di organisasi yang bukan sahaja menerusi peningkatan gaji, bahkan faedah bukan monetari lain yang dirasakan penting bagi pekerja, termasuklah menghargai dan mengiktiraf usaha pekerja, memberikan motivasi serta menambah baik kepimpinan organisasi.

Tuntasnya, keseimbangan kerja dan kehidupan yang sihat adalah satu daripada faktor penting yang mempengaruhi kebahagiaan keseluruhan, pertumbuhan peribadi dan kejayaan jangka panjang seseorang. Mencari keseimbangan ini memerlukan usaha, tetapi ganjaran yang bakal diperoleh adalah sangat besar. Dengan melaksanakan teknik untuk mengimbangi komitmen kerja dan keperluan kehidupan, seseorang pekerja akan menjadi lebih gembira, seronok dan bahagia, di samping lebih bersedia dan berdaya tahan untuk mengharungi cabaran kerja dan kehidupan dengan lebih harmoni. Oleh itu, berundur sejenak; dan hargai nilai dan kesejahteraan diri anda.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi