Diterbitkan pada 23 September 2024, 16:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pada hakikatnya, memiliki kenderaan merupakan satu keperluan dan bukanlah sesuatu yang luar biasa jika pertambahan bilangan penduduk dalam konteks negara ini turut diiringi dengan peningkatan bilangan kenderaan. Kenyataan ini disokong oleh dapatan empirikal bahawa pertambahan penduduk telah memberikan kesan positif terhadap pertambahan pemilikan kenderaan (kajian Ritter dan Vance, 2013). Menurut  data yang dikeluarkan oleh Organisasi Antarabangsa Pengeluar Kenderaan Bermotor (OICA), rakyat Malaysia mencatat pemilikan kenderaan kedua tertinggi di Asia dari tahun 2015 – 2020, iaitu berdasarkan pemilikan kereta bagi setiap seribu penduduk, termasuk kenderaan penumpang dan komersil.

Mutakhir ini, jumlah kenderaan berdaftar di Malaysia telah menunjukkan peningkatan yang luar biasa, iaitu sebanyak 36.6 juta pada tahun lalu. Hal ini bermaksud jumlah kenderaan di negara ini telah melebihi populasi negara yang dianggarkan berjumlah 34 juta orang. Dalam situasi ini, peningkatan bilangan kenderaan berdaftar yang direkodkan antara tahun 2019 hingga 2023 di negara ini telah ‘melonjak’ sebanyak lima juta.

Tahun 2023 juga telah menyaksikan jualan kenderaan bermotor baharu di negara ini meningkat sebanyak 11 peratus, sekali gus mencapai paras tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah industri automotif negara. Menurut laporan Persatuan Automotif Malaysia (MAA), peningkatan ini berlaku terutamanya oleh subsegmen kereta penumpang dengan pendaftaran kenderaan meningkat kepada 799,731 unit, mengatasi rekod sebelumnya sebanyak 721,177 unit pada tahun 2022. Laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia (2023) menunjukkan pertambahan pendaftaran kenderaan baharu ini telah menyumbang kepada  peningkatan jumlah trafik sebanyak 15.8 peratus.

Trend pertambahan jumlah kenderaan persendirian di jalan raya berupaya meningkatkan risiko kemalangan di negara ini. Pakar keselamatan jalan raya berpandangan untuk mengurangkan risiko kemalangan di jalan raya, maka jumlah kenderaan persendirian di Malaysia perlu dikurangkan. Hal ini sejajar dengan laporan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman sewaktu negara berada dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020, sebanyak 418,237 kes kemalangan dilaporkan, iaitu penurunan sebanyak 149,279 (26.3 peratus) berbanding dengan 567,516 kes pada tahun 2019.

Menteri Pengangkutan (MoT), YB Anthony Loke dalam jawapan bertulis di Parlimen melaporkan, kemalangan jalan raya telah menyebabkan negara menanggung kerugian lebih RM25 bilion pada tahun 2023, iaitu mewakili 1.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Berdasarkan statistik kemalangan jalan raya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Program Penilaian Jalan Raya Antarabangsa (iRAP) pula, jumlah kerugian yang dialami akibat kemalangan jalan raya tersebut menunjukkan peningkatan ketara berbanding dengan RM18 bilion pada tahun 2010 atau 2.2 peratus daripada KDNK negara.

Sehubungan itu, Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022-2030 telah dibangunkan oleh pihak kementerian bertujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan jalan raya. Pada masa yang sama, MoT dan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga sedang meneliti pelaksanaan pembangunan berasaskan konsep Transit Oriented Development (TOD). Inisiatif TOD ini bermatlamat untuk mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian bagi memenuhi keperluan mobiliti individu, selain menggalakkan penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam.

Selain meningkatkan risiko kemalangan, kesesakan jalan raya turut menimbulkan pelbagai masalah lain. Banyak urusan perdagangan dan rantaian bekalan seperti penghantaran barang dari satu tempat ke tempat yang lain tergendala dan mengambil tempoh masa yang lama untuk sampai ke destinasinya walaupun melibatkan jarak yang dekat. Kesan kesesakan lalu lintas yang teruk ini juga menyebabkan masa perjalanan yang diambil lebih lama dan menjadi penyumbang kepada kenaikan tambang perkhidmatan pengangkutan e-panggilan sehingga boleh menimbulkan kemarahan orang ramai.

Golongan yang bekerja pula terpaksa keluar dari rumah sejak awal pagi dan pulang ke rumah pada lewat petang atau malam. Penumpang menghabiskan masa kira-kira satu hingga dua jam di jalan raya akibat terperangkap dalam trafik setiap hari. Selain pembaziran masa, berada terlalu lama di atas jalan raya akibat kesesakan boleh menjejaskan produktiviti tenaga kerja, sekali gus memberikan implikasi negatif  kepada ekonomi negara.

Kajian menunjukkan purata seorang penduduk Lembah Klang membazirkan masa dalam kesesakan lalu lintas sekurang-kurangnya 44 jam sebulan atau lebih 500 jam setahun. Kesesakan lalu lintas ini telah menjejaskan produktiviti mereka di tempat kerja. Secara kasarnya, jika purata gaji sejam ialah RM7, didarab dengan dua jam sepanjang 22 hari bekerja, seorang pekerja mengalami kerugian dalam produktiviti adalah sebanyak RM308 sebulan (Sinar Harian, 25 Januari 2023).

Selain itu, kesesakan jalan raya yang serius dapat mendorong kepada berlakunya penyakit fizikal seperti pencemaran paru-paru, sesak nafas dan pening kepala. Hal ini demikian kerana terperangkap dalam trafik yang statik akan mengurangkan masa untuk melakukan aktiviti fizikal. Keadaan ini boleh mengakibatkan penyakit lain seperti darah tinggi, obesiti, kencing manis dan masalah jantung. Bunyi bising enjin kenderaan juga boleh menyebabkan kerosakan pendengaran dan masalah gangguan konsentrasi.

Pengguna yang terperangkap dalam kesesakan jalan raya dalam tempoh lama setiap hari boleh merasai gejala seperti sakit kepala, lenguh di kawasan leher dan pinggang, sakit kaki, pening, mual dan ketegangan psikologi. Oleh itu, terperangkap dalam trafik yang serius boleh menyebabkan tekanan dan mengganggu emosi serta produktiviti bekerja individu.

Tindakan bersepadu bersifat komprehensif perlu diambil untuk menyelesaikan pelbagai isu yang membelenggu pengangkutan awam seperti ketepatan masa, pengoperasian di lebih banyak laluan dan kekerapan perkhidmatan. Ketersediaan dan pengupayaan kualiti perkhidmatan sistem pengangkutan awam yang baik, termasuk perkhidmatan rel dapat meningkatkan keyakinan masyarakat untuk menggunakannya.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, apabila lebih banyak pengguna menaiki kenderaan awam berbanding dengan kenderaan persendirian, hal ini dapat mengurangkan jumlah kenderaan di atas jalan raya dan risiko kemalangan. Sebaliknya, selagi kecekapan pengangkutan awam tidak diyakini perkhidmatannya, rakyat akan terus memilih untuk memandu kenderaan sendiri. Oleh itu, menaik taraf kualiti perkhidmatan pengangkutan awam sedia ada dengan penyediaan jaringan laluan yang lebih ekstensif adalah antara usaha yang utama untuk dilaksanakan.

Terdapat pelbagai jenis pengangkutan awam terutamanya di bandar-bandar besar di negara ini, antaranya bas, teksi, KTM Komuter, Monorel, Express Rail Link (ETS), Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT). Menurut MoT, Sistem Transit Bersepadu Lembah Klang pada masa ini meliputi 10 laluan kereta api yang beroperasi sepenuhnya, iaitu dua laluan kereta api komuter, lima laluan rapid transit dan dua laluan kereta api lapangan terbang. Berdasarkan data pengangkutan rel yang dikeluarkan Prasarana Malaysia Berhad dan Express Rail Link Sdn.Bhd, bilangan penumpang yang menggunakan perkhidmatan ini pada tahun 2023 menunjukkan trend peningkatan, iaitu sebanyak 52,904,090 (suku pertama), 57,787,429 (suku kedua), 64,568,420 (suku ketiga) dan 69,843,310 (suku keempat). Melepasi suku pertama tahun 2024, jumlah penumpang perkhidmatan rel telah mencecah sebanyak 70,688,542 orang.

Faktor-faktor seperti ketidaktepatan masa, kelemahan jaringan pengangkutan, isu perbatuan awal dan akhir (first mile and last mile) serta kekurangan integrasi pelbagai mod pengangkutan sedia ada seperti bas dan kereta api antara bandar adalah antara isu yang masih menjadi keluh-kesah rakyat. Aspek perbatuan awal dan akhir misalnya, sangat kritikal dalam mempengaruhi seseorang untuk menggunakan pengangkutan awam, dan perlu diperbaik serta dipertingkatkan perkhidmatannya menerusi penyediaan infrastruktur yang lengkap bagi memudahkan orang awam menggunakan pengangkutan awam, sama ada bas, tren, LRT atau MRT.

Dua masalah utama pengangkutan awam adalah tempoh menunggu yang terlalu lama dan jumlah tempat letak kereta yang tidak mencukupi di stesen LRT. Masalah kekerapan perjalanan ini kadangkala memaksa pengguna menunggu untuk tempoh masa yang lama sehingga menyulitkan pengguna yang ingin ke tempat kerja. Perkhidmatan pengangkutan bas perlu ditambah baik, contohnya jaringan perkhidmatan perlu meliputi lebih banyak kawasan kediaman, terutamanya di kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi, di samping kawasan kediaman di luar dan pinggiran bandar yang bergerak menuju ke bandar. Masalah tempat letak kereta yang tidak mencukupi di stesen-stesen LRT pula memaksa pengguna datang awal untuk mendapatkan tempat letak kereta yang berdekatan di sekitar kawasan stesen.

Berdasarkan laporan media, tahap jaringan pengangkutan awam rel di Lembah Klang kini baru mencapai kira-kira 65 peratus, yang secara tidak langsung turut menyumbang kepada kesesakan jalan raya (Utusan Malaysia, 29 Julai 2024). Berbanding dengan negara maju, perkhidmatan rel mereka sudah mencapai tahap 80 peratus khususnya di bandar-bandar utama, sekali gus mengurangkan kebergantungan masyarakat terhadap penggunaan kenderaan persendirian. Oleh sebab itu, negara tiada pilihan selain meningkatkan sistem jaringan pengangkutan awam rel di Lembah Klang kepada 85 peratus dalam jangka masa 10 tahun ke hadapan dengan penumpuan kepada kawasan berkepadatan tinggi.

Dalam hal ini, KTMB terus berusaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik walaupun berhadapan dengan kekangan tertentu, antaranya melibatkan kekerapan tren dan masa perjalanan yang lebih panjang disebabkan projek menaik taraf landasan sedang dilakukan (Bual Bicara bersama Mohd. Zain Mat Taha, Ketua Pegawai Operasi KTMB, Utusan Malaysia, 29 Julai 2024). Ketika ini sebahagian jajaran masih beroperasi secara jajaran tunggal. Faktor ketersambungan perbatuan awal dan akhir sangat kritikal dan wajar ditambahbaik untuk menjadikan perkhidmatan rel pilihan pengangkutan boleh dipercayai dan menarik.  Ketersambungan ini perlu disokong oleh perkhidmatan bas pengantara dan e-panggilan yang boleh memudahkan pergerakan pengguna dari rumah mereka ke stesen dan sebaliknya.

Operasi Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang membabitkan 20 buah stesen bermula pada Ogos atau September 2025 nanti diharapkan dapat meningkatkan jumlah penumpang pengangkutan awam. Operasi LRT3 ini dilengkapi dengan pembelian tujuh set tren tiga gerabak, pembelian 150 buah bas pengantara elektrik dan pembinaan tiga depoh. Dengan membabitkan kos tambahan keseluruhan sebanyak RM3.8 bilion, operasi LRT3 bertujuan untuk meningkatkan kebolehcapaian pengguna dengan memastikan aspek perbatuan awal dan akhir ditambah baik. Meskipun pengoperasian itu sedikit lewat berbanding dengan jadual asal, namun LRT3 kini sudah 95.6 peratus siap dan bersedia untuk memasuki fasa pengintegrasian sistem.

Masalah kesesakan lalu lintas dan kecekapan perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini sering kali dilihat sebagai isu berkait yang tidak kunjung selesai. Justeru, penubuhan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kesesakan Jalan Raya yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Mac 2023 merupakan langkah tepat bagi menangani isu kesesakan trafik secara serius di Lembah Klang bahkan dan di bandar-bandar utama. Dengan peningkatan jumlah kenderaan dan pengguna jalan raya pada setiap tahun, jawatankuasa ini komited memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi memastikan keselamatan pengguna serta mengurangkan kesesakan yang boleh menjejaskan produktiviti dan kualiti hidup. Sebagai contoh, memperluaskan penyediaan bas pengantara, menambah baik akses pengguna ke stesen bas atau rel, pengurusan trafik yang memberikan keutamaan kepada pengangkutan awam, pembangunan sistem maklumat jadual berintegrasi tunggal di Lembah Klang dan pengintegrasian mod pengangkutan (bas atau rel).

Usaha membangunkan sosioekonomi negara tidak akan mencapai potensi sebenar sekiranya kesesakan lalu lintas terus menjadi gendala yang merencatkan produktiviti tenaga kerja dan kualiti hidup masyarakat. Memasuki era pascanormal ini, pendekatan biasa bersifat band-aid, iaitu sekadar merawat simptom tanpa menangani punca sebenar tidak lagi berkesan untuk menghadapi  masalah yang semakin rumit dan kompleks ini. Bergerak menuju masa hadapan, perancangan tuntas sistem dan operasi bersepadu pengangkutan awam yang mantap sangat diharapkan oleh pelbagai pihak sebagai penyelesaian terbaik bagi menoktahkan ‘penderitaan’ akibat kesesakan jalan raya di negara ini.

 

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi