Diterbitkan pada 19 September 2024, 09:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Selain teruja menyaksikan sesuatu perlawanan yang disiarkan secara langsung, kehadiran pengulas juga menjadi faktor penentu atau titik tolak kepada kerancakan sesuatu perlawanan. Sekiranya ulasan oleh pengulas lemau, hal ini turut memberikan kesan kepada pendengar atau khalayak untuk terus mengikuti sesuatu perlawanan. Sebaliknya, jika ulasan yang diberikan begitu bersemangat atau bernyala-nyala, perkara ini membuatkan pendengar atau penonton “tidak senang duduk” dan teruja untuk terus bersorak kepada pasukan atau pemain kesayangan sambil berdebar-debar menyaksikan perlawanan hingga ke akhir permainan.

Begitulah besarnya pengaruh pengulas dalam sesuatu perlawanan atau permainan yang turut menjadi daya tarikan kepada masyarakat untuk mengikuti perkembangan sukan atau perlawanan yang disajikan.  Apatah lagi jika pengulas tersebut mempunyai “nama”, bertaraf legenda dan berwibawa dalam bidang sukan, maka kelibat mereka akan sentiasa ditunggu-tunggu oleh peminat sukan tanah air. Disebabkan itu juga, khidmat mereka sentiasa diburu oleh stesen-stesen penyiaran bagi menarik lebih ramai peminat sukan untuk mengikuti siaran mereka. Maka, tidak hairanlah apabila pengulas sukan juga diraikan seperti selebriti dan memperoleh pendapatan yang lumayan. Dengan perkataan lain, keberadaan dan peranan pengulas sukan dalam industri sukan tidak kurang pentingnya seperti ahli sukan yang mengecap populariti dan kemasyhuran menerusi bakat dan persembahan yang dipamerkan.

Sejarah bermulanya khidmat pengulas sukan mempunyai kaitan dengan penubuhan stesen-stesen penyiaran sukan. Berdasarkan catatan yang dikeluarkan oleh Media Schools: Be On Air Network pada September 2023 di laman web rasmi mereka, penyiaran sukan bermula pada tahun 1911 di Lawrence, Kansas. Maklumat tentang perlawanan ragbi Amerika antara Kansas dan Missouri telah dipancarkan dari pusat penyiaran di Missouri. Bagi membolehkan perlawanan tersebut diketahui perjalanannya, Western Union menyediakan wayar telegraf di Columbia, Missouri, yang merupakan lokasi perlawanan. Wakil di Missouri akan mengumumkan keadaan yang berlaku dan memetakannya menggunakan konsep pemodelan di padang ragbi. Maklumat ini kemudiannya dihantar melalui telegraf kepada mereka yang menunggu di Lawrence, Kansas. Walau bagaimanapun, maklumat yang dihantar itu bukanlah dalam bentuk ulasan kerana tumpuan yang diberikan adalah lebih kepada penjelasan tentang perjalanan perlawanan itu sendiri.

Pada tahun 1921, siaran suara buat pertama kali dipancarkan pada 11 April. Stesen Westinghouse KDKA, yang terletak di Pittsburgh, menyiarkan ulasan radio secara langsung mengenai perlawanan tinju 10 pusingan. Kemudian, pada bulan Ogos tahun yang sama dan juga di Pittsburgh, permainan besbol antara Pittsburgh Pirates dan Philadelphia Phillies telah disiarkan dari Forbes Field. Manakala siaran radio secara langsung perlawanan ragbi Amerika peringkat institusi pendidikan tinggi telah diadakan buat kali pertama pada bulan Oktober, yang membabitkan perlawanan antara Universiti Pittsburgh menentang Universiti West Virginia. Sejak daripada itu, siaran radio secara langsung menjadi semakin popular sehingga setiap pasukan sukan mempunyai stesen penyiaran mereka sendiri agar dapat mengulas setiap perlawanan melalui corong radio.

Sukan Olimpik Musim Panas 1936 di Berlin telah mula disiarkan secara langsung di kaca televisyen di Jerman walaupun pada ketika itu hanya segelintir individu sahaja yang berkemampuan untuk memiliki televisyen. Hal ini diikuti dengan penyiaran sukan secara langsung di kaca televisyen pada 17 Mei 1939 di Amerika Syarikat yang membabitkan permainan besbol liga kolej antara Princeton Tigers dan Columbia Lions. Siaran secara langsung sukan ragbi Amerika yang melibatkan pertemuan Kolej Waynesburg menentang Kolej Fodham pertama kali disiarkan menerusi kaca televisyen pada bulan September 1939. Walau bagaimanapun, siaran ini tidak dipancarkan pada skala yang besar melainkan hanya untuk pasaran individu sahaja. Hanya pada 29 September 1951 barulah siaran langsung berskala besar dipancarkan ke seluruh negara, iaitu perlawanan yang membabitkan antara Universiti Pittsburgh dan Universiti Duke.

Siaran sukan yang membabitkan kelab-kelab profesional berkembang lebih cepat berbanding dengan sukan pada peringkat kolej. Perlawanan NFL (National Football League) yang membabitkan kelab profesional Philadelphia Eagles dan Brooklyn Dodgers disiarkan secara langsung buat kali pertama menerusi televisyen dan radio pada tahun 1939. Mulai saat itu, popularitinya terus meningkat dan menjelang tahun 1960-an telah menjadi salah satu jenama paling berharga di dunia, dengan pulangan masuk lebih USD5 bilion setiap tahun hasil daripada penyiaran siaran perlawanan.

Sifat atau gaya ulasan oleh seseorang pengulas mempunyai kesan yang ketara terhadap persepsi pendengar atau penonton. Menurut kajian yang dijalankan oleh Tony Myers, Nigel Balmer, Mohammad Rehman dan Stephen Strotmeyer bertajuk Sport Commentary Effects on Spectators’ Views of Who Wins yang dibentangkan dalam persidangan 19th Annual Congress of the European College of Sport Science (ECSS) di Amsterdam, Belanda pada 2 Julai hingga 5 Julai 2014 mendapati bahawa ulasan mempunyai fungsi atau peranan yang dapat membentuk pengalaman penonton. Hal ini bermaksud ulasan yang berkesan mampu mengarahkan perhatian pendengar atau penonton terhadap kepada sesuatu perlawanan. Dengan perkataan lain, ulasan yang bagus mendorong pendengar atau penonton untuk fokus kepada sesuatu acara sekali gus mengikat mereka untuk menjadi pengikut setia kepada sesuatu jenama atau pasukan.

Dalam konteks psikologi, kewibawaan dan pengetahuan yang dimiliki oleh pengulas sangat mempengaruhi kesetiaan pendengar atau penonton sehingga mereka cenderung untuk membuat pilihan kelab atau atlit yang hendak ditonton berdasarkan kepada maklumat dan pengetahuan yang diperoleh melalui ulasan yang disampaikan.

Maka, tidak hairanlah apabila stesen penyiaran sukan berebut-rebut mendapatkan khidmat pengulas yang berwibawa kerana mereka tahu bahawa pengulas sedemikian mampu menarik lebih ramai pendengar dan penonton untuk hadir menyaksikan sesuatu perlawanan atau permainan melalui saluran mereka. Hal ini demikian kerana bukan sahaja populariti stesen tersebut meningkat pada kedudukan yang lebih baik, malah mereka juga dapat menjana pendapatan yang lebih tinggi melalui segmen penajaan dan pengiklanan yang pelbagai dan hak penyiaran untuk sesuatu liga atau siri perlawanan untuk tempoh yang lebih lama.

Dengan mengambil contoh liga NFL yang merujuk kepada sukan ragbi Amerika, penanda aras untuk hak penyiaran kini dipegang oleh lima stesen penyiaran sukan terkenal, iaitu NBC Sports, CBS Sports, Fox Sports, ESPN dan Amazon. Hak penyiaran tersebut merangkumi 11 musim, bermula dari tahun 2023 hingga tahun 2033 dan dilaporkan memiliki nilai kolektif sebanyak USD110 bilion sepanjang tempoh tersebut. Manakala barisan pengulas yang berkhidmat di stesen penyiar tersebut berupaya mempengaruhi kedudukan dan pencapaian stesen penyiaran di samping menjana pendapatan yang sangat lumayan.

Antara pengulas sukan yang menjadi rebutan stesen-stesen penyiaran sukan pada ketika ini ialah Tom Brady sebagaimana yang dilaporkan oleh Michael Calabrese dalam artikelnya yang disiarkan di laman web OLBG pada 6 Februari 2024. Brady memiliki kontrak selama 10 tahun bersama Fox Sports dengan memperoleh pendapatan sebanyak USD375 juta, mengatasi pendapatannya ketika menjadi pemain dengan perolehan sebanyak USD332.9 juta. Bersandarkan pada reputasinya yang cemerlang bersama Fox Sports, khidmatnya diintai oleh stesen-stesen penyiaran yang lain, termasuklah ESPN yang dikatakan sangat berminat untuk menandatangani Brady.

Pengulas yang berikutnya ialah Jim Rome yang mempunyai saham yang sangat besar dalam menaikkan kadar kepopularan stesen-stesen penyiaran yang disertainya. Misalnya ketika berkhidmat di ESPN, beliau telah mengacarakan rancangan berjudul Rome is Burning di samping bertugas sebagai pengulas manakala ketika bersama-sama dengan CBS, beliau mengacarakan rancangan berjudul Jim Rome Show yang disiarkan menerusi siaran radio. Pendapatan tahunannya sebagai pengulas sukan adalah sebanyak USD30 juta setahun.

Tony Romo pada ketika ini dianggap sebagai pengulas yang berpotensi untuk meningkat naik berikutan kemampuannya membuat ramalan terhadap sesuatu perlawanan berdasarkan pengalaman dan pengetahuannya yang luas ketika bermain sebagai quarterback untuk kelab Dallas Cowboys. Dengan kontraknya selama sepuluh tahun bersama CBS, beliau memperoleh pendapatan sebanyak USD180 juta sebagai pengulas sukan mengatasi pendapatannya sebagai pemain dengan perolehan sebanyak USD127 juta.

Kriket merupakan sukan yang paling popular di India. Kejayaan memenangi suatu perlawanan diraikan seperti satu perayaan yang besar. Pengulas sukan tersebut turut menjadi tumpuan dan mendapat tempat yang istimewa dalam kalangan peminat. Satu daripada pengulas yang paling terkenal dalam sejarah kriket India, Ravi Shastri sentiasa mendapat permintaan yang tinggi untuk mengulas perlawanan penting dan dibayar dengan sejumlah wang yang besar untuk kebanyakan permainan. Pernah satu ketika beliau dibayar sebanyak USD68 ribu bagi setiap ulasan untuk siri dalam Trofi Juara tahun 2017. Pendapatan tahunannya dikatakan pernah melebihi USD728 ribu menurut laporan CricTracker pada 29 Mei 2019. Jumlah ini dianggap sebagai pendapatan tertinggi yang pernah diraih oleh seorang pengulas sukan di negara tersebut.

Pada hakikatnya, walaupun memproleh pendapatan yang lumayan, tugas seorang pengulas sukan bukanlah sesuatu yang mudah. Hal ini demikian kerana pengulas perlu melengkapkan dirinya dengan pengetahuan tentang perlawanan, pemain, pasukan atau kelab yang bertanding dan hal ehwal atau peraturan yang berhubungan dengan sukan itu sendiri.

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi