Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSerdang – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 akan berlangsung selama 12 hari bermula 11 September hingga 22 September 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) dengan sasaran tiga juta pengunjung.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, MAHA 2024 menetapkan lapan fokus utama, iaitu Sambutan 100 Tahun MAHA, Pertanian, Kelestarian, Modal Insan MADANI, Teknologi, Agropelancongan, MAHA Go Global dan Pelaburan.
Sehingga kini, 16 buah negara telah mengesahkan penyertaan, antaranya ialah Jepun, Thailand, Brunei, Indonesia, China, Rusia, Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah.
Menurut YB Datuk Seri Mohamad Sabu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyasarkan RM600 juta potensi pembiayaan dan padanan perniagaan melalui jangkaan 4,000 permohonan dengan 10 juta capaian media.
Melangkaui satu abad penganjuran, MAHA telah menjadi pameran sektor pertanian yang sentiasa dinanti oleh segenap lapisan masyarakat kerana membawa elemen teknologi terkini dan penekanan pameran bersifat interaktif dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara.
Orang ramai berpeluang berkunjung ke MAHA 2024 dengan pelbagai kemudahan asas disediakan seperti tandas, surau dan tempat makan. Selain itu, bas perantara secara percuma turut disediakan kepada pengunjung di beberapa lokasi seperti di stesen Transit Aliran Massa (MRT) UPM, Putrajaya Wetland dan IOI Resort City, Putrajaya.
Meraikan 100 tahun penganjuran, MAHA 2024 akan memberikan penekanan kepada elemen yang mengangkat MAHA ke peringkat antarabangsa dengan pelibatan penyertaan daripada pelbagai negara, mencetus pembangunan daya tahan dalam sektor keterjaminan makanan dan mengangkat minat golongan muda untuk turut serta dan menjadikan sektor ini sebagai sumber pendapatan utama.