Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPandemik COVID-19 telah memberikan impak yang signifikan terhadap ekonomi domestik dan juga global. Dari sudut ekonomi, ramai yang telah terkesan dengannya. Sebagai contoh, pemberhentian kerja di sektor swasta, penutupan sebahagian daripada perniagaan industri kecil dan sederhana (IKS) dan masalah bebanan hutang.
Makalah ini memberikan tumpuan kepada pengurusan kewangan peribadi, iaitu dengan melihat kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan dana kecemasan sebagai perbandingan. Hal ini demikian kerana sejak pandemik melanda di negara ini, KWSP menjadi topik atau wacana utama perbahasan dalam kalangan masyarakat.
Yang menariknya, selepas kerajaan meluluskan permohonan pengeluaran KWSP, terdapat segelintir masyarakat yang masih inginkan pengeluaran duit KWSP mereka diteruskan lagi dengan pelbagai alasan seperti bebanan hutang dan kenaikan harga barang. KWSP dilihat seolah-olah berfungsi sebagai dana kecemasan berbanding dengan simpanan masa hadapan. Pada hakikatnya, KWSP dan dana kecemasan, kedua-duanya mempunyai objektif dan fungsi yang berbeza.
KWSP sebagai Talian Hayat
Dalam sejarah negara dan global, pandemik diakui memberikan impak yang besar kepada individu, masyarakat dan negara. Pihak kerajaan terpaksa mengambil langkah drastik bagi mengekang wabak tersebut, iaitu dengan mengehadkan pergerakan fizikal melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Hal ini bermakna, ramai yang tidak dibenarkan bekerja di luar kecuali sektor-sektor tertentu dan perniagaan serta perusahaan kecil yang lain terpaksa ditutup. Yang paling terkesan sekali adalah dalam kalangan mereka yang diberhentikan kerja bagi mengurangkan kos operasi. Justeru, kerajaan melalui KWSP (atas faktor darurat dan kecemasan) telah bersetuju dan memberikan keizinan bagi rakyat mengeluarkan duit simpanan mereka dalam KWSP untuk menampung keperluan hidup semasa pandemik.
Sejumlah RM145 bilion simpanan ahli KWSP telah dikeluarkan menerusi empat kemudahan pengeluaran sewaktu pandemik lalu. Empat fasiliti pengeluaran berkaitan COVID-19, iaitu ‘i-Lestari’, ‘i-Sinar’, ‘i-Citra’ dan juga ‘Pengeluaran Khas’. Adalah perlu diketahui bahawa sebelum pandemik, KWSP mempunyai fasiliti yang membenarkan ahli-ahli mereka untuk mengeluarkan sebahagian ataupun kesemua duit bagi kegunaan tertentu (tertakluk pada syarat-syarat yang telah ditetapkan). Antaranya ialah Pengeluaran umur 50, 55, dan 60 tahun; Pengeluaran Pendidikan; Pengeluaran Mengurang atau Menyelesaikan Baki Pinjaman Rumah; Pengeluaran Kesihatan; Pengeluaran Pekerja Berpencen dan Pengeluaran Pesara Pilihan; Pengeluaran Simpanan melebihi RM1 juta; dan Skim Pelaburan Ahli. Selain tujuan utama untuk persediaan simpanan hari tua, pihak KWSP juga cakna akan keperluan ahli-ahli mereka yang memerlukan duit untuk keperluan tertentu sepertimana yang dinyatakan di atas.
Pengeluaran semasa pandemik, dalam konteks sejarah negara dibuat berdasarkan keadaan darurat kesihatan, tidak sebagaimana pengeluaran sebelumnya yang dibuat dengan perancangan rapi dan teliti. Pengeluaran ini sebenarnya sama fungsi dengan simpanan untuk kecemasan. Walau bagaimanapun, pengeluaran KWSP ini dapat dielakkan sekiranya ahli tersebut mempunyai dana kecemasan. Itulah pentingnya ilmu kewangan dengan menyedari akan peri pentingnya setiap individu itu mempunyai dana kecemasan mereka sendiri dan tidak terlalu bergantung dengan caruman KWSP yang sepatutnya dibiarkan berkembang untuk kegunaan hari tua nanti.
Perbandingan antara KWSP dan Dana Kecemasan
Pada hakikatnya, dana kecemasan atau dana rizab adalah duit atau wang tunai untuk kegunaan apabila berlaku sesuatu kecemasan atau hal yang perlu diselesaikan dengan kadar segera. Manakala KWSP pula adalah duit simpanan untuk kegunaan pada hari tua atau ketika persaraan.
Pertamanya, KWSP dan dana kecemasan, kedua-duanya merujuk kepada simpanan wang. Tanpa simpanan, maka tiadalah dana bagi KWSP dan juga dana kecemasan. Sebagaimana yang kita sedia maklum, simpanan adalah perkara paling asas dalam pengurusan kewangan peribadi. Simpanan memerlukan disiplin, sama ada individu tersebut menyimpan secara sukarela (dana kecemasan) ataupun secara paksaan melalui KWSP.
Keduanya, persamaan yang boleh dilihat adalah KWSP dan dana kecemasan adalah aset yang mudah cair. Maksudnya, jika penyimpan kedua-dua dana berkenaan memerlukan duit untuk kegunaan tertentu atau dengan kadar segera, maka mudah dicairkan dalam bentuk tunai.
Sementelahan perbezaan antara KWSP dengan dana kecemasan pula, setiap pekerja sektor swasta mahupun kerajaan yang tidak berpencen adalah diwajibkan membuat potongan gaji bulanan mereka dalam KWSP. Bagi pekerja, caruman dibuat sekitar 11 peratus dan bagi majikan pula menyumbang sebanyak 13 peratus tambahan bagi pekerja berpendapatan bawah RM5000 sementara 12 peratus pula untuk pekerja berpendapatan lebih RM5000. Objektif simpanan ini adalah bagi membolehkan para pekerja mempunyai dana untuk persediaan persaraan.
Manakala dana kecemasan pula dilakukan atas kefahaman dan kesedaran seseorang individu itu akan pentingnya simpanan sendiri dalam menghadapi situasi yang tidak dijangka. Yang jelas adalah tiada siapa yang memaksa atau menyuruh kita membuat simpanan kecemasan, melainkan diri kita sendiri. Sebagai contoh, jika berlaku situasi seperti tayar kereta pancit, kemalangan jalan raya yang mana perlu membayar kerosakan terbabit dan juga akibat kehilangan kerja, maka simpanan yang dibuat itulah akan digunakan bagi menyelesaikan masalah semasa yang dihadapi dengan lebih bersedia. Ibarat pepatah ‘Sediakan Payung Sebelum Hujan’, sesuai bagi menggambarkan persediaan individu untuk memiliki dana kecemasan mereka sendiri.
Perbezaan kedua ialah KWSP berorientasikan jangka panjang. Dana tersebut akan digunakan untuk masa tua dan ibarat pencen terutama bagi pekerja awam mahupun swasta yang tidak mempunyai skim pencen sepertimana para pekerja tetap di sektor awam. Berbanding dengan dana kecemasan, dananya bersifat jangka pendek, iaitu duit simpanan dikumpul menyamai perbelanjaan atau nilai sara hidup antara tiga bulan hingga 12 bulan. Malah seseorang itu boleh dianggap lebih bersedia dan tenang dalam menghadapi situasi luar jangka jika sekiranya mempunyai dana kecemasan melebihi tempoh satu tahun.
Perbezaan seterusnya ialah perlunya keizinan bagi ahli KWSP mengeluarkan duit mereka untuk tujuan tertentu. Hal ini bermakna, ahli tersebut perlu mengikut saluran formal birokrasi, iaitu dengan memohon sendiri kepada pihak KWSP (berdasarkan syarat atau peraturan yang telah digariskan) sebelum menunggu permohonan tersebut diproses dan kemudiannya diluluskan. Sementara untuk dana kecemasan, tiada birokrasi mahupun persetujuan diperlukan daripada pihak lain. Yang jelas, dana tersebut boleh dikeluarkan pada bila-bila masa dan segala keputusan bergantung atas kehendak individu terbabit sahaja.
Keempat, KWSP merupakan organisasi badan berkanun di bawah Kementerian Kewangan Malaysia. Sejak penubuhannya, KWSP bermula dengan skim tabungan kecil dan kini menjadi sebuah institusi besar dan sangat signifikan dalam pertumbuhan sosioekonomi negara. Kini, KWSP telah berkembang kepada skim simpanan yang turut menyediakan pelbagai fasiliti pengeluaran yang diperkenalkan kepada ahli dari semasa ke semasa. Berbeza dengan dana kecemasan, skim ini diuruskan sendiri oleh individu. Individu tersebut bebas membuat segala perancangan dan keputusan berkenaan simpanan miliknya sendiri tanpa perlu merujuk atau meminta pandangan daripada pihak luar atau yang berautoriti.
Perbezaan terakhir ialah pihak kerajaan sendiri yang memberikan jaminan pulangan dividen untuk ahli KWSP. Minimum dividen yang dijanjikan ialah 2.5 peratus setahun. Setakat ini, KWSP sentiasa memberikan dividen yang kompetitif dan berpatutan, sesuai dengan kadar inflasi serta kos kehidupan yang acap kali meningkat. Bagi dana kecemasan, tiada jaminan pulangan dividen. Hal ini tertakluk kepada tempat atau institusi simpanan tersebut dibuat, misalnya akaun Simpanan Biasa (Savings Account) dan Simpanan Tetap (Fixed Deposit) di bank, Tabung Haji ataupun Amanah Saham Bumiputera (ASB). Keuntungan yang diterima adalah berdasarkan kepada prestasi kewangan semasa dan keuntungan daripada pelaburan yang dibuat oleh ketiga-tiga institusi berkenaan.
Secara keseluruhannya, kajian oleh Bank Negara Malaysia pada tahun 2019 mendapati bahawa 75 peratus rakyat negara ini tidak mempunyai sekurang-kurangnya simpanan sebanyak RM1,000. Data berkenaan sudah memadai untuk dibuat rumusan bahawa sebelum pandemik lagi kesedaran masyarakat terhadap simpanan adalah masih rendah. Literasi kewangan adalah penyelesaian terbaik dan kita masih belum terlambat untuk memberikan kefahaman kepada seluruh masyarakat menerusi institusi pendidikan, media massa dan sebagainya tentang kepentingan pengurusan kewangan.