Oleh Noorilham Ismail
26 Ogos 2024, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Menjelang tarikh kemerdekaan pada 31 Ogos setiap tahun, marilah kita menelusuri tawarikh yang berkaitan dengan keadaan ekonomi dan kedudukan Islam dalam kalangan masyarakat Melayu suatu ketika dahulu. Bagi membentuk fokus yang lebih khusus dan jelas, penulis ingin merungkaikan perihal Baitulmal di Johor.

Johor memiliki sistem pemerintahan dan pentadbiran yang teratur sejak sebelum campur tangan British. Keadaan ini didorong oleh kebijaksanaan pemerintah Johor membangunkan negeri sehingga pihak British tidak mempunyai alasan meluaskan kuasa ke Johor. Kemajuan dan kemakmuran Johor serta pemodenan yang dilaksanakan dalam pentadbiran menjadi faktor penting yang membolehkan Johor mengekalkan kedaulatannya hingga tahun 1914.

Kemajuan ekonomi Johor menyebabkan British mula merangka strategi untuk menguasai Johor. Sir Douglas Graham Campbell dilantik sebagai Penasihat Am British pertama di Johor. Pelantikan ini juga menukarkan taraf Johor daripada negeri yang bebas dan berdaulat kepada sebuah negeri naungan British. Walau bagaimanapun, perkembangan ini tidak menggugat kedudukan Sultan Johor. Pihak British masih mengakui kedudukan dan kedaulatan sultan.

Lazimnya kita sering membaca dan mendengar British hanya menguasai politik serta ekonomi Tanah Melayu tanpa campur tangan dalam hal ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu, namun kenyataan tersebut boleh dipertikaikan. Hal ini demikian kerana British turut mencampuri urusan berkaitan Islam seperti urusan haji, wakaf dan penggunaan tulisan jawi.

Kedudukan Islam dan institusi berkaitannya di Johor turut tidak terkecuali daripada menerima pukulan imperialisme British ini. Johor Enactment 1910-1914 misalnya menjadi dokumen penting yang membuktikan campur tangan British dalam hal ehwal agama Islam di Johor. Dokumen setebal 599 halaman itu mengandungi peraturan yang antara lainnya berkait dengan pengurusan wakaf (Wakaf Prohibition Enactment 1911 Enactment No. XI of 1911) dan perkahwinan (Enactment No. 15 of 1914 An Enactment to provide for the Registration of Marriages and Divorces of Muhammadans).

Penasihat Am British turut mengawasi dan mengawal urusan pergi, semasa dan kembalinya jemaah haji dari Johor yang mengerjakan haji di tanah suci Mekah. Tampak jelas bahawa penjajah British tidak melepaskan sama sekali cengkaman penguasaannya biarpun perkara berkenaan tertakluk dalam urusan berkaitan Islam.

Jarum penjajahan British turut menyulam benang-benang pembaratan menerusi pelaksanaan undang-undang jenayah dalam kerajaan Johor terutama selepas pengenalan Penal Code (Kanun Jenayah) yang diambil daripada perundangan Negeri-negeri Selat. Rentetan daripada itu, pihak berautoriti dalam kerajaan Johor cuba untuk mengorak langkah bagi mengimbangi tekanan daripada polisi penjajah yang dilaksanakan semata-mata untuk kepentingan mereka.

Tindakan yang dibuat adalah berkaitan dengan pengurusan Baitulmal menjelang tahun 1934. Hal ini penting kerana institusi ini berfungsi sebagai organisasi yang menguruskan harta umat Islam yang terkait dengan pusaka, wasiat, sedekah dan zakat.

Institusi ini menerima perkenan dari Sultan Ibrahim (1895-1961) melalui rangka tindakan oleh Majlis Agama Islam Johor. Individu yang mempunyai kuasa untuk mentadbir harta Baitulmal dinamai sebagai Pengelola (Nazir) dan Bendahari (Amin) dengan bantuan beberapa orang pegawai yang boleh ditambah jumlahnya mengikut keperluan dalam satu-satu masa.

Mufti kerajaan Johor ke-4, Syed Alwi bin Thahir Al-Haddad turut bertindak sebagai pemeriksa dalam hal ehwal Baitulmal ini khususnya dalam soal pengeluaran fatwa dan hukum-hakam faraid. Biarpun menerima tekanan yang hebat daripada penjajah, tetapi autoriti dan kuasa oleh pentadbir tempatan Johor masih dapat bertahan menerusi pentadbiran Baitulmal ini.

Naratif dalam perenggan sebelum ini dibuktikan melalui pemasyhuran Undang-undang Baitulmal Jabatan Agama Johor Bilangan 18, 1934 pada 17 Oktober tahun tersebut. Dokumen setebal lapan halaman itu telah menggaris peraturan berkaitan pengurusan Baitulmal, denda-denda jika ada kesalahan yang berkaitan dengan institusi berkenaan dan perincian mengenai waris terhadap harta pusaka.

Penulisan ini bukanlah untuk membahas aspek faraid yang berkaitan kesemua perkara tadi. Akan tetapi, keterangan yang dikemukakan di sini adalah untuk kita melihat dari retrospektif sejarah bahawa wujudnya usaha-usaha pentadbir Johor untuk menghalang campur tangan British dalam urusan Baitulmal. Keadaan ini terbukti apabila undang-undang pada tahun 1934 itu menyatakan dengan jelas tentang syarat untuk menjadi pengelola dan bendahari ialah seorang yang beragama Islam.

Sehubungan dengan itu, urus tadbir berkaitan dengan harta umat Islam diperhalusi satu persatu menerusi fasal-fasal dalam Undang-undang Baitulmal 1934 tadi. Jenis harta tersebut dibahagikan kepada dua, iaitu harta yang boleh digerakkan dan harta yang tidak boleh digerakkan. Harta yang boleh digerakkan berkaitan dengan wang, permata dan barang kemas manakala harta yang tidak boleh digerakkan meliputi harta dalam bentuk rumah serta tanah.

Perincian yang diperbuat tidak lain adalah untuk memudahkan pengurusan Baitulmal Johor dalam pelbagai isu bahkan kod undang-undang ini turut terpakai sehingga tahun 1959 dan menjadi asas kepada kelahiran Undang-undang Baitulmal Johor 1976. Tindakan oleh pihak berautoriti Johor berkenaan perkara ini boleh diibaratkan seperti sediakan payung sebelum hujan.

Faedah yang diperoleh masyarakat pada waktu itu sememangnya cukup positif khususnya dalam isu berkaitan kewangan. Dokumen Jabatan Agama Islam di Arkib Johor misalnya, menunjukkan bahawa masyarakat Melayu Islam di Johor sekitar tahun 1930-an boleh memohon sumbangan baitulmal bagi membayar hutang sekiranya terdapat kekangan dari segi kesihatan dan ketiadaan wang untuk berbuat demikian. Atas pertimbangan pihak mufti, peruntukan wang dari Baitulmal turut boleh digunakan untuk membayar gaji kepada tenaga pengajar yang mendidik golongan wanita di kawasan kampung.

Secara tersirat, perkara tersebut mencerminkan bahawa fungsi Baitulmal tidak terhad kepada sebuah perbendaharaan malahan masyarakat boleh menerima manfaat daripadanya. Secara tidak langsung, institusi itu berjaya memainkan peranan untuk pembangunan kualiti insan melalui pendidikan serta membantu mengurangkan beban ekonomi rakyat.

Penulis berpandangan bahawa segala yang telah dihuraikan di sini adalah untuk kita memahami serba sedikit keadaan sewaktu penjajahan pada suatu ketika dulu. Bukan sahaja aspek politik dan ekonomi yang telah dikuasai tetapi pihak British turut melaksanakan dasar yang mencampuri urusan hal ehwal Islam.

Meskipun demikian, para pentadbir di Johor tidak mengalah dengan keadaan tersebut dan berupaya mewujudkan satu tadbir urus terbaik berkaitan Baitulmal untuk kemaslahatan umat semasa. Sebagai generasi yang hidup pada hari ini, sejarah yang telah tertulis memberikan kesedaran kepada kita bahawa penjajahan itu sebagai satu perkara yang boleh menggugat hak asasi manusia dalam Islam.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.