Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKangar – Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyarankan agar rakyat negeri Perlis memanfaatkan setiap inci tanah untuk tanaman sayuran dan buah-buahan bagi kegunaan sendiri atau dijual untuk menjana pendapatan.
Baginda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Perlis (MAIPs) bertitah demikian selepas berkenan berangkat mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli anjuran MAIPs dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Perlis di sekitar Batu Pahat baru-baru ini.
“Penghasilan atau perniagaan seumpama ini boleh dijalankan secara kecil-kecilan terlebih dahulu, dan pada masa yang sama mempelajari selok-belok perniagaan dan pengetahuan dalam pertanian yang secara tidak langsung mampu menyelesaikan tanah terbiar supaya sentiasa terurus dan dijadikan mata pencarian tambahan,” titah baginda.
Pelbagai program telah dirangka melalui Jabatan Pertanian Negeri Perlis menggunakan peruntukan negeri dan kerajaan persekutuan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) untuk membangunkan industri pertanian bagi memanfaatkan tanah di negeri Perlis dengan komoditi tanaman sayuran dan buah-buahan.
Antara tanaman yang singkat tetapi mampu memberikan pulangan yang cepat termasuklah tanaman sayuran secara hidroponik (sayuran berdaun), tanaman sayuran secara fertigasi meja (sayuran berdaun), tanaman sayuran secara fertigasi terbuka (sayuran buah seperti cili, terung dan bendi), tanaman sayuran secara konvensional (sayuran berdaun dan sayuran buah) dan tanaman fertigasi meja (sayuran berdaun).
Terdapat juga Program Tanaman Buah-buahan Jangka Pendek dan Tanaman Buah-buahan Jangka Panjang serta Pembangunan Industri Buah-buahan yang boleh dimohon melalui jabatan ini seperti tanaman buah betik, tembikai, pisang, mangga Harum Manis, durian dan nangka.
Keberangkatan tiba Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang turut diiringi oleh anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor; Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Encik Hafizuddin Othman; dan Timbalan Pengarah Pembangunan Industri dan Pengembangan, Jabatan Pertanian Negeri, Encik Mohd Nizam Abdul Aziz.
Pada program yang sama, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada asnaf yang terpilih, iaitu bantuan wang tunai sebanyak RM700, kit MAIPs Peduli dan dua kampit beras fidyah bagi setiap penerima.
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan mengadakan lawatan ke Taman Buah-buahan Eksotik Perlis yang menyajikan panorama alam yang indah, serta flora dan fauna yang menyenangkan.
Baginda tidak melepaskan peluang untuk mencuba sendiri mesin pengupas durian di Dusun Nakawan Perlis dan dipersembah maklum penerangan berkenaan dengan proses madu kelulut di Lepak Ngopi de ‘Kelulut’ Sungai Batu Pahat sebagai tanda sokongan kepada kempen promosi Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.